Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat terus meratap: ‘Aku dah perempuan’
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 3:40 PM
Dikemaskini: Mar 3, 2021 3:24 AM

Personaliti kontroversi Nur Sajat Kamaruzzaman berkata dia mengalami kemurungan.

Perkara itu ditimbulkan selepas dia berdepan siasatan penguat kuasa agama atas dakwaan menghina Islam dan kesucian institusi agama, selain mendakwa dikasari.

Dalam coretan panjang lebar di Instagram, Nur Sajat secara tidak langsung memberi bayangan berkaitan identiti gender sebenarnya dengan berkata “aku ini lelaki yang mempunyai kemaluan wanita”.

Justeru, kata usahawan kosmetik itu, dia berdepan pelbagai dilema termasuk untuk beribadat.

“Aku ada bertanya pada ustaz aku nak solat, aku tengok bangsa lain macam aku (tapi) masih sembahyang pada Tuhan mereka berdasarkan kepercayaan agama masing-masing.

“Aku dah perempuan, kemaluanku, tubuhku, cara hidupnya semua perempuan, aku nak solat, aku tak selesa solat (dalam) keadaan lelaki. Aku selesa solat cara wanita, adakah solat aku sah dalam agama?

“Semua bacaan lengkap, kiblat semua sempurna, (cuma) aku manusia tak sempurna. Aku cacat pemikiran, cacat jiwa, cacat naluri. Aku cuba kawal, cuba berubah, tetapi cacat ini terus kekal. Rupa-rupanya cacat dalaman lagi kuat tamparannya, adakah solat aku sah?” ujarnya di Instagram.

Dia mendakwa ustaz yang dirujuknya memberitahu jawapan yang melegakan dan sejak itu dia mula mendekatkan diri dengan Islam.

“Bersolatlah cara selesa yang rasa bagus untuk diri awak, perlahan-lahan kenali Allah. Bila ustaz kata macam tu, hatiku kuat dengan agama. Makin dekat main sayang, makin cinta dan bahagia dengan Allah,” katanya.

Sajat, 35, mengiringi luahan itu bersama gambar hiasan seseorang menutup muka dengan kapsyen: “Depresi: Terpuruk rasa ingin mati.”

Terdahulu, tular sebuah rakaman klip video memaparkan Sajat sedang menangis teresak-esak dalam satu insiden yang didakwa berkaitan penguat kuasa Jabatan Agam Islam Selangor (Jais).

Insiden terbabit didakwa berlaku pada 6 Januari lalu susulan siasatan jabatan agama itu terhadap Sajat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Jais berkata pihaknya maklum berhubung dakwaan Sajat dan berkata penguat kuasa mereka telah dipanggil memberikan keterangan, tanpa menyebut secara khusus sama ada kepada pihak polis atau panel siasatan dalaman.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Jais berkaitan perkembangan dan maklumat lanjut berkaitan siasatan terhadap Sajat.

Pada masa sama, Sajat mendakwa segala amalan dalam agama yang dilakukannya turut menjadi pertikaian segelintir pihak.

Ia menyebabkan penyanyi Makhluk Penggoda itu bertambah “hanyut” dengan gangguan emosi yang sedang berlaku ke atas dirinya.

“Amalan kebaikan (menjadi) sia sia sebab pengenalan diri Sajat lelaki. Apa kubuat dikatakan perbuatan haram kerana cara hidup semua adalah wanita.

“Aku buat kerja sedekah, wakaf, bina pagar masjid, mimbar, tempat mandi, membayar zakat setiap bulan, bersedekah selalu tak kira agama dan sebagainya cara aku nak tunjuk sayang Allah.

“(Adakah) orang macam aku tetap haram? Apa hukum aku yang menukar jantina untuk bersujud pada Allah? Aku cacat. Ya aku cacat kerana naluri aku berfikiran wanita. Iman wanita aku kuat. Aku bukan iman lelaki walapun pengenalan diri aku lelaki.

“Bila jadi macam ini aku rasa Allah tak sayang aku dah. Kenapa lahirkan aku buat agama benci aku. Aku celik mata (jadi) Islam, aku baik dalam agama (tapi) orang agama memperkotak-katikkan perwatakanku,” katanya.

ADS