Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pensyarah lapor polis aksi terlampau Safiey depan kanak-kanak

Bimbang aksi lucah dipamerkan Safiey Ilias membabitkan kanak-kanak bawah umur ditayang untuk tontonan umum, seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, laporan dibuat bertujuan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap usahawan kontroversi itu yang menggunakan saluran Instagram Live miliknya sebagai platform untuk melakukan dandanan seksual ke atas pengguna media sosial yang dipercayai baru berusia 14 dan 15 tahun itu.

“Isu di sini adalah aksi menggoyang-goyangkan buah dada ditonjolkan Safiey berunsur seksual, sebagai ibu dan seorang pendidik, perbuatan seperti itu amat mengganggu emosi. Jika tak dikawal, akan ada lebih banyak elemen pedofilia.

“Perbuatan tu juga satu bentuk provokasi terhadap agama yang semakin meningkat. Mereka ni memang dah tak ada segan silu lagi. Ia menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Apa Safiey lakukan juga adalah dandanan seksual. Senang nak cari perhatian kanak-kanak melalui Instagram. Dia tak sepatutnya melibatkan kanak-kanak dalam sesi kelucahan tu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rafidah berkata, sekiranya apa yang berlaku tidak ditangani segera, perkara seperti itu akan berterusan selain bertambah sukar untuk dibendung.

Terdahulu, Safiey - yang mempunyai seramai 1 juta pengikut di laman sosial- dilihat berbual isu seperti bahan terlarang, menari tarian berunsur seks sekolah-olah berada di kelab malam serta berbual lucah dengan kanak-kanak berkenaan.

Perbuatan itu didakwa sebagai dandanan seksual.

Seorang lagi turut dinamakan dalam laporan polis tersebut adalah pempengaruh (Instafamous) dikenali dengan nama akaun @pipinatasha.

Rafidah berkata, dia membuat laporan itu antaranya berdasarkan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atas Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) serta perbuatan berkongsi kandungan lucah, yakni kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Rafidah turut menggesa ibu bapa mengambil perhatian dengan apa dilakukan anak-anak mereka terutama pada waktu di luar sesi pembelajaran.

“Saya memahami ketika ini zaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ibu bapa meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada anak-anak mereka untuk siapkan kerja sekolah.

“Tu sebab mereka sediakan telefon pintar, namun alat peranti itu disalahgunakan. Saya diberitahu Instagram Live itu berlaku jam 1.50 pagi, justeru, ibu bapa harus mengambil perhatian dengan apa yang anak mereka lakukan pada waktu yang tak dijangka,” katanya.

Ketengah isu bulan LGBT pada menteri

Selain laporan polis, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM itu turut mengetengahkan isu terbabit dengan menulis surat terbuka kepada Menteri Saifuddin Abdullah.

Surat itu ditulis beberapa jam sebelum laporan dibuat itu antaranya mengetengahkan isu berkaitan Gay Pride Month yang mendedikasikan Jun sempena bulan bagi menyambut komuniti LGBT.

Katanya, negara ini sedang menyaksikan peningkatan kes provokasi pro-LGBT ke atas agama dan budaya melalui platform media sosial yang ada.

“Rakyat telah menggunakan saluran aduan yang ada, tapi punca kuasa yang paling tuntas sudah tentulah dari pihak kementerian, mereka sepatutnya harus bertegas,” katanya.

Bagaimanapun, Rafidah mendakwa setakat ini dia belum dapat berhubung secara langsung dengan Saiffudin kerana akaun media sosialnya sudah disekat oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Safiey berkaitan laporan polis itu.

Lihat Komen
ADS