Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kejora, ilham mimpi Ashikin M digarap jadi puisi
Diterbitkan:  Jun 16, 2022 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Mengambil tempoh tujuh tahun untuk diterbitkan, penulis Nurul Ashikin atau dikenali sebagai Ashikin M teruja apabila Kejora - buku puisinya yang pertama - akhirnya berjaya disiapkan selepas melalui banyak fasa perubahan.

Katanya, Kejora yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu, menampilkan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayan dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa.

“Kejora adalah terbitan sulung buku puisi saya. Ia menampilkan 30 buah puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa.

“Saya ambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan Kejora, daripada proses pengilhaman, penulisan, penerbitan sehinggalah ke peringkat penghasilan beberapa lagu puisi Kejora bertemankan komposisi Ayop Azril, seorang komposer berbakat yang amat memahami perjalanan cerita yang diketengahkan dalam buku ini,” katanya.

Ashikin M melancarkan bukunya yang kesebelas bertajuk Kejora di Petaling Jaya baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh penulis dan pengarah filem negara terkenal, U-Wei Saari yang turut mendeklamasikan sebuah puisi daripada Kejora.

Pengarah berkenaan menyifatkan naskhah terbaru daripada Ashikin M itu sebagai berani dan amat tepat pada masanya.

Turut hadir, vokalis Search, Amy yang menghiburkan tetamu dengan persembahan lagu Isabella, Rozana dan Kejora dari album pertama kumpulan itu, Cinta Buatan Malaysia (1985).

Lagu-lagu itu dipilih khas sebagai merujuk kepada karakter utama dan tema sanjungan terhadap keindahan dan kekaguman terhadap wanita yang dibawa oleh Kejora.

Sebagai memberi sokongan kepada Ashikin M, beberapa penulis terkemuka negara seperti Dina Zaman, Khairul Anuar dan Shaz Johar juga hadir dan rata-rata memberikan reaksi positif terhadap buku edaran Terbitan Langit itu.

Menurut U-wei, dia amat berbangga dengan inisiatif Ashikin M dalam penghasilan Kejora, lebih-lebih lagi ia merupakan buku puisi yang pertama darinya.

“Saya mengucapkan jutaan tahniah buat Ashikin M dan saya yakin perjalanan dan masa depannya dalam bidang penulisan amat cerah.

“Komuniti penulis negara ini begitu berbangga dengan pencapaiannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain dikenali sebagai penulis, Ashikin M juga seorang pengembara dan pakar strategi di sektor korporat yang berasal dari Ipoh, Perak.

Dia pernah berkolaborasi bersama dua penulis Indonesia untuk menghasilkan buku The Colour of Regret pada tahun 2021 tatkala dunia dilanda pandemik.

Antara buku-buku yang pernah diterbitkan oleh Ashikin M adalah Pabila Pesawat Bertemu Bulan, Mimpi-Mimpi Nomad, Mencari Warna Malaikat dan Si Romantik Yang Sudah Mati.

Jelas Ashikin M, sudah lama dia memasang keinginan untuk menghasilkan buku himpunan puisi namun menurutnya puisi adalah seperti cinta dalam waktu yang tidak dimengerti.

“Saya perlu melalui perjalanan jauh untuk memahami kekuatan suara dalam penulisan, di mana saya bermula dengan menulis cerita pendek. Kemudian, beralih ke novel dan seterusnya mencuba bentuk puisi yang pelbagai.

“Saya masih mengekalkan suara berbunyi prosa dalam perjalanan puisi-puisi kali ini kerana pada akhirnya, niat utama saya adalah hanya untuk bercerita.

“Bercerita adalah sesuatu yang takkan dapat saya hentikan sehingga saat ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS