Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Dr M tak sabar nak tonton biopik, titip doa buat Yusof Kelana

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Ogs 2020, 4:39 pagi

Tidak banyak komen yang dapat dicerap daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya mengenai filem yang mengisahkan dirinya, Mahathir: The Journey.

Sebaliknya, dia hanya memberikan jawapan ringkas ketika ditanya pencetus idea filem Mahathir: The Journey, Taha Wahid, yang memintanya menceritakan pengalaman menjadi susuk terpenting bagi menjayakan filem biopik berkenaan.

Taha merupakan rakan sekerja Yusof Kelana, yang ketika ini terlantar di rumah kerana mengidap kanser kulit tahap empat.

“Saya rasa sangat lucu,” katanya sambil tersenyum selepas selesai penggambaran babak terakhir Mahathir: The Journey di Yayasan Al-bukhary, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mahathir: The Journey yang membariskan pelakon terkenal seperti Azhar Amir sebagai Mahathir, Fauziah Latiff (Siti Hasmah), Hilal Azman (Anwar Ibrahim) dan Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail) sepatutnya menemui penonton tahun ini.

Filem menelan belanja RM6 juta itu menceritakan perjalanan kehidupan Mahathir selepas dia meletak jawatan daripada perdana menteri untuk kali pertama pada 2003.

Anggota Parlimen Langkawi itu juga menyatakan rasa teruja untuk menonton filem yang mendapat arahan Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan tersebut.

“Secara jujur, saya tak sabar untuk menonton filem ni,” katanya pada sesi yang dihadiri tujuh kru penggambaran itu.

Sasar tayang di banyak negara

Beberapa anggota lembaga pengarah Reliance Media Group - syarikat yang menerbitkan Mahathir: The Journey - juga hadir semasa penggambaran berkenaan.

Soalan diajukan Taha mewakili pertanyaan Malaysiakini kepada Mahathir.

Taha dan Yusof merupakan pemegang saham dalam Reliance Media Group.

Mengulas pesanan Mahathir buat Yusof, Taha berkata, negarawan tersebut mendoakan agar pengarah berkenaan lekas sembuh.

“Insya-Allah, saya doakan Yusof agar cepat sembuh dan kembali ke industri,” katanya.

Taha pada masa sama turut berkongsi perasaannya julung kali dapat berada dalam satu bilik bersama Mahathir dan Siti Hasmah.

Antara adegan dalam filem Mahathir: The Journey

“Teruja dan amat berbangga. Lebih lebih lagi apabila dapat berjumpa dan berbual dengan kedua-dua tokoh negarawan dikenali di seluruh dunia itu,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas alasan penangguhan tayangan, Taha berkata, ia dibuat sebelum laporan perubatan Yusof mengesahkan pengarah Tragedi Oktober itu mengidap barah.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 turut menjadi penyebab Mahathir: The Journey ditangguhkan.

“Kami habis penggambaran Februari, cuma tinggal satu babak saja lagi iaitu dengan Dr Mahathir, tapi kemudian kerajaan mengenakan PKP, pada ketika itu filem sudah 95 peratus siap disunting.

“Memandangkan Covid-19 merebak ke seluruh dunia, kami ambil keputusan tangguh tayangan ke tahun depan,” katanya yang turut menyasarkan filem berkenaan untuk diedarkan di Jepun, China, Timur Tengah, Eropah selain negara di Asia.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.