Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dai Syed dihadapkan tuduhan seks luar tabii, cabul dan rogol

Bekas peserta siri realiti bercorak keagamaan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, lebih dikenali sebagai Dai Syed, dihadapkan dengan pertuduhan melakukan seks di luar tabii, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. 

Dia juga dihadapkan dengan pertuduhan cabul di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, kertas pertuduhan menyataka, Syed Shah, 25, didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita berusia 22 tahun di sebuah kondominium di Damansara Perdana, di Petaling Jaya, antara kira-kira jam 3 pagi hingga kira-kira jam 4 pagi pada 17 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Faiz Dziyauddin.

Timbalan Pendakwa Raya, Vitiya Monisha Paranthaman mewakili pendakwaan manakala Syed Shah diwakili peguam bela Syed Amirul Syed Edros.

Ketika prosiding, Vitiya memohon agar ikat jamin tidak diberikan kepada tertuduh atas faktor keselamatan serta dikhuatiri mengganggu mangsa yang menjadi saksi utama perbicaraan.

Jika ikat jamin diberikan, dia meminta agar jumlah ditetapkan pada kadar RM100,000 serta surat pengakuan untuk tidak menggangu mangsa.

Syed Amirul

Bagaimanapun Syed Amirul berkata anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan polis dan meminta hakim menetapkan ikat jamin minimum, susulan keadaan kewangan anak guamnya yang telah terjejas.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 serta beberapa syarat tambahan, antaranya tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Pertuduhan kedua

Selepas prosiding ditangguhkan, Syed Shah yang merupakan peserta program Da’i Pendakwah Nusantara pada 2016 kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk pertuduhan kedua.

Untuk pertuduhan itu, Syed Shah didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seseorang terhadap wanita sama, juga pada waktu dan lokasi yang sama dengan pertuduhan pertama.

Dia turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Arif meminta ikat jamin sebanyak RM100,000 jika ikat jamin diberikan.

Bagaimanapun peguam bela meminta hakim mengurangkan jumlah itu atas sebab tertuduh menanggung keluarganya sejak 2017 dan kedudukan kewangan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, majistret memerintahkan ikat jamin RM5,000 dan menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Syed Shah yang juga seorang penyanyi dan pelakon ditahan reman sejak 26 Nov lalu setelah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan.

Dia juga dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Majistret Shah Alam untuk kes yang lain.

Selepas dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya susulan dua pertuduhan atas seks luar tabii dan cabul, Syed Shah dihadapkan pula dengan satu pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada sebelah petang.

Bagaimanapun Syed mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Rofiah Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed didakwa telah merogol seorang wanita berumur 23 tahun di sebuah bilik di Shah Alam pada 11 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memohon agar ikat jamin tidak diberikan kepada tertuduh atas faktor keselamatan serta dikhuatiri mengganggu mangsa yang menjadi saksi utama perbicaraan.

Namun sekiranya ikat jamin diberikan, timbalan pendakwa raya meminta agar jumlah ditetapkan pada kadar RM100,000 serta surat pengakuan untuk tidak menggangu mangsa.

Bagaimanapun Syed Amirul berkata anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan polis dijalankan serta sekiranya diberikan pada kadar minima susulan keadaan ekonomi tertuduh yang terjejas.

Tambahan pula, Syed Amirul berkata, anak guamnya telah berdepan dengan jumlah jaminan RM25,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya di Petaling Jaya sebentar tadi dan masih tidak mampu untuk menjelaskan bayaran tersebut.

Mahkamah Sesyen kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan tidak menghubungi atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes dibicarakan dan harus melaporkan diri ke balai polis berdekatan mulai 1 Januari 2021 di Balai Polis Kota Kemuning.

Lihat Komen
ADS