Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penunggang Agama lahir dari pengalaman sebenar Syafiq Yusof

Syafiq Yusof berkata Penunggang Agama yang menjadi karya terbarunya bukanlah rekaan saja-saja sebaliknya diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku dalam hidup pengarah muda itu.

Justeru kata Syafiq, naskhah berkenaan hadir tidak sekadar mahu menyuntik suasana seram seperti filem Munafik dan Khurafat arahan abangnya, Syamsul Yusof.

Syafiq berkata, naskhah genre seram dengan elemen Islamik pertama di bawah arahannya itu cuba mengetengahkan mesej mengenai seseorang yang membawa imej agama Islam tapi sebenarnya menyekutukan ajaran Allah SWT.

“Ia memang daripada pengalaman hidup dan kisah benar yang saya alami sendiri tapi ia dijadikan dalam bentuk fiksyen.

“Saya faham jika isu ini mungkin dilihat sensitif, tapi wujud pakar agama tidak bertauliah termasuk amalan mempercayai bomoh.

“Saya pernah bertemu orang sebegini yang berpewatakan alim, namun hakikat sikap sebenar adalah di sebaliknya,” katanya yang ditemui selepas tayangan Penunggang Agama di E Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem seram terbaru terbitan Astro Shaw dan Skop Production itu sedang ditayangkan di Astro First.

Penunggang Agama berkisahkan cabaran dilalui pasangan suami isteri, Amir dan Anna, watak yang dijayakan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz dalam menyelamatkan keluarga mereka daripada ancaman gangguan makhluk halus.

Kejadian berpunca selepas ibu tiri Amir, Datin Maria (Sabrina Ali) tiba-tiba dirasuk hingga menyebabkan suaminya, Datuk Hafsyam (Jalaluddin Hassan) mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat ‘pakar ruqyah’ bernama Tok Haji (Nasir Bilal Khan).

Dicabar buat filem seram Islamik

Namun, Amir - yang pernah menuntut di Universiti Al Azhar - tidak mempercayai Tok Haji dan pembantu yang juga isterinya, iaitu Anna (Salina Saibi). Hal itu menimbulkan konfrontasi dalam hubungan Amir dengan bapanya.

Soal dibandingkan dengan hasil kerja Syamsul, Syafiq berkata, dia tidak kisah sekiranya itu menjadi perkara pertama yang muncul dalam fikiran penonton.

Menurut Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem SAM: Saya Amat Mencintaimu itu, umum sedia maklum abangnya terlebih dulu mengetengahkan genre sama.

“Saya dah lama simpan idea nak garap karya bergenre seram, ada nak dekat lima, enam tahun juga. Justeru, soal dibanding karya dan kerja pengarahan dengan abang sendiri memang sesuatu yang saya tak boleh elak.

“Sejujurnya, filem Penunggang Agama memang diinspirasikan daripada filem arahan abang. Filem Munafik arahannya pun sudah diketahui ramai dan mencuri perhatian,” katanya.

Ditanya mengapa Astro First menjadi pilihan dan bukannya layar perak, Syafiq menjawab, dia cuba mencari alternatif lain memandangkan negara masih belum bebas ancaman Covid-19.

Selain itu katanya, dia juga menyahut cabaran bapa, Yusof Haslam untuk menyelamatkan perusahaan produksi perfileman mereka yang tidak tampil dengan sebarang karya hampir dua tahun.

“Dua filem arahan saya, Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 terperam tak dapat ditayang sejak lebih setahun. Sebab tu papa minta lakukan sesuatu untuk Skop Production.

“Papa cabar saya buat filem seram dan ada unsur Islamik. Saya terima dengan bajet diperuntukkan untuk Astro First dan tanpa ada rancangan untuk tayang Penunggang Agama di pawagam,” katanya.

Lihat Komen
ADS