Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemain seruling gerakkan inisiatif satu rumah satu seruling

Bermula dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memerlukan orang ramai sentiasa berada di rumah, idea awal bermain seruling untuk mengisi masa terluang kemudian bercambah menjadi sesuatu yang lebih menarik dan mengasyikkkan.

Daripada kegiatan spontan itu, kemudian muncul satu kumpulan seramai 300 orang dalam aplikasi Telegram yang menghimpunkan individu dari pelbagai latar belakang termasuk di luar negara.

Menurut MK Ridzuan, komuniti dikenal sebagai Geng Seruling itu membolehkan mereka disatukan oleh minat yang sama dan saling membantu meningkatkan kemahiran masing-masing.

“Sejak PKP dilaksanakan, sebagai pemuzik memang pendapatan saya terjejas sebab tak ada persembahan.

"Bermula dari situlah timbul idea untuk mewujudkan kelas dalam talian bagi peminat seruling.

“Untuk yang tak tahu di mana tempat sesuai untuk belajar bermain seruling, bolehlah kami bantu melalui komuniti berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Ridzuan kemudahan yang diberikan melalui Geng Seruling itu lebih kurang seperti kelas belajar dalam talian lengkap dengan sesi tutorial.

Anggotanya pula, kata Ridzuan, turut disertai pemain seruling berpengalaman.

Berjalan lanjar, mudah memohon

Selain Telegram, graduan Universiti intstitut Teknologi Mara dalam bidang muzik itu juga berkata, dia mempunyai saluran YouTube untuk tujuan sama, serta memberi e-book - yang mengandungi 16 muka surat secara percuma - untuk sesiapa yang ingin belajar atau mengenali seruling.

Ditanya sama ada apa diusahakan itu boleh membawa impak lebih besar, Ridzuan atau nama penuhnya Mohamad Khairul Ridzuan berkata, alat muzik itu kian mendapat tempat di hati peminat gara-gara PKP.

“Kawan-kawan yang menjual seruling berkata, permintaan meningkat tiga kali ganda daripada biasa sejak PKP,” katanya.

Untuk rekod, Ridzuan, merupakan penerima Inisiatif Pemulihan Cendana di bawah Program Pembiayaan Karya Kilat yang dilaksanakan sejak PKP. Ia merupakan pelan bagi industri kreatif yang ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan Cendana di bawah pengawasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Disebabkan Covid-19, lebih daripada 93 peratus ekonomi artis Malaysia dan penggiat seni terjejas. Sebanyak 70 peratus daripada mereka pula kehilangan semua atau sebahagian besar pendapatan.

Cendana kemudian bertindak untuk meredakan situasi itu dengan menyalurkan Create Now Funding Progamme yang dirangka khas untuk membantu industri seni, budaya, hiburan dan pementasan, sama ada dalam kalangan penggiat mahupun perniagaan yang berteraskan seni.

Tujuannya, agar mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dapat bangkit semula dan meneruskan aktiviti kreatif mereka.

Mengulas dana diperoleh, Ridzuan yang juga anggota band Sekumpulan Orang Gila itu berkata, proses untuk memohon tidak sesukar yang dianggap sesetengah pihak.

“Cendana cuba capai seberapa ramai penggiat seni. Alhamdulillah, proses memohon dan menyediakan dokumentasi berjalan lancar selain senang untuk dilakukan.

“Sebanyak RM1,500 diperuntukkan dari Cendana untuk saya memulakan projek berhubung seruling ini,” katanya.

Ridzuan berkata, menjadi harapannya untuk melihat kegiatan bermain seruling terus berlangsung untuk jangka panjang dan mengidamkan martabat alat muzik itu diangkat agar tidak hilang ditelan zaman.

“Saya nak lihat wujud sebuah ekosistem, bermula daripada adanya permintaan terhadap pembuatan seruling sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Sekarang ramai pembuat seruling bertempat di kampung-kampung, mereka ni tak tau bagaimana nak pasarkan produk hingga ke pasaran antarabangsa.

“Kita juga wajar raikan alat muzik tersebut dengan mengadakan festival tempatan yang akan disertai segenap lapisan umur dan pelbagai latar budaya serta negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS