Kejayaan dalam bertindak secara proaktif bagi meminimumkan impak penularan Covid-19 serta mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif, adalah antara pencapaian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam mendepani cabaran 2020.

Unit Komunikasi Korporat Finas dalam satu kenyataan berkata inisiatif perbadanan itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan aktiviti penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), telah memacu semula produktiviti serta meningkatkan ekonomi industri kreatif tanah air.

Menurutnya Finas juga telah melancarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) yang bertujuan memperkasa semula industri kreatif yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Salah satu inisiatif di bawah Pelaksana adalah pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) pada 24 Nov 2020 yang berjaya memberi manfaat kepada 39 syarikat produksi, melibatkan peruntukan RM13.38 juta,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Finas menawarkan Insentif Saringan Prihatin dengan kadar maksimum RM5,000 untuk setiap syarikat produksi melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap artis dan kru produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB.

Insentif itu bertujuan memastikan keselamatan dan kesihatan kru-kru produksi serta barisan artis sentiasa terjamin di lokasi penggambaran, sekali gus dapat mengekang penularan wabak Covid-19.

Finas juga berjaya melaksanakan inisiatif kebajikan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM227,000 pada 2020 dengan pelaksanaan Program FINAS Prihatin melibatkan 102 penerima serta penyaluran sumbangan kebajikan melalui 15 persatuan perfileman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara pencapaian lain agensi itu adalah pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin, Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC), penawaran Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif serta penganjuran Bengkel Kemahiran Youtube dan Komuniti Sinema Finas.

Di samping itu, Finas menubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak bagi meneruskan usaha membanteras aktiviti pengedaran filem tanpa lesen pengedaran yang sah serta meneruskan sesi libat urus bersama pemegang taruh industri dalam memperkasa serta menambah baik Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Menurut kenyataan itu, kesemua usaha yang dilakukan agensi berkenaan selaras dengan aspirasi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global, khususnya dalam aspek antaranya meningkatkan kebolehpasaran domestik serta peluang pekerjaan.

-Bernama