Berbanding segelintir penerbit lain, A. Aida mempunyai pandangan tersendiri berhubung pemilihan pelakon yang memiliki jutaan pengikut di media sosial sebelum menawarkan mereka sesuatu pekerjaan.
Kata pemilik nama sebenar Zaidah Awang itu, konsep menggunakan pelakon dengan jumlah pengikut yang ramai tidak dapat menjamin sesebuah karya itu boleh 'laku keras’.
Menurutnya, hal itu pernah dialami oleh seorang rakannya yang berdepan kutipan tidak memberangsangkan walaupun menggunakan khidmat pelakon yang terkenal di media sosial.
“Saya tak pernah percaya jumlah pengikut ramai boleh buat sesebuah drama atau filem tular. Kawan saya pernah buat filem, dia ambil pelakon yang ada pengikut berjuta-juta.
“Tapi kutipan filem tak cecah RM100,000 pun. Nak-nak lagi kalau ada pelakon yang mempunyai jutaan pengikut tapi mereka malas nak promosi produk sendiri pun tak guna juga,” katanya.
Tegas Aida, industri wajar menilai kebolehan seseorang pelakon itu membawakan tugas mereka dengan baik.
Katanya, paling utama adalah seorang pelakon yang boleh berlakon, barulah sesebuah naskah itu boleh viral.
Justeru, menurutnya, dia sering menjalankan pemerhatian serta mengambil tahu ciri-ciri terbaik yang ada pada seseorang pelakon selepas nama mereka dicadangkan stesen televisyen (TV).
“Jika ada stesen TV cadangkan nama seseorang individu, saya kaji dulu lakonan dia. Nak tengok memuaskan atau pun tidak.
“Jika rasa lakonannya macam tak sampai, saya akan cadangkan nama lain. Sebagai penerbit, kena ambil tahu semua perkara macam ni,” katanya.

Aida berkongsi perkara itu sewaktu sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Topik diketengahkan bertajuk 'How To Make A Drama Go Viral'.
Sesi dikendalikan dua wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir dan Najiy Jefri itu diadakan bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.
Pada masa sama, A Aida yang juga pemilik syarikat A Aida Production Sdn Bhd itu berkata, elemen utama lain seperti jalan cerita, pemilihan pengarah, penulisan skrip dan lagu tema yang bagus juga tidak boleh diabaikan bagi membolehkan sesebuah naskhah diminati .
“Soal pemilihan pelakon biar saya tentukan. Stesen TV kena ikut sebab bila saya baca skrip dah boleh tentukan siapa pelakon yang sesuai untuk bawa watak tu.
“Kena ambil tahu juga apa kehendak slot dan tema yang diketengahkan. Dah faham sangat, sebab tu untuk drama terbaru saya, Kisah Cinta Kita dibuat ala drama Korea. Insya-Allah akan tular.
“Soal lagu pula, macam drama Bidadari Salju, apabila baca jalan cerita, saya terus bincang dengan Haqiem Rusli untuk buat lagu tema yang bagus.
“Maka terhasillah lagu Mimpi. Dengan lagu tema yang bagus, ia akan membantu drama itu. Selebihnya kena yakin, ni cara saya,” katanya.
