Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Bang, nak minta topi satu... nak buat kenang-kenangan," kata kami kepada pengarah filem terkenal Mamat Khalid.

Waktu itu kami menziarahi beliau di Sarang Art Hub di Tanjung Malim buat kali kedua atau ketiga. Lama sebelum itu Abang Mat pernah datang ke studio kami di Kuantan.

Mungkin ketika itu beliau sedang mengadakan penggambaran di sekitar bandar kami maka beliau membawa bersama isterinya dan beberapa orang kru melawat Rajawali Art Groupe Internationale.

"Internationale" pada nama studio kami itu sedikit sebanyak mengambil semangat kelakar yang ada pada karya-karya beliau.

Sebagai satu kumpulan kecil, kedatangan beliau bersama keluarga ke studio kami itu adalah sesuatu yang besar maknanya. Rasa teruja, bangga dan gembira bercampur.

Hampir semua anggota Rajawali bergegas ke studio sebaik saja mendapat berita pengarah terkenal itu akan singgah ke tempat kami.

Arwah Haji Malek - jiran kami yang baik hati itu - juga tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Abang Mamat Khalid. Dalam pertemuan itu kami lihat betapa Abang Mat yakni seorang yang mempunyai nama besar di negara kita ini berkelakuan seolah-olah beliau adalah salah seorang daripada kita.

Beliau melayan kami sebagai seorang kawan, bahkan seperti kawan karib yang sudah lama tidak berjumpa. Kami semua yang ternganga dan teruja ini dilayan seolah sudah berpuluh tahun saling mengenali.

Tidak ada 'angin' yang mengelilingi beliau. Kemesraan yang dimiliki beliau membuatkan semua orang berasa begitu selesa.

Abang Mat menghabiskan masa yang agak lama di studio kami.

Setelah itu, jika kebetulan menuju ke utara, kami akan sentiasa memasukkan Tanjung Malim sebagai destinasi singgah. Kami lupa sama ada kami pernah ke sana dua atau tiga kali, namun dalam pertemuan terakhir kami - dengan tanpa ada rasa malu - telah meminta satu daripada banyaknya topi dalam koleksi beliau.

Berkumpul bawah satu bumbung

Seperti yang kami katakan tadi, kami meminta topi itu untuk dijadikan kenang-kenangan.

"Pergi masuk ke dalam, pilih mana satu kau suka," kata beliau.

Dan kami pun masuk ke ruang di sebalik beranda tempat beliau sentiasa duduk untuk menyambut tetamu.

Di bilik tersebut kami dapati ada berpuluh-puluh topi dengan pelbagai gaya disangkut di dinding. Kami terpandang satu topi putih yang sentiasa beliau pakai untuk ke mana-mana. Yang sudah seperti menjadi 'trademark; beliau itu.

Di dalam hati terdetik juga mahu menjadikan topi berkenaan sebagai simpanan dan sebagai modal berbangga-bangga nanti apabila ke mana-mana. Namun kami terfikir juga mungkin itu adalah topi kesayangan Abang Mat. Maka kami memilih satu topi yang lain.

Topi berkenaan masih ada dalam simpanan kami. Ia jarang kami gunakan. Mungkin kerana teruja diberi kebenaran memilih mana-mana topi maka kami tersalah pilih topi yang sedikit kecil daripada kepala kami yang terlalu besar ini.

Suatu perkara yang sedikit membuatkan kami berbesar hati ialah bilamana beliau pernah mengatakan bahawa idea untuk menubuhkan PORT Ipoh itu datang setelah melihat studio Rajawali.

Beliau bersama Hanim, Hamidon dan beberapa orang teman mengemukakan satu kertas kerja kepada kerajaan Perak untuk menubuhkan sebuah hab kesenian yang mengumpulkan karyawan seni dari pelbagai bidang di bawah satu bumbung.

Hari ini PORT adalah di antara kolektif kesenian yang paling aktif di negara kita.

Kesedihan bukan satu perkataan yang dapat mewakili perasaan kami pagi ini apabila terbaca mengenai pemergian Abang Mat. Mamat Khalid telah mengajar kita semua cara bagaimana untuk mengambil kehidupan ini dengan secubit garam.

Dari filem dan drama tivi yang beliau persembahkan kita dapati bahawa hidup ini perlu kita lalui dengan tenang sambil dihias dengan sedikit jenaka.

Secara peribadi kami paling gemarkan filem Man Laksa. Bagi kami itu adalah mahakarya beliau.

Selamat jalan Bang Mat. Kami akan sentiasa merindui kebaikan dan juga semangat blues yang ada pada abang. Kami mendoakan semoga tuhan memandang abang dengan penuh kasih sayang.

Dan semoga Tuhan sangat reda kepada abang dan abang ditempatkan bersama-sama mereka yang dikasihi-Nya.

Terima kasih atas kenangan itu bang.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan kolumnis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS