Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jom - Hatta Dolmat ajak pengusaha komersialkan batik tempatan
Diterbitkan:  Aug 27, 2020 2:09 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat menyuarakan keperluan menyediakan rekaan dan material batik tempatan sesuai dengan selera generasi muda sebagai reaksi kepada 'ancaman' batik Indonesia.

Kata Hatta, untuk menawan hati dan jiwa generasi muda negara ini tidaklah sesukar mana kerana mereka cuma cenderung mengikut aliran terkini terutama jika sesuatu produk itu dapat dibeli pada harga murah.

“Kalau nak batik kita dipandang cantik oleh budak-budak muda, kita kena pakai motif segar yang kena dengan jiwa mereka.

“Rakyat ni senang saja - benda murah, cantik dan mengikut aliran terkini, depa (mereka) ikut pakai,” ciapnya di Twitter.

Pemilik nama penuh Muhammad Hatta Dolmat itu berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berhubung isu batik tempatan yang disifatkan berdepan ancaman gara-gara anak muda lebih tertarik untuk membeli produk negara jiran.

Sebagai reaksi, netizen menyenaraikan beberapa faktor seperti harga, rekaan dan material yang membuatkan golongan muda lebih tertarik dengan batik Indonesia yang jauh lebih murah.

Menurut graduan seni reka fesyen di Universiti institut Teknologi Mara itu, dari sudut pemasaran, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan batik tempatan mampu mencapai tahap berbeza berbanding dulu dengan memastikan kerja-kerja mempromosi dilakukan secara berterusan.

Tak tahu pun batik luar

“Kita peliharalah batik dengan mengkomersialkan produk melalui kolaborasi antara pereka fesyen dengan pengusaha batik.

“Jalankan kempen baru yang berterusan seperti mereka di sana (Indonesia) yang tak henti-henti mengangkat batik.

“Cuma, material tu tak payahlah satin, siapa nak pakai? Saya pun tak pakai. Macam Indonesia, mereka maju dari sudut pemilihan reka corak komersial, warna dan material,” katanya.

Bagaimanapun, Hatta, 38, tidak menolak kemungkinan bahawa antara punca lain batik Indonesia lebih memenangi jiwa anak muda adalah kerana mereka kurang arif soal asal-usul produk tersebut.

“Ada yang tak tahu pun itu batik Indonesia,” katanya.

Justeru Hatta menyeru agar pengusaha batik agar berganding bahu menjalin kolaborasi dengannya.

“OK-lah, saya buat batik lepas ni korang (kalian) sokong tak? Ada pengusaha batik? Jom hello-hello, kita komersialkan batik kita pula. Jadikan budak-budak muda pakai.

“Tak boleh salahkan rakyat, rakyat akan ikut aliran terkini,” ciapnya.

Lihat Komen
ADS