Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana isu air, Amin jenuh dilabel macam-macam
Diterbitkan:  Sep 8, 2020 8:13 PM
Dikemaskini: Sep 9, 2020 1:26 AM

Gara-gara memulakan inisiatif diskusi bagi mencari penyelesaian isu air di dua negeri, pengacara dan personaliti televisyen terkenal Amin Idris dilabel dengan pelbagai perkataan jelik.

Antara gelaran yang ditimpakan kepada Amin ialah tercicir daripada jemaah, tidak beradab, tidak bertabayyun dan cenderung kepada Pakatan Harapan (PH).

Tidak ketinggalan dia juga dianggap sia-sia mengikuti program kerohanian seperti usrah dan tamrin.

Apabila cuba memberikan nasihat pula, kata Amin, dia terus diserang dengan label yang lebih serius seperti tidak cerdik, selebriti poyo serta tidak menghormati parti Islam.

Pun begitu Amin tetap tenang untuk memberi penjelasan bagi menjawab sebahagian daripada tuduhan berkenaan.

Misalnya kata Amin kerana mengikuti program tamrinlah maka dia tahu apabila berani mengkritik pihak lain, diri sendiri juga harus bersedia untuk dikritik.

"Kalau nak populariti, well, ini bukanlah caranya.

"Rakyat Selangor dan Kelantan (dapat info, Pahang pun ada masalah air) banyak tak puas hati.

"Saya suarakan apa luahan saya dan mereka sebagai rakyat," katanya petang ini.

Tiada respon dari KB

Terdahulu, Amin menyuarakan harapannya agar kerajaan Selangor dan Kelantan segera menyelesaikan masalah bekalan air yang sering timbul di kedua-dua negeri tersebut.

Kenyataannya itu dibuat susulan gangguan terbaru bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Gangguan bekalan air sejak 3 Sept lalu itu berpunca daripada pembuangan bahan tercemar oleh sebuah kilang di Sungai Gong, yang kemudiannya mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Gangguan di luar jangka itu menarik perhatian ramai dan mengundang Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi mengecam kerajaan negeri yang disifatkannya gagal menangani masalah tersebut.

Dr Yunus Hairi

Bagaimanapun Amin mengingatkan masalah bekalan air bukan saja dialami di Selangor malah turut berlaku di Kelantan.

Susulan itu Amin mengundang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob bagi berdiskusi mengenai isu tersebut dalam rancangannyam The Amin Idris Show.

Bagaimanapun setakat ini hanya Amirudin yang menyatakan kesanggupan manakala tiada respon diterima daripada pihak Ahmad.

Pun begitu ramai pembaca - dipercayai penyokong PAS - mengkritik Amin.

Ahmad Yakob

Kata Amin, selama ini PAS selalu berkata mereka tidak diberi ruang di media untuk memberikan pandangan namun apabila dijemput mereka membisu.

Mengenai saranan mereka agar berjumpa sendiri dengan menteri besar, hos program Tazkirah Malam Jumaat itu berkata, apa yang diperlukan ialah jawapan daripada pihak kerajaan mengenai usaha yang telah dan akan dibuat untuk rakyat.

"Jawapan itu untuk orang ramai, bukan untuk saya saja," katanya.

Pun begitu Amin masih berbaik sangka dengan pihak Kelantan dan menganggap apa yang berlaku bukanlah sikap sebenar Ahmad.

Katanya tidak mustahil apa yang berlaku itu disebabkan masalah di pegawai menteri besar yang menyukarkan rakyat untuk mendekati pemimpin berkneaan.

"Saya juga masih percaya kawan-kawan PAS berpegang teguh dengan prinsip politik matang dan sejahtera.

"Jujur kata, keluhan-keluhan netizen tentang masalah air memberi saya kekuatan untuk teruskan topik ini dalam show esok walaupun tidak disenangi golongan politikus," tegasnya.

 

Lihat Komen
ADS