mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Barangkali Tuhan sedang menyindir kita

ULASAN SENI | Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Ditidurkan di dunia, terjaga di syurga. Begitulah lebih kurang kisah yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raissuddin.

Pun begitu hal-hal ghaib dan alam akhirat sudah pasti tertakluk secara mutlak kepada kehendak Yang Maha Esa.

Yang tular sekian lama jika si suami memanggil isterinya bidadari ialah Ebit Lew. Panggilan romantis suami terhadap isteri disaran persis Rasulullah SAW memanggil Siti Aisyah sebagai Ya Humaira bermaksud 'wahai si merah jambu.'

Sejak Isnin lalu hijab kita bagaikan dibuka selepas kepergiaan Siti Sarah apabila ramai menyifatkan penghibur itu bak bidadari.

Sejurus selepas jenazah Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, bertali arus akhbar dan media sosial memuji-muji kebaikan dan budi pekerti penyanyi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Najib Razak adalah antara tokoh berprofil tinggi yang turut mengutus takziah.

Kalangan pelakon dan penyanyi juga tidak terkecuali. Ada yang menitiskan air mata. Misalnya Siti Nurhaliza yang sebak ketika menyanyikan lagu Bidadari Syurgaku secara maya mengenangkan Siti Sarah.

Ramai wartawan juga berkongsi momen masing-masing bersama Siti Sarah lalu satu demi satu kebaikan dilakukan arwah - termasuklah korban di Palestin - diceritakan.

Tak mudah membawa diri

Berita kematiaan Siti Sarah dikongsi seorang instafamous Korea Selatan dan dimuat di portal BBC News. Namun lebih mahal ialah solat jenazah ghaib yang dilaksanakan di Masjidil Haram sepertimana dikongsi suaminya, Shuib.

Bukan calang-calang artis kita itu rupanya kerana berita kematiannya disiar di BBC News dan dapat solat ghaib di Tanah Suci.

Apakah istimewanya Siti Sarah yang kita tidak - atau belum - tahu? Mungkin ada lagi hamba Allah yang lebih hebat amalan sedekah dan korban yang dilakukan, cuma mereka bukan selebriti.

Lalu apakah amalan Siti Sarah hinggakan darjatnya diangkat sebegitu mulia?

Manusia itu fitrahnya memang selalu alpa dan lupa. Justeru dalam limpahan puji-pujian yang dihamparkan buat Siti Sarah, bagaimana agaknya orang yang selama ini selalu menghina dia?

Bukan mudah membawa diri sebagai Siti Sarah apabila kita sering dijadikan bahan cercaan dan dipersenda sejak di sekolah rendah sehinggalah menjadi artis.

Seorang rakan Siti Sarah ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Sekolah Rendah AU Keramat, Farrah Nadzirah Kamal (gambar), berkata peyanyi terbabit memang periang namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Nurfatimah yang juga belajar di situ.

Antara isu yang selalu menjadi bahan sendaan orang ialah aspek fizikal Siti Sarah. Dia selalu diejek kerana itu.

Di peringkat awal menjadi artis pun Siti Sarah selalu dipersenda. Cuma mungkin kerana itu belum ada media sosial, kebiadaban cercaan itu tidaklah terlalu teruk. Atau ia tidak tersebar dengan meluas.

Tak boleh hadapi tekanan

Selepas ada media sosial, ia menjadi lebih serius sehinggakan ada dua tiga kali Siti Sarah tampil bagi jawab penghinaan netizen terbabit. Malah ada antara orang yang menghina itu adalah wanita bertudung.

Siti Sarah menjawab: "Masuk sekolah rendah dah biasa, masuk sekolah menengah? Hampir setiap hari kena ejek (tentang) hidung, hidung, hidung. Sampai kadang-kadang mengelak nak naik bas, tunggu dah tak ramai baru naik bas.

"Pernah terlintas di hati, aku nak pergi buat (pembedahan) hidung supaya orang tidak boleh cakap lagi, tapi apabila fikir balik cantik bagaimana (pun) orang akan kutuk."

Tidak seperti segelintir artis, Siti Sarah reda dengan kurniaan Tuhan. Maka dia tetap bersahaja dan tidak perlu membuat pembedahan plastik bagi mencantikan hidungnya.

Perihal gigi Siti Sarah pula dia pernah diperli seorang netizen: "Buat treatment (rawatan) apa untuk rapatkan gigi yang jarang tanpa memakai braces (pendakap)?"

Pada Jan 2018 warna kulit Siti Sarah dipersoalkan. Lalu dia menjawab: "Ramai yang kutuk Sarah kata sebenarnya Sarah hitam tetapi edit gambar. Secara jujurnya saya memang tidak putih macam orang putih. Tapi kalau nak bandingkan dulu memang saya lebih cerah sekarang sebab saya mengambil produk. Saya pakai losyen, sabun dan pil untuk kulit lebih cerah.."

Mac 2018 penjelasan Siti Sarah kepada netizen yang menghina dan mengutuknya agak beremosi apabila dia menulis: "Awak tak hadap apa yang saya hadapi. Saya memang kuat untuk hadapi banyak benda. Tetapi saya tahu ramai orang yang tak boleh hadapi tekanan apabila dikutuk dipanggil gorila, negro, badak, ba...i dan seangkatan dengannya. Siapa yang tahan..."

Nah, sekarang apakah kita faham mengapa kedudukan Siti Sarah itu diangkat? Harus diingat sehebat mana pun manusia ini, kita tetaplah hamba. Tidak ada hak untuk kita menghina dan mengutuk paras rupa seseorang insan itu.

Hal ini sudah diperjelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 11: "Wahai orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermainkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula ada golongan perempuan yang mempermainkan perempuan yang lain (kerana) boleh jadi perempuan yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Dan barang siapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Jelaslah di sini, kepulangan Siti Sarah ke alam abadi bukan sekadar berita sedih buat ramai orang. Bahkan ia adalah sindiran Tuhan buat jari-jari jahat manusia yang sebelum ini mengejek, mengutuk dan menghina Siti Sarah.

Tuhan menjawab penghinaan mereka itu dengan cara yang amat indah.


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS