Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kulleh Comrades - kumpulan Orang Asal Sarawak diundang ke Venice Biennale
Diterbitkan:  Apr 11, 2022 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Enam penghibur Orang Asal dari Sarawak yang menggelarkan diri mereka Kulleh Comrades bakal mengadakan persembahan di Venice Biennale, Itali pada 21 hingga 26 April ini.

Mereka diundang untuk menjadi sebahagian daripada aabaakwad (hilang selepas ribut) - perkumpulan artis, kurator dan pemikir orang Asli antarabangsa untuk program Nordic Pavilion yang tahun ini diubah menjadi Pavillion Sámi, untuk merayakan warisan orang Asli.

Kulleh Comrades akan membuat persembahan pada malam pembukaan aabaakwad di Conservatorio di Musica Benedetto Marcello di Venezia, pada 22 April.

Selain itu, mereka juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan panel dan bacaan puisi sepanjang perhimpunan berkenaan.

Perkara itu diumumkan NGO seni budaya, Pusaka hari ini.

Kulleh Comrades adalah projek muzik orang Asli yang diketuai oleh artis Iban pelbagai disiplin Kulleh Grasi, yang diasaskan khas untuk Venice Biennale 2022.

Mereka menampilkan muzik eksperimental yang berakar umbi dalam tradisi Orang Asal di Sarawak, dan menggabungkan lagu rakyat, puisi dan balada Nusantara.

Kumpulan itu terdiri daripada enam anggota daripada keturunan Iban dan Bidayuh, iaitu penyanyi, penulis lagu dan penyair Kulleh Grasi, pemuzik Iban Gabriel Fairuz Louis, pemuzik dari Yayasan Kebudayaan Dayak Stanny Benedict dan Boy Nelson, penyanyi baru Jen Rossem, dan guru muzik Matt Dalin.

Kulleh sebelum ini menempa nama di peringkat antarabangsa apabila buku puisinya Tell Me, Kenyalang (terjemahan Pauline Fan, diterbitkan oleh Circumference Books di New York) disenarai pendek untuk Anugerah Terjemahan Kebangsaan 2020 dan disenarai panjang untuk Anugerah Buku Terjemahan Terbaik 2020 di Amerika Syarikat.

Walaupun perjalanan dan penginapan ditanggung oleh penganjur, Kulleh Comrades masih memerlukan penaja atau sumbangan orang ramai untuk membantu menanggung kos dan perbelanjaan harian sepanjang berada di Venice Biennale.

Bagi Kulleh, penglibatan artis Orang Asli Sarawak pada acara berprestij itu adalah penghormatan dan peluang penting untuk ekosistem seni asli Asia Tenggara.

“Selain mempersembahkan muzik asli, seni visual dan kesusasteraan Sarawak dan Malaysia ke pentas global, ia menawarkan kami peluang untuk mengembangkan rangkaian kami dan memahami seni dan budaya asli dari seluruh dunia.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan tampil ke hadapan untuk menyokong pelayaran kami ke Venice Biennale,” katanya.

Lihat Komen
ADS