Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah minta henti guna foto tanpa izin untuk promosi bisnes
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Penyanyi Aishah berkata semua peniaga sepatutnya beretika dan bersikap profesional untuk melariskan produk atau perkhidmatan masing-masing, bukan memanipulasi mana-mana pihak.

Justeru kata Aishah tidak wajar mana-mana jurulatih kesihatan dan penurunan berat badan menggunakan gambarnya sebagai testimoni mereka bagi meraih kepercayaan orang lain.

“Mesti ada juga orang rasa saya cerewet sangat apabila orang gunakan gambar saya kan. Jika buat perniagaan, kamu kenalah ada etika kerja.

“Jangan curi testimoni orang lain letak macam bagus testimoni kamu. Nak berniaga, amalkanlah etika berniaga yang profesional itu saja.

“Jadi apa yang berlaku apabila seorang jurulatih kesihatan penurunan berat badan letak gambar saya sebelum dan selepas (before and after) dari Instagram, saya rasa tak wajar,” katanya di Instagram.

Terdahulu, terdapat dua individu didakwa menggunakan gambar Aishah, 55, sebagai testimoni mereka untuk melariskan program yang ditawarkan melalui media sosial. Bagaimanapun, tidak lama kemudian pengguna akaun terbabit menurunkan hantaran mereka.

Untuk rekod, Aishah menjalani pembedahan bariatrik pada Feb 2018. Ia merupakan kaedah perubatan yang digunakan untuk mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik atau pembuangan beberapa bahagian pada perut.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berkata seseorang artis bukan saja ada yang berniaga dan menjual produk, bahkan diri mereka sendiri boleh diibaratkan sebagai produk.

“Ni yang kena faham.

“Yalah, pujilah macam mana pun, tetapi pada akhir posting menceritakan tentang perjalanan penurunan berat badan saya, (kemudian) dia letak nombornya sebagai jurulatih kesihatan penurunan berat badan. Seolah-olah saya ni testimoni dia,” katanya.

Menurut penyanyi Janji Manismu itu, dia tidak mahu orang ramai dikelirukan dengan mesej yang cuba disampaikan pihak terbabit selain mengundang masalah buat dirinya disebabkan testimoni tersebut.

“Kasihan orang yang baca status, yang tak tahu saya jalani pembedahan tersebut mendaftarlah untuk bimbingan dia, lepas tu tak menjadi, justeru bagaimana?

“Tiba-tiba saya pula yang disalahkan. Sebab tu saya amat menitikberatkan perkara-perkara macam ni,” katanya.

Lihat Komen
ADS