Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Rahmat dipelawa sertai gerakan politik Syed Saddiq
Diterbitkan:  Sep 1, 2020 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Seorang bekas peserta program realiti TV, Pencetus Ummah (PU), mendakwa dia dijemput bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai parti politik baru yang diasaskan anggota parlimen Muar itu.

Berita itu dikongsikan Rahmat Ikhsan - atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat - melalui akaun Twitternya sebentar tadi.

Pun begitu, tanpa menyatakan sama ada dia bersetuju atau pun tidak, Rahmat sebaliknya meminta pandangan pengguna Twitter mengenai pelawaan tersebut.

“Saya dan beberapa anak muda dijemput @SyedSaddiq untuk menyertai parti politik baru yang diasaskan anak muda.

“Apa pandangan Twiterjaya tentang penubuhan parti anak muda ni?

Lai, lai (mari, mari) komen,” ciapnya.

Setakat awal petang ini semakan Malaysiakini mendapati kenyataan berkenaan meraih hampir 300 ulang ciap, hampir 1,000 tanda suka dan 60 komen.

Selain itu, ia juga diulang ciap oleh Syed Saddiq.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu menyatakan dia tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Banyak perlu diselesaikan

Sebaliknya, Syed Saddiq meluahkan hasrat untuk menggerakkan parti berasaskan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari. 

Sementara itu, pertanyaan tersebut didapati mengundang pelbagai reaksi netizen.

Antaranya pengguna akaun @mybluesthought yang memberikan sokongan positif terhadap sebarang usaha sekiranya membawa kebaikan pada masa depan negara.

“Bawakan perubahan demi kebaikan Malaysia, PU!” ciapnya.

Pengguna akaun @Marchfoward pula mengingatkan sekiranya parti baru ditubuhkan, agama jangan pula diabaikan.

“Saya tak risau dengan penubuhan parti baru. Cuma ingat, nak mengejar permodenan, agama jangan tinggal. Jika parti ni tertubuh, banyak perkara perlu diselesaikan,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi segelintir pihak, ada yang mempertikaikan bagaimana parti baru tersebut memperoleh sumber dana dalam meneruskan perjuangan.

“Mana dapat dana?” ciap pengguna akaun @ikmmal_.

Tidak kurang juga, pengguna Internet yang menganggap usaha menubuhkan parti baru sebagai sia-sia selain disifatkan hanya bertujuan memecah undi sedia ada.

“Kami tak memerlukan parti lain kerana ia hanya memburukkan keadaan. Undi Melayu nanti banyak sangat penjuru lepas tu ditindas atas tanah air sendiri,” kata pengguna akaun @DaliaVsDanny.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Rahmat dan Syed Saddiq bagi mengulas lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS