Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ajai: Kalau dah memang tak boleh menyanyi, elok cari kerja lain

Penyanyi tidak boleh menyanyi secara langsung atau terpaksa menggunakan bantuan teknologi untuk memerdukan suara mereka boleh dianggap penipu, kata komposer dan pemuzik terkenal, Ajai.

Dia yang enggan melihat industri seni suara dipenuhi dengan artis tangkap muat itu menegaskan, seseorang penyanyi tidak boleh menganggap bidang yang diceburi itu boleh diisi dengan sikap suka-suka saja.

Kata Ajai, tidak semua orang boleh menyanyi justeru biarlah hanya individu yang benar-benar berbakat saja dikekalkan berada dalam industri berkenaan.

“Tu yang tak seronok... sebab pada saya dia menipu. Kamu sampaikan suara yang tak sampai.

"Ia mendatangkan mudarat sebab apabila penyanyi tu buat persembahan secara langsung, dia akan kecundang di atas pentas. Dia tak akan kekal lama dalam industri," katanya.

Penyanyi Aduh! itu menjelaskan apa yang diperlukan dalam bidang seni suara adalah bakat, bukannya fesyen dan dia menilai seseorang berdasarkan kualiti agar bidang seni suara negara boleh melahirkan lebih ramai artis yang bagus pada masa depan.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertama penyanyi baru, Sophia Zuhri, berjudul Game of Charades yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ajai diminta mengulas mengenai lambakan kehadiran penyanyi baru yang dilihat lebih banyak bergantung kepada teknologi autotune untuk mengubah suara mereka berbanding kemampuan sebenar masing-masing.

Nak bermula kena awal 

Mengakui dirinya agak selektif dalam bab menilai bakat seseorang, Ajai, 46, berkata jika ditawarkan imbuhan mencecah hingga jutaan ringgit sekalipun dia tetap akan menolak sekiranya didapati seseorang itu memang tidak boleh menyanyi.

“Pada saya, bidang nyanyian adalah sebuah kerjaya. Memang banyak bakat baru hantar demo mereka pada saya, tapi jika tak boleh menyanyi, saya akan beritahu supaya dia jangan buang masa.

“Orang nak bagi duit sejuta ringgit pun kalau tak boleh menyanyi, saya suruh dia cari saja kerjaya lain jika memang tak boleh menyanyi,” katanya.

Ajai bersama Sophia yang dianggap berbakat sebagai penyanyi serta penulis lirik. 

Menurut Ajai, sikap cerewet itu jugalah yang ‘menyatukan’ dia dengan Sophia, seorang pendatang baru yang bukan saja boleh menyanyi tetapi berbakat dalam bidang penulisan.

Selaku penerbit Game of Charades, Ajai berkata, dia menerima tawaran untuk bekerjasama kerana percaya dengan bakat pelajar yang sedang melanjutkan pengajian peringkat A-Level di London itu.

“Sejujurnya, saya tak terbitkan lagu untuk semua orang tetapi Sophia berbeza kerana dia memiliki kelas yang tersendiri ditambah dengan bakat penulisan lirik yang ada padanya membuatkan saya bersetuju untuk berkolaborasi.

“Saya dapat melihat diri saya dalam bakat Sophia. Saya mahu dia memiliki vokal yang lebih baik berbanding dengan apa yang dimilikinya sekarang.

“Ketika berusia 13 tahun dia dah cipta lagu seperti ni, cuba bayangkan imaginasi dia bagaimana.

"Bagi saya, penulis memang kena bermula seawal usia sebegini sama seperti M Nasir, bukannya apabila dah berusia lebih 20-an,” katanya.

Lihat Komen
ADS