Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
ManifestaSiti2020 tak kurang beza dengan album 14 tahun lalu

ULASAN | Setiap tahun, pasti ada sahaja buah tangan baharu dari penyanyi nombor satu tanah air, Siti Nurhaliza buat peminatnya.

Bagaimanapun, untuk menghadiahkan peminat dengan sebuah album penuh, mereka terpaksa menanti selama tiga tahun. Kali terakhir beliau tampil dengan album penuh menerusi SimetriSiti (2017), dan muncullah single demi single selepas itu.

Khabar angin yang mengatakan Siti atau dikenali sebagai Tokti sedang mengumpul bahan untuk album baharu akhirnya menjadi realiti.

Album itu dinamakan ManifestaSiti2020 - dan semalam - ia sudah rasmi dilancarkan di semua platform muzik digital.

Sebanyak 11 buah lagu dimuatkan dalam album berharga RM46.90 sen itu.

Siapa tak mahu

Siapa Tak Mahu berada pada trek pertama album ManifestaSiti2020. Lagu ciptaan komposer Omar K dan lirik oleh Ikhwan Fatanna yang menggarap rentak rancak dalam lagu ini tidak berada dalam senarai yang dikeluarkan sebagai single.

Jadi, agak janggal sedikit ketika mendengarnya, ini kerana, verse pertama lagu kedengaran sedikit lucu, tetapi penulis dapat menyesuaikannya. Ternyata ia tidak kurang bagusnya.

Aku Bidadari Syurgamu

Sepuluh tahun lalu, nama Ippo Hafiz tidak tergolong dalam kalangan komposer yang Siti pernah bekerjasama.

Namun, tuah menyebelahi Ippo apabila lagu berjudul Aku Bidadari Syurgamu yang terletak pada trek kedua album ini menarik minat Siti.

Mendengar lagu yang liriknya ditulis oleh Siti Rosmizah sebenarnya sedap didengar namun bukan pada tahap yang luar biasa. Cukuplah sekadar pelengkap lagu-lagu yang meruntun jiwa dengan penulisan lirik yang begitu terus-terang mesejnya.

Hanya ada empat rangkap lagu dan diulang kembali pada pra-korus membuatkan penulis berfikir, liriknya mungkin boleh dikembangkan lagi. Tidaklah kedengaran bosan.

Pun begitu, Ippo bijak mengatur langkah dengan mengadun empat jenis muzik yang dimainkan secara bersama seperti gitar, bass, dram dan juga strings. Walaupun kadang-kadang, petikan gitarnya seperti Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah.

Kasihku Selamanya

Entahlah, sukar untuk mentafsirkan muzik ciptaan Aubrey Suwito bagaimana. Aubrey memiliki satu trademark tersendiri dalam garapan muzik yang menunjukkan “ini sah-sah Aubrey yang cipta.”

Kasihku Selamanya di trek ketiga hadir sebagai lagu tema filem kononnya seram bertajuk Dendam Pontianak yang ditayangkan pada Julai tahun lalu.

Entah di mana silapnya, lagu ini gagal mencapai sasaran satu juta tontonan meskipun ia sudah dilepaskan lebih awal.

Dengan vokal Siti yang lunak dan mendayu, diiringi pula dengan alunan piano dan alatan muzik bertali, penulis kira naskhah ini sudah meletakkan Siti pada kelasnya tersendiri.

Tertulis Nama Kita

Siti Nurhaliza komposer untuk Tertulis Nama Kita, liriknya ditulis oleh pembantu setianya - Rozisangdewi manakala Genervie Kam orang yang bertanggungjawab dalam menyusun perjalanan lagu ini.

Melodinya begitu moden dan bermomentum. Namun, penulis sudah muak dengan karya-karya sebegini yang asyik menjulang kisah cinta pada manusia. Terlalu klise.

Berapa banyak naskhah cinta lagi yang Siti ingin tampilkan? Kredit hanyalah melodi dan susunan muzik yang lebih urban sesuai dengan kehendak masa kini.

7 Nasihat

Tidak ramai yang mendengar lagu-lagu irama tradisional Melayu. Kerjasama Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi 7 Nasihat - yang menggabungkan irama Melayu dan rap - ternyata memberi harapan bahawa irama Melayu seakan hidup dari mati.

Di Youtube saja jumlah tontonannya sudah mencecah 2.6 juta. Jurang vibe begitu berbeza sekali ketika Siti Nurhaliza berduet dengan Joe Flizzow menerusi lagu Penghiburku (SimetriSiti) yang hanya mencecah jumlah 36 ribu tontonan.

Mungkin, jika allahyarham Pak Ngah masih ada, tidak mustahil Siti tampil dengan album penuh irama Melayu seperti beberapa album yang dihasilkannya sebelum ini seperti Cindai (1997), Seri Balas (1999), Sanggar Mustika (2002), dan banyak lagi.

Kuasa Cintamu

Kuasa Cintamu menjadi naskhah yang penulis anggap sebagai karya yang menjulang Siti di peringkat lebih tinggi - walaupun nampak sangat seperti “Melly Goeslaw” tidak kira dari aspek penulisan, susunan muzik dan melodi.

Walaupun konsep “cinta” pada kebanyakan lagu ini sudah terlalu biasa, namun penulis ketagih mendengar lagu ini yang begitu dinamik.

Penulis minat dengan gaya penulisan yang memiliki unsur metafora pada lagu ini yang berbunyi: “Ku mengkhabarkan pada awan, jangan terus jadikan mendung, kerna alam ingin cahaya, untuk terus hidupkan terang,”

Takhta Dunia

Penulis kurang biasa mendengar karya-karya komposer negara seberang Indonesia, Ryan Kyoto.

Jadi, Takhta Dunia kurang melekat di halwa telinga penulis meskipun lagu ini menggarap elemen 80-an dan 90-an. Namun, sesuailah jika lagu ini diguna ketika majlis tari-menari bersama pasangan.

Teratai Menjelma

Teratai Menjelma asalnya dinyanyikan oleh allahyarham Sudirman Haji Arshad, ia dirakam semula dan disuntik elemen lebih moden.

Masih mengekalkan melodi dan naratif lagu asal, agak sukar untuk membuat perbandingan antara kedua-dua mereka kerana Siti menyanyikan lagu hasil ciptaan Raja Kobat ini dengan cara tersendiri.

Agak meremang juga apabila Siti mengalunkan bait lirik “Bunga Teratai” dengan nada yang lembut dan lentik.

Basyirah adalah sebuah naskhah yang ditujukan khusus untuk semua pejuang barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Siti bijak mengalunkan Basyirah ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fedtri Yahya yang mengetengahkan konsep Timur Tengah ini.

Tanyalah kepada beberapa orang muda berkenaan liriknya, siapa saja yang boleh mentafsir dan menjiwai penulisan lirik seperti itu?

Terang

Terang dicipta dengan keadaan yang kemas dan rapi namun, ada sedikit elemen Destinasi Cinta (Transkripsi, 2006).

Lagunya berentak catchy dan sudah pasti, lagu ini khas untuk kanak-kanak pesakit jantung sebagai pembakar semangat mereka untuk terus bangkit.

Jujurnya, Terang bukanlah antara senarai lagu yang penulis kerap mainkan di pelantar muzik digital, cukup sekali dua sahaja kerana konsep seperti ini bukan kegemaran penulis.

Anta Permana

Berada di trek terakhir, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong ini usah dipertikaikan lagi kerana Anta Permana sudah dikeluarkan lebih awal pada 2018.

Lagu ini dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) walaupun ketika itu mikrofon dipegang Siti ‘buat hal’.

Anta Permana dihasilkan secara hibrid yang mengambil inspirasi zaman-zaman Saloma dan moden.

Satu pencapaian yang cukup gemilang bagi Hael dan juga Ezra. Ingatkan ada lagi hadiah baharu dari mereka untuk diselitkan dalam album ini, sayang sekali, sangkaan penulis tersasar.

Masih relevan

ManifestaSiti2020 hadir sebagai naskhah fizikal dan digital yang penulis anggap relevan walaupun industri muzik dan cetak sekarang ini turun naik.

Penulis cuba untuk menyeimbangkan antara lebih dan kurangnya album ini. Pun begitu, penulis masih tercari-cari di mana sudut yang Siti ingin tampil dengan corak seni persembahan yang berbeza - kerana acuan yang dibentuk dalam album baharu ini seakan lahir dari rahim Transkripsi 14 tahun lalu.

Apa pula lead song yang memimpin hala tuju album ini? Penulis tidak nampak, tidak seperti Segala Perasaan (SimetriSiti) yang cukup segar ilhamnya.

Mungkin terlalu awal untuk menilai, namun, kekuatan album ini terletak pada lima single yang telah dikeluarkan lebih awal iaitu Anta Permana, Kasihku Selamanya, Terang, 7 Nasihat dan Basyirah.

Manakala enam lagu lain memerlukan promosi secara massa jika mahu album ini menjadi hit. Takut-takut perkara yang sama seperti lagu Kau Takdirku, Hiasi Duniaku, Manis Terindah, Tak Perlu Ragu dan Ikrar Cinta dalam album SimetriSiti yang kurang mendapat sambutan.

Terima kasih dan tahniah Siti Nurhaliza kerana menjadikan ManifestaSiti2020 satu realiti!


HANIA RAFEI adalah pendengar lagu-lagu Siti Nurhaliza. Semua album digital Siti habis distrimnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS