Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ya, saya dah kahwin - Elizabeth Tan
Diterbitkan:  Mar 21, 2021 10:03 AM
Dikemaskini: 11:24 AM

Susulan gambar tular perkahwinannya, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, akhirnya mengesahkan dia sudah bergelar isteri kepada ahli perniagaan bernama Siew Jim, 30, semalam.

Menerusi kenyataan media ringkas, penyanyi lagu Semua Sudah itu memohon maaf kerana berita perkahwinannya itu tersebar lebih awal.

“Saya minta maaf sebab berita pasal ini (kahwin) tular sebelum sempat keluarkan kenyataan sendiri. Saya memang merancang nak umumkan pada semua mengenai hal ini selepas sudah bersedia.

“Saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan isu perkahwinan ini kerana isu kecil saja. Bagaimanapun ingin saya sahkan memang benar gambar dan video yang telah tersebar.

“Saya sudah berkahwin,” katanya.

Terdahulu, video dan gambar perkahwinannya di sebuah gereja di Gombak tersebar dan mengejutkan ramai pihak.

Ia selepas bapanya, David Tan Suan Chew memuat naik sekeping foto memperlihatkan anaknya itu berdiri di hadapan paderi yang sedang membacakan ikrar perkahwinan.

Susulan itu, ruang komen Instagram pemilik nama sebenar Tan Su Mei, 27,itu dihujani ucapan tahniah daripada pengikutnya.

Dia yang mesra disapa Lizzy memaklumkan majlis perkahwinannya yang berlangsung semalam dibuat secara kecil-kecilan.

“Ia sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya dihadiri 10 orang tetamu dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat saja," katanya.

“Dengan kerendahan hati, Lizzy memohon maaf kerana tidak dapat mengundang ahli keluarga lain dan teman media.

“Pada saya, memilih untuk berkahwin ni tidak mengubah apa-apa. Saya masih Lizzy yang sama.

“Dan saya berharap semua dapat menerima dan menghormati keputusan ini," katanya.

Menerusi kenyataan media yang disampaikan, dia bagaimanapun tidak berkongsi perincian majlis perkahwinan berlangsung di mana, kisah percintaan dan berapa lama berkenalan dengan suaminya.

Elizabeth berkata, sebelum ini dia pernah menyemat impian mahu mendirikan rumah tangga, sekali gus menimang cahaya mata pada usia 30 tahun.

Pengakuannya yang dibuat pada sebuah acara sidang media sebuah filem beberapa bulan lalu itu seakan memberikan bayangan penyanyi tinggi lampai itu sudah berpunya.

Dia juga sebelum ini pernah mendedahkan kisah cinta dengan seorang jejaka berakhir di tengah jalan.

Lihat Komen
ADS