Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kedai kasut sebelah rumah Taylor Swift dirompak
Diterbitkan:  Sep 28, 2020 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Insiden peluru ‘berterbangan’ - kali kedua dalam sebulan - berlaku sewaktu rompakan bersenjata di sebuah kedai kasut di luar kediaman mewah penyanyi terkenal, Taylor Swift di Triangle Below Canal (Tribeca), Manhattan, AS semalam, kata saksi.

Rompakan terbabit berlaku di Patron of New York, sebuah kedai kasut di 151 Franklin Street sekitar jam 5 petang (waktu tempatan), bersebelahan rumah townhouse tiga tingkat didiami pemenang Grammy itu yang bernilai AS$18 juta (RM75,078,000).

New York Post melaporkan, ia susulan polis menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian.

Menurut pegawai polis, empat das tembakan dilepaskan, bagaimanapun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

“Tiba-tiba kami terdengar empat tembakan dilepaskan dan saya ketakutan. Saya juga melihat orang ramai di tempat kejadian lari bertempiaran.

“Mereka nampak ketakutan dan melompat masuk kereta,” kata seorang pelayan dari restoran Tamarind Tribeca di Hudson Street.

Seorang penduduk tempatan berkata, insiden tembakan terbabit adalah yang kedua berlaku di blok itu dalam sebulan.

“Amat membimbangkan apabila melihat dua jenayah senjata api yang berkaitan berlaku di tempat sama dalam sebulan.

“Ia adalah kawasan kejiranan untuk orang berkeluarga, dan saya pilih keselamatan berbanding akses untuk kasut mewah pada setiap masa," katanya.

Polis berkata, tiga suspek yang berjaya melarikan diri ke arah timur, dua daripadanya memakai seluar jeans biru dan kemeja T-putih manakala seorang lagi memakai jeans dan T-shirt biru.

Selain membeli rumah mewah di 153 Franklin Street itu, Taylor, 30, turut memiliki tiga lagi unit kediaman yang terletak di Jalan 155 Franklin Street.

Secara keseluruhan, dia membelanjakan sekitar AS$50 juta (RM208,550,000) untuk hartanah di blok tersebut.

Tahun lalu, penyanyi Shake It Off itu berjaya mengalahkan tuntutan mahkamah difailkan broker hartanah yang mendakwa dia ditipu lebih AS$1 juta (RM4,171,000) untuk pembelian rumah berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS