mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN SENI | Seni catan menjadi penting setelah pihak gereja menggunakan lukisan sebagai salah suatu jalan untuk mereka menarik manusia kepada hal-hal agama.

Pada zaman-zaman awal kita dapati lukisan yang dihasilkan itu lebih tertumpu kepada menterjemahkan apa yang ada di dalam Bible. Ia tentu saja hasil imaginasi pengkarya yang akhirnya dianggap benar oleh sekurang-kurangnya pengamal agama yang menjadi audien ketika itu.

Jesus, Venus, Mary bahkan god yang digambarkan pada waktu itu menjadi template kepada karya 'ketuhanan' sehingga hari ini. Begitu kuatnya pengaruh yang datang dari catan berkenaan sehingga seakan-akan semua orang setuju bahawa Jesus, Venus, Mary semuanya adalah berkulit putih (Caucasian).

Ada gerakan yang terpinggir daripada kumpulan kulit hitam cuba mengambarkan bahawa Jesus sebenarnya berkulit hitam. Namun seperti yang dinyatakan, ia sesuatu yang terpinggir. Kemudian ia dianggap sebagai gerakan perkauman.

Dunia seni catan hari ini sudah berkembang jauh dan bukan sekadar alat menyebarkan agama. Bahkan sebagai perbandingan hari ini terdapat karya-karya yang secara jelas menentang amalan beragama.

Selain itu, karya seni catan juga sering diguna sebagai senjata untuk memerangi ketidakadilan. Picasso misalnya menghasilkan sebuah karya antiperang yang diberi judul Guernica.

Karya-karya sastera pula menjadi senjata kepada sasterawan di negara kita pada era sebelum merdeka. Penulis seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Keris Mas dan sebagainya giat mengkritik melalui karya-karya mereka.

Seniman dianggap derhaka

Setelah itu terdapat pula karyawan seni yang lantang mengkritik kecelaruan dalam pentadbiran kerajaan negara ini melalui sastera seperti novel Shit! karya Shahnon Ahmad.

Apa yang sangat menggangu ialah apabila karya-karya seni yang mengkritik sentiasa dianggap perbuatan yang jahat oleh pihak kerajaan. Mereka yang teramat suka kepada kerajaan pula - tanpa mahu mengambil peduli akan hal korupsi, pentingkan diri dan tak endahnya pemimpin politik - sentiasa menganggap karya seni (dan tentu saja pengkaryanya) adalah penjahat, penjenayah dan si penderhaka yang tidak tahu diuntung.

Kerajaan dan penyokongnya tidak faham - atau sengaja tidak mahu faham - atas kepentingan untuk terus berkuasa bahawa yang dikritik oleh seniman ialah kejahatan, bukannya peribadi atau parti.

Seniman yang baik ialah seniman yang tidak berpihak.

Maka terjadilah pembantaian terhadap karya seni dan seniman yang terlibat dalam kritikan ke atas kejahatan tadi.

Pol Pot misalnya membunuh siapa saja yang dianggap sebagai pengkritik rejimnya. Penulis, pelukis, ahli akademik bahkan sesiapa sahaja yang memakai cermin mata telah dibunuh oleh pemimpin kejam itu.

Indonesia pada zaman Bung Karno juga menahan karyawan seni dari pelbagai cabang kerana dia tidak setuju dengan budaya mengkritik. Beribu-ribu seniman yang dianggap penderhaka telah dihukum dan dikurung.

Negara yang kita cintai ini juga pernah memenjarakan sekian ramai penulis yang dianggap mengkritik kerajaan. Mereka dilebel sebagai komunis, satu label yang sedap dan mujarab digunakan waima sehingga ke hari ini.

Dua negara yang beramal dengan komunisme - China dan Korea Utara - juga amat tegas menghukum pengkritik, namun tidak diketahui apa gelaran yang diberikan kepada pengkritik terbabit. Mungkin mereka digelar sebagai ejen demokrasilah agaknya.

Inisiatif kumpulan anak muda

Hanya diktator yang takut kritikan, manakala pemimpin yang waras akan mengambil ia sebagai teguran. Dari sana manusia yang berjiwa besar akan berusaha untuk membaiki apa saja kerosakan yang telah mereka lakukan sambil perlahan-lahan berusaha menutup mulut pengkritik melalui tindakan baik.

Polis dan tentera adalah pilihan 'paling terakhir'.

Kesilapan besar berlaku apabila pemerintah bermusuh dengan pengkritik. Orang banyak akan mula bosan dengan tindakan keras yang diambil ke atas pengkritik. Ia akan menjadikan pengkritik lebih popular.

Lihat saja bagaimana gerakan pengkritik kerajaan yang mendapat sokongan orang banyak dan menumbangkan kerajaan yang memerintah negara ini sejak lebih 60 tahun itu.

Mungkin sedikit pengajaran boleh diambil oleh kerajaan hari ini daripada peristiwa tersebut.

Ketika itu salah satu gerakan protes yang dijalankan ialah melalui puisi. Gerakan yang dinamakan sebagai Puisi Jadi Senjata itu antara lain diterajui oleh sasterawan veteran yang juga Ketua Satu Persatuan Vespa Warga Emas Ulu Yam, Fazallah Pit.

Dia mengumpul sebanyak mungkin penulis dan menghasilkan siri pertama koleksi puisi dengan judul Puisi Jadi Senjata.

Fazallah - sesuai dengan keadaan dirinya - kemudian meneruskan siri selanjutnya di samping meneruskan aktiviti pemotoran veteran. Disamping itu beliau juga kini giat mengumpul warga emas bagi merialisasikan impian beliau untuk menubuhkan sebuah persatuan dam haji peringkat nasional.

Mendapat insprasi dari perjuangan aktivis veteran itu, pemuisi muda Ali Adenan mula menggerakkan apa yang dinamakan sebagai Puisi Darurat. Bersama rakan-rakan seperti Zikri Rahman, Zoul Yazix, Farahin W dan Nursyuhaidah A Razak, mereka mula mengerakan tanda pagar #PuisiDarurat.

Mereka menjemput orang ramai untuk sama-sama menyumbangkan puisi masing-masing.

Tanda pagar itu memang sedang sohor kini dan menarik ramai penulis. Dan untuk pertama kalinya, penulis dari kumpulan yang sentiasa menghasil puisi berbahasa inggeris juga turut serta.

Ini mungkin satu pembaharuanyang sihat untuk dua kumpulan yang terbabit yang memang jarang bertemu mata.

Puisi-puisi yang dihasilkan boleh dibaca di Facebook, Instagram dan Twitter Gerak Malaysia, selain Bilik Penyair. Atau buatlah carian di internet menggunakan #PuisiDarurat.

Ali Adenan berpendapat sudah sampai masanya kita menjadi masyarakat yang berjiwa besar dan mengambil kritikan sebagai salah satu jalan menjadi negara yang lebih baik.

Orang ramai sebaiknya tidak diugut pada setiap kali mereka menyuarakan pandangan dan rasa hati masing-masing jika ia tidak sehaluan dengan pemerintah. 

Batang kayu hanyut

Setidak-tidaknya ia akan dapat melepaskan mereka daripada sebarang tekanan perasaan.

Pekerja seni catan mungkin boleh mengambil iktibar daripada kempen ini dengan menghasilkan karya-karya yang membuka mata dan minda pihak yang bertanggungjawab menyebabkan semua kesusahan yang kita hadapi ini.

Lihat apa yang berlaku di Thailand apabila terlalu lama dikekang daripada mengkritik salah laku institusi beraja, rakyatnya keluar ke jalan membantah bersama-sama kemarahan mereka terhadap cara kerajaan menguruskan wabak Covid-19.

Bantahan yang berlaku pula telah mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda dan juga nyawa.

Sedikit kelonggaran mungkin akan membuahkan sesuatu yang lebih baik. Mana tahu, kita akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih matang dalam menghadapi apa pun cabaran. 

Kita mungkin menaiki bot yang berlainan. Mereka mungkin sedang bermewah di dalam sebuah kapal layar yang bergerak laju manakala kita pula sedang terhegeh-hegeh berdayung di atas sebatang kayu hanyut.

Namun ribut yang sedang kita hadapi adalah sama.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, kolumnis yang suka manis-manis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS