Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peserta siri realiti TV didakwa 'umpan' guru dengan makan malam
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: Dec 2, 2020 3:42 AM

Seorang pendakwah selebriti didakwa mengumpan kenalannya untuk keluar makan bersama sebelum mengajak individu itu ke rumah sebelum dirogol.

Hal itu terdapat dalam salah satu laporan polis dibuat seorang guru berusia 22 tahun dan kejadian didakwa berlaku pada 22 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata laporan itu dibuat guru terbabit kira-kira jam 6.30 petang semalam. Katanya guru itu bertugas di sebuah sekolah di Lembah Klang.

“Kejadian bermula pada 22 Okt pada jam lebih kurang 9 malam apabila suspek - seorang figura awam - mengajak mangsa keluar bersamanya untuk menyambut hari kelahiran di sebuah restoran di Petaling Jaya.

“Selepas selesai makan malam, suspek mengajak mangsa ke rumahnya di Damansara Perdana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee lagi pada awalnya guru terbabit menolak namun selepas dipujuk rayu dan dipaksa, dia akhirnya akur untuk pergi ke rumah suspek.

Semasa di rumah suspek itulah, katanya, guru terbabit mendakwa dirogol sekali.

Sambung reman 5 hari

Nik Ezanee berkata, suspek berusia 25 tahun itu kemudian menghantar mangsa pulang ke rumah pada keesokan hari.

“Mangsa turut diugut untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa hingga menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan dan trauma,” katanya.

Nik Ezanee memaklumkan setakat ini dalam daerah Petaling Jaya saja terdapat dua laporan polis dibuat dua mangsa berlainan terhadap bekas peserta program realiti berkenaan.

Katanya, kes difailkan pada 29 Nov disiasat mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan manakala kes difailkan pada 30 Nov disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Hari ini polis mendapat kebenaran untuk menahan reman suspek yang turut dikenali sebagai pelakon dan penyanyi itu selama lima hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang dikenali di laman sosial Instagram September tahun lepas. 

Perintah sambungan reman terhadap suspek dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Ahmad Feisal Mohd Azmi selepas tempoh reman lima hari bermula Jumaat lepas berakhir hari ini.

Sebelum itu suspek yang menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya turut membuat laporan polis meminta agar tuduhan yang dilemparkan kepadanya disiasat. 

Dia didakwa merogol mangsa yang datang berjumpa bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kemurungan. Kejadian itu didakwa berlaku selepas suspek membawa mangsa makan di sebuah kedai di Shah Alam.  

Setakat ini ada tujuh laporan polis diterima membabitkan peserta program realiti televisyen itu dengan kebanyakannya di Shah Alam.


Nota Editor: Semua individu yang dituduh melakukan jenayah tidak boleh dikenal pasti dalam laporan media sehingga mereka didakwa di mahkamah, melainkan mereka mengenal pasti dirinya melalui pernyataan awam atau seorang wakil rakyat. Dalam jenayah seksual, media disarankan untuk tidak menamakan tertuduh untuk melindungi identiti mangsa yang terselamat.

Lihat Komen
ADS