Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wani melawan tabu bincangkan isu wanita tanpa rahim

WAWANCARA | “Ketika berumur awal 20-an, saya hanya menemui istilah Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) selepas membuat carian Internet, bukan diberitahu oleh sesiapa pun termasuk doktor,” demikian kata wanita ‘istimewa’ Wani Ardy.

Pengasas Kumpulan Sokongan MRKH Malaysia berkenaan - yang kini berusia 36 tahun - berkata, sejak itu usahanya untuk mendidik masyarakat berhubung keadaan wanita yang lahir tanpa rahim dan saluran vagina - serta tidak boleh hamil - tidak pernah luntur.

Justeru, apabila diberi peranan sebagai penasihat dalam drama bersiri Rahimah Tanpa Rahim, Wani atau nama asalnya Nur Syazwani Abdul Rahim menganggap ia adalah peluang besar untuknya memahamkan lebih ramai orang mengenai MRKH.

Apabila penerbit Rahimah Tanpa Rahim, Jalina Rejab, menghubunginya untuk mendapatkan pandangan agar drama bersiri itu menepati apa yang sebenarnya berlaku pada seseorang yang mengalami MRKH, dia berasa lebih lega.

“Itu adalah bahagian paling penting kerana kita akan bercakap mengenai sindrom yang wujud, bukan fiksyen. Rasanya, ini bukan drama pertama yang mengetengahkan watak wanita utama mempunyai masalah MRKH.

“Tapi ni adalah kali pertama kami dirujuk penerbit untuk pembikinan sebuah drama. Saya amat berbesar hati,” katanya kepada Malaysiakini.

Wani yang terkenal sebagai penulis buku Langit Vanilla berkata, dia perlu lebih ketengah untuk bercakap mengenai MRKH kerana ada masyarakat yang takut untuk berbincang mengenai kesihatan seksual tapi tidak malu untuk menggunakan lawak kesat.

Ada menganggap tak sesuai

“Saya tak suka apabila ada orang yang takut nak bercakap soal kesihatan seksual tapi tak malu nak guna bahasa kesat dalam jenaka mereka.

“Pada kebanyakan masa, ramai orang juga fikir saya terlampau berterus-terang (blunt) sebab saya menggunakan istilah rahim, vagina dan lubang.

“Saya tak rasa begitu, tapi jika anda terfikir memang begitu, mungkin disebabkan anda tak biasa bercakap mengenai kesihatan seksual,” katanya.

Terdahulu, Rahimah Tanpa Rahim menuai kontroversi dalam kalangan netizen sebelum disiarkan hingga ada mempersendakan judul, cerita serta poster drama berkenaan. Malah ada antaranya meninggalkan komen lucah.

Untuk rekod, Kumpulan Sokongan MRKH Malaysia kini mempunyai seramai 200 anggota di seluruh negara. Walaupun tidak banyak diketahui berhubung sindrom berkenaan, ia menjejaskan satu dalam setiap 5,000 wanita.

Judul yang dipilih - Rahimah Tanpa Rahim - menarik perhatian orang ramai sebelum siri ini disiarkan dengan beberapa netizen mempertanyakan sama ada "Rahim" adalah nama lelaki atau rujukan literal untuk organ wanita yang didakwa mereka sebagai tidak sesuai.

Mengulas perkara itu, Wani yang juga seorang daripada pengidap MRKH memaklumkan, dia sedikit pun tidak terkejut dengan cara penerimaan segelintir masyarakat.

Menurut bekas pensyarah tersebut, dia terlebih dulu mempunyai firasat bahawa judul yang akan digunakan sememangnya bakal mencetus polemik.

Cemas nak bawa watak

“Saya kuatkan diri sebab memang dah agak. Sebagai pendidik, ini bukan situasi pertama berlaku.

“Semasa mula-mula terima skrip, saya ada bertanya pada kak Jai (Jalina) adakah dia tidak mahu menukarnya dan benar-benar pasti mahu menggunakan judul tersebut kerana ia terlalu langsung.

“Tapi apabila dijelaskan alasannya, saya OK saja. Perlu kuatkan diri untuk berdepan reaksi masyarakat dan apa dirisaukan betul-betul terjadi. Namun, seperti biasa, saya sentiasa gunakan peluang yang ada untuk mendidik masyarakat,” katanya.

Bercakap mengenai peneraju utama Rahimah Tanpa Rahim iaitu Puteri Aishah, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, pelakon terbabit sentiasa menghubunginya siang atau malam untuk membuat rujukan.

Katanya, aktres berkenaan banyak bergantung kepada maklumatnya bagi memastikan watak dibawa benar-benar berjaya kerana dia tidak pernah ditawarkan untuk menjadi seorang wanita MRKH.

“Masa tu Puteri Aishah banyak berkomunikasi dengan saya. Dia benar-benar cemas untuk membawakan watak tu. Dia sendiri tak pernah tahu fasal sindrom MRKH.

“Dia banyak bergantung kepada saya dan tak ikut skrip 100 peratus. Dia benar-benar mahu memahami karakter.

“Puteri Aishah berkata, jika diberi pilihan, mungkin dia memilih untuk membawakan watak pesakit kanser kerana ia lebih biasa didengar. Puteri Aishah menjaga ibunya yang mengidap kanser,” katanya.

Lihat Komen
ADS