Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Albi Nadak tarik minat ramai berbahasa Arab - Da'i Syed

Albi Nadak, sebuah lagu Arab yang dinyanyikan kembali pendakwah muda Dai’ Syed Iqmal menarik minat orang ramai, khasnya kaum Melayu untuk mendalami bahasa tersebut.

Jelas Syed Iqmal, dia menerima banyak respons daripada peminat untuk mempelajari bahasa Arab.

“Sambutan rakyat Malaysia amat baik dan saya rasa gembira kerana mereka menerima melodi dan berbahasa Arab.

“Sudah tentunya ramai ada yang komen dan cakap mereka tertarik nak belajar bahasa Arab.

“Ada juga yang kata dulu tak suka tetapi lepas dengar dan baca terjemahan jadi seronok,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Asalnya, Albi Nadak merupakan lagu dari negara Arab yang dinyanyikan oleh penyanyi negara itu, Fares pada tahun 2010.

Ia kemudian dipopularkan semula oleh Syed Iqmal dan disiarkan sejak 8 Ogos lalu sehingga menjadi tular di negara ini.

Video Youtube yang dimuat naik Syed Iqmal itu juga telah meraih lebih 300,000 tontonan dan 10,000 tanda suka.

Sementara itu, pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail, 25, turut menambah dia berhasrat mengeluarkan duet lagu cover bersama penyanyi Heliza Helmi pula.

Jelasnya, lagu cover yang turut diselitkan bahasa Arab itu adalah berkisar mengenai perjuangan rakyat di negara Lubnan dan Palestin.

 “Pertamanya lagu cover ini berkenaan Lubnan dan kedua berkenaan perjuangan Palestin yang sekarang kalau kita lihat negara sudah tiada dalam peta.

“Ketiga saya nak beri kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur dan mengenang nasib menimpa orang-orang Arab,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS