Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Karya Syed Hussien Alatas dalam buku Metos Pribumi Malas yang diterbitkan pada 1989, ada merakamkan beberapa pandangan pengkaji barat mengenai Melayu khususnya kehidupan dan sikap orang Melayu.

Antaranya, pada tahun 1613, seorang pegawai Portugis Emanuel Godhino de Eradia telah menyampaikan tiga buah risalahnya kepada Raja Sepanyol mengenai kajiannya terhadap masyarakat Melayu golongan marhean. 

Antara petikannya;

“Rakyat biasa mempunyai sifat yang lebih baik, mereka biasanya memanfaatkan waktu dengan keterampilan teknik untuk memperolehi pendapatan, banyak diantara mereka adalah ahli ukir yang ulung dan mahir dalam bidang kimia untuk mengolah dan memperkeras besi dan besi waja dalam pembuatan senjata”

Ungkapan Eradia ini merakamkan bagaimana cara hidup masyarakat Melayu golongan biasa di Melaka pada zaman itu. Dari ungkapan kecil ini kita boleh memahami bahawa masyarakat Melayu mempunyai kerja kreatif dalam waktu senggangnya.

Kreativiti ini bukan sahaja memerlukan daya imaginatif, kerja kreatif adalah satu kerja yang berasaskan pengetahuan dan kemahiran (ilmu), maka ini bermakna dunia kreatif sudah menjadi latar hidup masyarakat Melayu berkurun dulu lagi.

Dari sisi inilah maka kita telah cuba untuk menggali kembali khazanah masyarakat tempatan ( Selangor ) tentang kerja-kerja kreatif yang bersifat tradisi yang telah tercicir dari radar pembangunan industri kebudayaan.

Kepandaian masyarakat tentang besi, kayu, rotan dan sebagainya dianggap sebagai kerja kraftangan. Manakala muzik dan tarian dianggap kerja hiburan dan tradisi kebudayaan. Semua ini tidak dilihat dari perspektif kerja kreatif.

Kerja-kerja kreatif adalah suatu konsep pekerjaan yang memerlukan daya intelek dan inovasi selain memerlukan kemahiran dan pengetahuan. Ia berbeza jika kita melihat kerja-kerja itu sebagai kerta kraf atau tradisi yang tiada nilai ‘industri’.

Dalam senario hari ini, zaman IOT, zaman dunia tanpa sempadan, zaman gig ekonomi, zaman digital, kita perlu memperbetulkan kembali perspektif kita mengenai kerja budaya ini.

Ia bukan lagi kerja ‘penghias acara/majlis’ atau ‘cenderahati’ (souvenir) untuk pelancongan sahaja, tetapi ia adalah suatu kerja yang mempunyai nilai ekonomi dan yang boleh menawarkan peluang pekerjaan alternatif dalam industri kebudayaan kepada rakyat.

Maka di sinilah usaha Rentak Selangor untuk cuba menganjak perspektif kita ke suatu tahap yang releven dengan keperluan hidup zaman ini.

Pada asalnya program Rentak Selangor ini adalah kesinambungan Program Kita Ke Kampung, namun hari ini, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan telah cuba mengolah kembali program tersebut menjadi suatu usaha yang lebih realistik dengan keperluan pekerja budaya dengan matlamat sebuah negeri.

Namun usaha ini ada cabarannya. Penggiat atau pengusaha industri kebudayaan ini juga memerlukan suatu semangat baharu. Masih banyak yang perlu ditingkatkan selain usaha kerajaan untuk membantu mereka.

Selain Eradia, seorang lagi pengkaji berbangsa Belanda juga ada menitipkan pandangan mereka kepada masyarakat Melayu pada 1726 dalam Buku Metos Pribumi Malas ini. Cerapan beliau menyatakan bahawa orang Melayu ini lincah, lucu, cerdik, berbakat, sopan santun, namun mereka juga mempunyai kesombongan diri yang besar (ego).

Dalam kita menerima pujian pengkaji-pengkaji ini, elok juga kita mengambil maklum tentang kelemahan diri kita. Dan orang seni ini, musuh terbesarnya ialah ego. Tidak ada mana-mana kerajaan mampu mengubah ‘ego’ kita. Dan kita tidak akan maju dengan ego ini. Sama-samalah kita belajar serta memperbaiki diri kita untuk maju.

Industri kebudayaan harus menjadi industri yang penting, yang boleh menjadi sumber ekonomi kepada kita semua. Maka dengan itu, Rentak Selangor telah bermula.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS