Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Ketika institusi bisu, ‘anarki’ bangun melondeh penciplak

Pada 16 November 2021, sidang editorial majalah Dewan Sastera menyiarkan permohonan maaf susulan tersiarnya sebuah sajak yang didapati mempunyai unsur ciplak dalam isu Disember 2021. Turut dipaparkan sajak disiarkan dan sajak asal yang didapati diciplak.

Susulan daripada insiden itu, pelbagai pihak (kumpulan dan individu) membuat kenyataan bersama bawah Gerak Malaysia dan Bilik Penyair mendesak tindakan diambil pihak berwajib bagi mengekang jenayah ciplak. Apatah lagi, pendedahan demi pendedahan yang mula tular di media sosial membuktikan penulis itu turut menciplak beberapa lagi puisi dan esei; termasuk karya SM Zakir.

Orang ramai menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyiarkan maklumat ralat dan memohon maaf kepada pemilik karya asal. Bagaimana pun, sehingga kini, DBP yang biasanya amat prihatin menyiarkan pantun sinis berkaitan isu semasa di laman Facebook rasmi masih membisu dalam soal ini.


Baca: Penerima anugerah Tokoh Bahasa Melayu didakwa plagiat karya sastera


Gesaan bawah Gerak Malaysia termasuk juga supaya badan penggiat sastera seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) bertegas mengeluarkan kenyataan dan menyedarkan masyarakat tentang kesalahan jenayah ciplak dan padahnya.

Dalam situasi ini, saya membaca tulisan Presiden Pena, Dr Mahamad Saleeh Rahamad bertajuk “Didik masyarakat kesalahan plagiat” (Berita Harian, 23 November 2021) dengan penuh minat.

Mahamad Saleeh Rahamad 

Malangnya, kandungan dan pandangan yang diketengahkan lebih banyak seperti membela pelaku ciplak dan menghukum masyarakat yang tampil mendedahkan perbuatan tidak beretika si penciplak.

Dalam isu ini, saya sebenarnya kagum dengan usaha orang ramai – penulis dan pembaca – yang berjaya mencari bahan bukti mengenai pelbagai karya ciplak yang sudah tersiar di akhbar Sinar Harian dan majalah-majalah DBP.

Semangat kewartawanan awam yang ditunjukkan ini membuktikan masyarakat tidak akan berdiam diri apabila berdepan dengan individu yang melakukan jenayah ciplak; apatah lagi DBP dan persatuan penulis yang dianggotai penciplak terus membisu.

Pena tiba-tiba mula bercakap soal undang-undang sivil dan menekankan bahawa perbuatan ciplak itu “bukannya membabitkan kerosakan pada ketenteraman awam”. Perbuatan orang ramai yang membongkarkan penipuan selama ini disifatkan pula sebagai perbuatan “anarki” yang “menafikan hak pihak lain (penciplak) bersuara atau membela diri”.

Menegakkan benang basah

Ini adalah kes sudah terang lagi bersuluh atau menegakkan benang yang basah. Malah, saya hanya mampu tersenyum membaca hujah Saleeh Rahamad: “Bukankah setiap hukuman mesti berdasarkan tatacara teratur, bukannya hanya berdasarkan persepsi awam.”

Ini bukan setakat “persepsi” tetapi berdasarkan bukti kukuh. Semasa belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dahulu, saya turut belajar tentang nilai, moral, etika dan norma. Istilah “norma baharu” kini menjadi sebutan sejak penularan wabak Covid-19.

“Norma” (norms) yang dimaksudkan dalam pengajian moral dan etika ialah “kuasa” orang ramai menghukum seorang pesalah dalam masyarakat. Hukuman yang disebut oleh Saleeh Rahamad pula adalah etika (ethics) yang gagal pula dilaksanakan oleh DBP sehingga kini dalam isu ini.

Bangunan baru dan lama DBP di Kuala Lumpur, gambar hiasan

Maka, perbuatan orang ramai – para penulis dan pembaca – yang “menghukum” penciplak secara terbuka di media sosial bukanlah suatu kesalahan. Saya memuji dan menyokong sikap tanggungjawab yang mereka tunjukkan untuk menegakkan kebenaran dan menghukum penjenayah ciplak.

Sikap berdiam diri oleh DBP dan persatuan penulis – khususnya di mana penulis itu menjadi ahli dan memegang jawatan besar – turut menerima “hukuman” dari segi norma masyarakat apabila orang ramai menerusi Gerak Malaysia mendesak DBP dan persatuan penulis bersuara.

Kalaulah orang ramai juga berdiam diri dan membiarkan “institusi” terbabit mengambil tindakan mengikut “tatacara tersendiri” seperti disarankan presiden Pena, maka jelaslah masyarakat tidak melaksanakan tanggungjawab sosial (norma atau social responsibility). Sebaliknya, hanya menjadi pak turut atau kumpulan sorak tanpa minda seperti diperkatakan oleh Gustave Le Bon dalam buku The Crowd (1895).

Lebih menghairankan apabila Saleeh Rahamad cuba mengalihkan “kesalahan” kepada orang ramai dengan menggelarkan mereka bersikap anarki, masuk ke dalam sampan tunda (bandwagon), dan menjatuhkan hukuman kepada penciplak tanpa melalui saluran undang-undang sivil.

Saleeh Rahamad mengakui, “Perbuatan pelaku (penciplak) bukan sahaja dianggap melanggar undang-undang, bahkan dianggap tidak bermoral dan tidak beretika” dan “seorang pesalah diberi hukuman dalam media sosial”. Tetapi beliau masih mepersoalkan “apakah semua orang berhak menjatuhkan hukuman selagi si pelaku tidak menerima hukuman daripada pihak berkuasa?”

Pena yang dianggap sebuah persatuan penulis yang berwibawa nampaknya masih waswas tentang “kuasa” penulis dan masyarakat. Perkara ini amat menghairankan kerana nampaknya semangat “Seni untuk masyarakat” sudah hilang daripada jiwa peneraju persatuan penulis. Persatuan penulis seolah-olah hanya mampu mengadakan aktiviti baca sajak dan makan-makan, dan menyerahkan kuasa sebenar kepada orang lain iaitu pihak berkuasa.

Pena bela penciplak?

Saya kecewa kerana Pena secara jelas membela penciplak dan menyalahkan orang ramai (termasuk golongan penulis) yang menyelar perbuatan jenayah penulis itu yang menciplak pelbagai karya. Pena seolah-olah mahu mendidik masyarakat supaya membiarkan sahaja “pihak berkuasa” dan “institusi” menangani isu jenayah ciplak seperti ini.

Saleeh Rahamad mengakui, barangkali konsep plagarisme belum difahami semua penulis. Cubaan membela seperti ini juga amat melucukan dan mengecewakan. Penciplak kali ini bukannya seorang penulis baharu, sebaliknya tokoh ternama yang mampu pula membimbing penulis baharu termasuk tentang isu-isu plagiat dalam ceramahnya.

Kita masih boleh bertoleransi jika seorang remaja yang baru mengirim karya sulung ke majalah melakukan ciplak tanpa sengaja; sesungguhnya kesedaran tentang plagarisme belum menyeluruh dalam kalangan orang awam. Akan tetapi, jika seorang penulis lama turut melakukannya – bukan sekali tetapi berkali-kali dengan penuh berani – bukan lagi soal mahu mendidik penulis tentang jenayah plagarisme. Sebaliknya, perlu dihukum sekeras-kerasnya.

Gambar hiasan

Memanglah penulis itu layak dihukum mengikut undang-undang jenayah ciplak. Malangnya, sehingga kini, DBP masih membisu seolah-olah sudah memaafkan perbuatannya.

Dalam keadaan inilah orang ramai yang ada kesedaran, rasa tanggungjawab dan mahu menegakkan keadilan dalam masyarakat menggunakan kuasa “norma” untuk menghukum pesalah. Tindakan ini tidak melanggar undang-undang. Pena tentu sedar hakikat ini. Masyarakat tidak menghalang siasatan polis atau perbicaraan di mahkamah.

Sebaliknya, masyarakat tidak mahu penjenayah ciplak terlepas. Saleeh Rahamad berkata, “serangan awam terhadap seorang pelaku (penciplak) dalam media sosial sebenarnya bukan bertujuan menghapuskan plagarisme bahkan membunuh jiwa seseorang.”

Saya membantah dan menolak dakwaan itu sepenuhnya. Pena cuba menuduh orang ramai “bukan bertujuan menghapuskan plagirisme”. Sebenarnya, itulah yang sedang dilakukan orang ramai selepas kecewa melihat DBP dan persatuan penulis berpeluk tubuh dalam isu karya ciplak.

Orang ramai sedang menggunakan media sosial untuk mendedahkan perbuatan tidak bermoral dan tidak beretika penciplak, menyedarkan para penulis lain supaya sentiasa menjaga etika, dan membimbing orang ramai (bukan penulis) tentang soal hak cipta, hak moral dan plagarisme.

Mungkin ada persatuan penulis yang mengharapkan dana kerajaan untuk menjalankan kempen membimbing para penulis dan masyarakat awam tentang plagarisme. Dalam keadaan ini, barulah persatuan penulis akan berasa kecewa kerana wartawan awam (orang ramai) sudah pun menggunakan media sosial untuk membuat tugas itu tanpa sebarang kos.

Sementara penjenayah ciplak belum diambil tindakan, saya berharap orang ramai akan terus berani bersuara di media sosial demi menghapuskan perbuatan ciplak pada semua peringkat; termasuk dalam bidang ilmiah dan separa ilmiah seperti disebut oleh Saleeh Rahamad.

Saya tidak menolak kemungkinan penciplak terlepas bebas, tetapi sekurang-kurangnya netizen yang ada maruah, etika dan rasa tanggungjawab sosial boleh berasa lega kerana tidak berdiam diri apabila melihat jenayah plagiat berlaku di depan mata.


UTHAYA SANKAR SB adalah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS