Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kutipan Mat Kilau melonjak ke RM53 juta
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencatat rekod apabila mencatat kutipan sebanyak RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan.

Pengarahnya, Syamsul Yusof memanjatkan kesyukuran dengan kejayaan filem tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua penonton yang memberikan sokongan kepada filem tempatan.

“Saya nak ucap terima kasih banyak kepada mereka yang menghantar pesanan secara terus (DM) menerusi Instagram.

“Terdapat beribu-ribu DM, tapi saya hargai anda semua. Filem Mat Kilau hari ke-13 masih ditayangkan dan mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini RM53 juta. Luar biasa. Ini semua kuasa Allah. Walaupun hari bekerja, masih penuh. Terima kasih banyak semua. Filem Malaysia boleh pergi jauh. Allah Maha Besar,” katanya di Instagram malam tadi.

Sebelum ini, Syamsul Yusof turut menjangkakan filemnya itu bakal mengutip RM60 juta biarpun ada yang menjangkakan hasil kutipan boleh ditambah sehingga mencecah RM80 juta hingga RM100 juta.

Sebelum ini, Syamsul dilaporkan berkata, dia meletakkan sasaran RM60 juta untuk kutipan keseluruhan Mat Kilau.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak berpendapat kutipan itu mampu terus melonjak hingga mencecah ke RM80 juta atau hingga RM100 juta.

Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lalu, filem yang diinspirasikan daripada sejarah tanah air itu berjaya membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir bagi menonton filem berkenaan di pawagam.

Naskhah yang menelan kos RM8 juta itu dibintangi ramai pelakon hebat antaranya Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman serta pelakon dari seberang Yayan Ruhian.

Lihat Komen
ADS