Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mat Kilau: Finas tak sekat hasil seni mana-mana pengkarya
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 10:00 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zurainah Musa mengulas kebimbangan Pertubuhan United Sikhs Malaysia bahawa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mempunyai komponen fiksyen yang mungkin mencetuskan salah faham agama dan perkauman.

"Perbadanan ingin menekankan bahawa penguatkuasaan garis panduan untuk semua kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem (LPF) di Kementerian Dalam Negeri.

"Finas pula memberi sokongan dan galakan iaitu Dana Kandungan Digital (DKD) serta penyediaan perkhidmatan pasca produksi yang kondusif untuk pembangunan filem tersebut.

"Finas tidak akan menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak atau individu untuk mengeluar dan menerbitkan hasil karya seni mereka sepertimana yang dikuatkuasakan dalam Akta 244 dan pematuhan kepada perundangan kerajaan Malaysia yang berkuat kuasa," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelas Zurainah, sebagai badan peneraju industri perfileman negara, Finas menyeru agar para penggiat industri kreatif "turut peka terhadap sensitiviti penonton di negara ini yang kaya dengan budaya dan agama."

Ini, katanya sejajar dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Menurut United Sikh Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya kecewa apabila filem Mat Kilau menggambarkan kaum dan agama lain seperti Sikh sebagai penjahat.

Pertubuhan itu berkata kod amalan agama Sikh melarang penganutnya menggunakan kekerasan terhadap orang tua, kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdaya, walaupun ketika perang.

Mereka secara khusus membangkitkan paparan orang Sikh sebagai askar British yang mencederakan orang tua, kanak-kanak dan orang tidak berdaya dalam filem tersebut.

“Bahagian ini telah ditambah oleh produser untuk membuat jalan cerita menjadi menarik.

“Walaupun babak kontroversi dalam filem itu adalah fiksyen semata-mata, ia tidak menyenangkan malahan melukakan kami,” kata mereka.

Lihat Komen
ADS