Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mael Totey The Movie naskhah untuk penonton tanpa hasad dengki

“Lapangkan dada kosongkan fikiran tonton dengan hati yang tiada hasad dengki,” demikian kata pengarah Syahmi Sazli apabila dia dituduh mempergunakan pelakon orang kurang upaya (OKU) demi melariskan filem sulungnya.

Dengan nada penuh kesal, Syahmi menjelaskan, dia kerap menerima mesej berunsur penghinaan pada ruang komen di media sosial kerana mengetengahkan empat bakat OKU sebagai penggerak utama Mael Totey The Movie.

Syahmi - yang namanya terlebih dahulu melonjak sebagai pemilik saluran YouTube - menyeru agar isu berkenaan tidak dipolemikkan hingga menimbulkan fitnah sedemikian.

“Jika mahu kritik filem yang saya hasilkan, kritiklah, tapi bukan pelakon-pelakon saya. Saya langsung tiada niat menggunakan pelakon OKU semata-mata untuk raih sambutan.

“Mereka tergamak komen berbaur fitnah, ia tak berasas sama sekali diiringi dengan kata-kata kesat di ruang komen,” katanya kepada Malaysiakini.

Bukan setakat itu, Syahmi berkata, segelintir netizen berpendapat filem yang bakal ditayangkan dua hari lagi di Astro 1st itu dibayangkan tidak boleh laku disebabkan tiada wajah-wajah popular dalam industri.

“Ada juga komen diterima berkata Mael Totey The Movie tak akan dapat sambutan kerana guna pelakon OKU selain tak ada nama-nama gah yang diambil bagi menjayakan filem berkenaan,” katanya.

Untuk rekod, Mael Totey The Movie merupakan kesinambungan daripada drama pendek spontan Mael Totey yang pernah mencipta fenomena dan bersiaran sebanyak lapan episod di YouTube.

Naskhah yang menelan kos mencecah RM400,000 itu menjalani penggambaran selama 14 hari di Kota Bharu, Tumpat dan Tok Bali, Kelantan.

Ia berkisahkan seorang pemuda lurus bendul iaitu Mael Totey, watak dijayakan Syahmi yang berhajat memikat gadis idamannya Yaya. Namun, Yaya mengenakan syarat iaitu Mael perlu menguasi bahasa Inggeris.

Sewaktu mempelajari bahasa tersebut, Mael jatuh hati pada teacher yang mengajarnya hingga menimbulkan konflik di antara mereka bertiga. Ia kemudian diselesaikan empat budak istimewa iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Filem berkenaan turut dijayakan barisan pelakon seperti Emaleen Minhad, Aween Ismail, Aznah Hamid, Hushairi Husain, Kamarool Yusoff dan Daler Yusoff.

Pada masa sama, Syahmi mengakui dia sedia maklum sekiranya filem bakal ditampilkan tidak dapat memuaskan hati ramai pihak kerana tidak mengikut piawaian sebenar sesebuah filem terutama dari segi lakonan dan penggambaran.

Katanya, apa cuba dilakukannya melalui karya berkenaan adalah menampilkan sesuatu perkara di luar norma biasa.

“Pelakon OKU, waktu berlakon mereka tak tengok kamera dan pada kebanyakan masanya juga tak ikut skrip.

“Karya ini sebenarnya khusus untuk pengikut yang sudah lama, faham dan lali dengan cara saya buah fikiran disampaikan melalui saluran YouTube saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS