Lan Pet Pet menafikan terbabit urusan jual beli bahan terlarang seperti dalam sebuah video yang tular, sebaliknya mendakwa dia cuma membuat penghantaran produk krim kesihatan lelaki untuk seorang pelanggan yang berusia.
Berkongsi kisah itu, kata Lan, dia membuat penghantaran tersebut kerana lelaki yang dirakam dalam kejadian di Alor Star, Kedah itu tidak tahu membeli barangan secara dalam talian.
“Orang salah faham tuduh jual beli benda terlarang. Saya bukanlah orang macam tu. Orang yang tularkan perkara tersebut salah faham.
“Pak cik tu duduk kampung nak beli barang, tapi dia orang tua yang tak tahu nak beli melalui dalam talian,” katanya dalam siaran secara langsung di Facebook hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video di Twitter memaparkan seorang lelaki didakwa Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad sedang berurusan dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik disedari dirinya dirakam, lelaki terbabit segera keluar dari kenderaan Myvi yang dipandu dan menjerkah si perakam video.
“Woi, hang rakam apa,” katanya dalam loghat Utara.
Pertelingkahan dipercayai berlaku selepas itu.

Susulan kejadian itu, nama Lan, 52, mengundang perhatian dan kecaman di media sosial apabila namanya dipetik sebagai pelawak yang dimaksudkan.
Anggota pelawak Senario itu kemudian memuat naik entri di Instagram baru-baru ini dengan berkata, dia akan menggunakan saluran undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap individu yang memfitnah dan mencemarkan namanya.
'Nak saman sampai muflis pun boleh'
Lan yang juga pelakon Gangster Celop itu berkata, jika diikutkan hati, boleh saja dia menyaman si perakam video terbabit, namun tidak berhasrat meneruskan niat berkenaan selepas dinasihatkan peguamnya.
Dia juga memaafkan netizen yang melemparkan kata-kata fitnah terhadapnya.
“Jika nak saman orang memang boleh. Nak saman sampai dia muflis pun boleh. Pihak peguam saya nasihatkan untuk tidak ambil sebarang tindakan.
“Lagipun saya dah maafkan semua yang maki dan lemparkan kata-kata negatif pada keluarga, ibu dan bapa saya,” katanya.
Lan turut menafikan bahawa kejadian itu sebahagian daripada gimik untuk melariskan produk jualannya.
Tambahnya, sekiranya ingin merakam, si perakam digalakkan merakam penuh sesuatu kejadian supaya tidak mengundang fitnah di kemudian hari.
“Tolong jangan aibkan orang. Kalau nak rakam dari awal tak apa, saya tak marah. Jika ambil sekerat-sekerat tu yang mengaibkan saya.
“Yang maki ibu dan arwah bapa saya, saya maafkan, maafkan, maafkan,” katanya.
