Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | 'Alif mim nun wau sarkas' pada tahun Wawasan 2020

ULASAN | Ini adalah riwayat sarkas alif mim nun wau yang pernah dikisahkan sastera dan seni gaya P Ramlee.

Kisah ini tidaklah boleh dikatakan berlaku begitu lama. Ia adalah kisah rancangan dan cita-cita ingin menjadi sebuah negara maju dan di dalamnya ada bangsa berjaya.

Kurang lebih 29 tahun dulu, iaitu pada tahu 1991, Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ke waktu itu menggagaskan satu wawasan.

Gagasan masa depan itu diberi nama Wawasan 2020 dan ia dibayangkan dengan 1,001 kehebatan. Malaysia mahu dipacu sepenuhnya oleh perindustrian yang serba-serbi maju.

Apa yang dicita-citakan perdana menteri keempat Malaysia gagasan itu ialah kekukuhan dalam segenap sektor ekonomi dan lestari dalam semua bidang industri.

Dia turut membayangkan kehidupan rakyat lebih terkedepan dengan kematangan pada aspek fikiran, perpaduan, rohani dan psikologi.

Anak-anak sekolah pada tahun-tahun itu bukan saja membayangkan bandar raya Kuala Lumpur bakalan dipenuhi ratusan menara tinggi-tinggi. Tidak ketinggalan ialah imaginasi tentang model baru Proton terbang melayang-layang memenuhi langit taman-taman perumahan dari Gombak ke Ampang, membawa ke Bangi.

Persoalan-persoalan dasar seperti keadilan sosial, kestabilan politik, kualiti hidup, nilai sosial, budaya masyarakat, maruah serta martabat bangsa Malaysia turut dibayangkan berada pada takah sangat maju.

Senang cerita, masyarakat Malaysia kala itu dibayangkan sebagai sangat matang dan berfikaran luas. Etika dalam politik dan sosial cukup canggih, progresif dan amat saintifik dengan segala ilmu pengetahuan.

Membontotkan cita-cita penting

Untuk memasakkan cita-cita dan imaginasi itu agar lebih mudah difahami, Mahathir berkeliling negara memberikan penjelasan. Sewaktu membentangkan kertas kerja berjudul Laluan ke Depan, dia menjelaskan beberapa perkara yang dia sebut untuk kita - yang masih hidup pada tahun serba kelam-kabut sekarang ini - renungkan.

Perkara pertama dalam kertas kerja tersebut menjelaskan Wawasan 2020 itu bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dalam erti kata rakyatnya hidup sejahtera berkongsi kebahagiaan.

Malaysia (pada 2020) mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum. Orangnya hidup dalam harmoni, adil saling bekerjasama dan bersungguh-sungguh mendirikan bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Masalahnya itulah yang menjadi ibu segala punca malapetaka kesengsaraan hari ini. Seksa rakyat yang bertimpa-timpa pada 2020 ini adalah kerana politikus kita membontotkan cita-cita murni pada poin tadi.

Setelah 29 tahun, kisah Wawasan 2020 yang belum boleh dikatakan terlalu lama itu akhirnya gagal tanpa dipedulikan. Ia tenggelam dan mati sendiri.

Permainan politik para politikus kita tidak lagi mengerti apa maknanya kesetiaan. Politik bagi mereka bukan suatu khidmat buat negara dan rakyat, sebaliknya hanya kerja-kerja kepartian bagi menambah pengaruh, kuasa dan kekuatan agar status quo yang jahat-jahat dapat dikekalkan.

Ketika gerakan kudeta di Sheraton berlaku tidak sedikit yang menerimanya sebagai suatu langkah sakral yang kononnya dapat menyelamatkan umat Melayu.

Ada juga kalangan Melayu Islam yang disihir dengan strategi politik pecah-belah politikus jahat.

Manipulasi situasi kala tersepit

Sesuatu yang sangat-sangat diabaikan - malah langsung tidak terpandang oleh Wawasan 2020 yang gagal itu - ialah strategi memajukan pemikiran rakyat melalui kesusasteraan, budaya dan seni. Natijahnya, masyarakat jadi bodoh dengan kerja politik keji dan buta akan propaganda kerajaan yang berabah-abah tidak tahu diri.

Pada 2020 yang serba tunggang-terbalik politik dan kronik ini seni hanya dianggap hiburan murahan yang bersifat sampingan. Orang seni dan para seniman dilihat sebagai golongan lemah, miskin dan tidak kuat iman. Masyarakat tidak lagi perlukan sastera yang dikarang panjang berbunga-bunga.

Lapis makna yang ditulis tinggi dan mendalam sudah tidak lagi menggamit minat orang untuk diteliti dan difahamkan. Masyarakat moden hari ini adalah masyarakat lendir. Masyarakat yang hanya gemarkan hal-hal sensasi dan isu-isu murahan.

Peristiwa darurat sepanjang 1948 hingga 1960, konfrantasi 1964, konflik politik Sarawak 1966, 13 Mei 1969, rusuhan politik 1977 di Kelantan serta darurat akibat jerebu yang berlaku pada 1997, 2005 dan 2013 gagal diambil pengajaran.

Sudahnya darurat bisa jadi senjata kerajaan memanipulasi situasi dan keadaan politik di kala tersepit.

Dua tahun selepas merdeka, ada sebuah filem P Ramlee yang digarap dengan sedikit keanehan. Sepotong dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok keluaran 1959 itu yang wajar disiasat untuk isinya dipelajari.

Kata Sudin dalam salah satu babak: “Alif, mim, nun, wau... alif tendang wau - sarkis daa!”

Filem komedi itu merupakan antara adikarya P Ramlee. Senimatografi dan naratif filem Pendekar Bujang Lapok dipenuhkan dengan unsur sastera yang menggerakkan fungsi epistemologi, pedagogi, estetika dan akal budi. Malah peristiwa di sebalik tahun kelam 1959 dirakam P Ramlee.

Ketika itu situasi politik negara tegang dan tunggang-langgang tidak ubah seperti sekarang.

Parti Umno dalam Perikatan menerima tentangan dari luar dan dalam. Pemimpin Melayu waktu itu ke hulu ke hilir menagih sokongan menguatkan perikatan yang berdepan risiko perpecahan.

Konflik di antara Tunku Abdul Rahman dan Onn Jaafar, misalnya, mewujudkan lebih banyak perpecahan. Onn akhirnya mengambil keputusan untuk bersama dengan PAS.

Perikatan juga terpaksa berhadapan dengan pilihan raya umum pertama dengan penuh kesukaran. Malah ada ahli Umno yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru kalangan Kesatuan Guru-guru Melayu keluar beramai-ramai dari parti Melayu itu.

Keadaan itu disengitkan lagi dengan pembebasan para pemimpin dari blok pembangkang.

Semua itu berlaku kerana perebutan kekuasaan. Akibat politik yang tidak diurus dengan kematangan fikiran segalanya memburuk apabila kesetiaan politik dan tanggungjawab kepada negara diabaikan.

Insiden "alif mim nun wau sarkas" pada 1959 itu berlaku lagi, iaitu pada tahun ini. Ia adalah tahun kegagalan sebuah gagasan kemajuan kerana fikiran, seni dan sastera kita tidak dimajukan.


HARIS HAUZAH ialah penulis yang menyukai satira Juvenalia lebih daripada dirinya sendiri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS