Cuba menyelami kesedihan dialami M Nasir, penyair dan pelakon Pyanhabib berkata, mungkin ada cara yang boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia untuk membolehkan keryawan kelahiran Singapura itu berkunjung ke republik berkenaan untuk menatap wajah bapanya buat kali terakhir.
Menurut Pyanhabib, tentu lebih baik jika kebenaran berkenaan diberi kerana M Nasir kehilangan bapanya dan kelonggaran boleh diberikan hanya kepada penyanyi dan pencipta lagu terbabit.
“M Nasir kehilangan ayahanda pagi tadi (semalam). Jenazah ayahandanya selamat dikebumi selepas Zohor di pusara abadi Singapura.
“Brader gua ni akan berasa kehilangan lantaran dia tidak dapat pulang menziarahi saat akhir ayahandanya, Mohamed Sam, 96, seorang bekas imam besar masjid lantaran sebarang rentas daerah negeri dan negara tertakluk pada kelulusan dan permohonan brader gua untuk pulang tidak dibenarkan.
“Alangkah baik hati kita kalau kebenaran diberi walau hanya untuk M Nasir seorang kerana dia selaku ketua keluarga,” katanya di media sosial malam tadi.
Menurut pelakon drama Lorong Kecil ke Syurga itu, soal kebenaran selebihnya, terpulanglah pada pertimbangan Singapura.
“Dibenar atau tidak memasuki Singapura terserah kepada budi bicara berkuasa negara di seberang tambak Johor itu,” katanya lagi.
Mohamed Sam meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 7.30 pagi semalam.
Terkenang tangis teresak-esak
Terdahulu, Astro Awani melaporkan isteri M Nasir, Marlia Musa, 53, berkata Covid-19 menyebabkan mereka sekeluarga tidak dapat pulang ke Singapura untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapa mentuanya itu.
Menurut pelakon, penggiat teater dan pensyarah itu, disebabkan keadaan tidak mengizinkan, dia, M Nasir serta anak-anak mereka hanya mampu reda dan menitipkan doa dari jauh memohon kesejahteraan arwah.
“Kami sudah berusaha membuat permohonan untuk pulang ke Singapura, namun, pihak berkuasa tidak mengizinkan akibat Covid-19. Abang (M Nasir) juga reda dan akur bahawa keadaan semasa benar-benar tidak mengizinkan,” katanya.
Marlia berkata, kali terakhir dia dan M Nasir bertemu allahyarham ialah kira-kira setahun lalu iaitu sebelum pandemik Covid-19 berlaku.
Sejak itu, menurutnya, mereka hanya bertanya khabar melalui panggilan telefon dan video.
Pyanhabib berkata dia juga terkenang sewaktu M Nasir menumpahkan air matanya pada saat penyanyi itu terkenangkan arwah isteri pertamanya, Junainah Johari - yang meninggal dunia akibat asma.
“Gua terkenang saat brader gua ni memeluk dan menangis teresak-esak di dada ayahandanya pada subuh awal Ogos 1998 semasa dia kehilangan Nana @ Junainah (ibu kepada Mohd Ilham, Mohd Yassin, Mohd Hidayat, Mohd Syafi’i dan Nur Nilam Sari).
“Allahyarham meninggal dunia sekitar dua bulan selepas melahirkan Nur Nilam Sari. Daripada Allah kita datang kepada Allah kita pulang,” katanya.
M Nasir menamatkan status dudanya dengan Marlia pada 2000 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Suci Musalmah.
