Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Koperasi penerbit tawar pembiayaan terbit drama, filem

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akhirnya meluluskan lesen menawarkan pinjaman kepada Koperasi Penerbit Filem Malaysia Malaysia Berhad (Kopelem) serentak dengan penubuhan badan itu secara rasmi hari ini.

Menterinya, Noh Omar, berkata kelulusan itu diharap dapat memberi kemudahan pembiayaan pinjaman kepada ahli-ahli koperasi terbabit untuk menerbitkan drama dan filem.

“Kami ingin membantu ahli-ahli koperasi yang sebelum ini memohon pinjaman daripada bank tapi tidak diluluskan, misalnya, kerana berdepan dengan syarat ketat aspek termasuk patuh syariah yang membabitkan babak bersentuhan.

“Saya akui bidang ni sukar apabila melihat sendiri pengalaman yang dilalui bapa saudara saya yang juga pelakon iaitu Allahyarham Seniman Mahmud June.

“Koperasi ada banyak, misalnya pertanian, pelancongan dan runcit, justeru saya harap dengan wujudnya Kopelem ia dapat menjadi ikon kepada koperasi lain.

“Siapa tahu mungkin suatu hari mungkin Kopelem juga sudah mampu menubuhkan bank sendiri untuk dimanfaatkan ahlinya,” katanya.

Noh ditemui pada sidang media pelancaran Kopelem yang diadakan di Pawagam Mini P Ramlee di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia Nasional (Finas) hari ini.

Terdahulu dalam mesyuarat agung permulaan Kopelem, Pengasas dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd, Burhanuddin Md Radzi dilantik sebagai pengerusi.

Turut dilantik adalah Nancie Foo sebagai bendahari manakala jawatan setiausaha disandang oleh Zahrin Ishak.

Dalam pada itu, Noh berkata sebagai permulaan kementerian bersetuju untuk menyediakan geran sebanyak RM20,000 bagi menggerakkan aktiviti awal koperasi berkenaan.

“Koperasi juga boleh memohon geran RM200,000 untuk aktiviti awal. Jika masih tak mencukupi, pinjaman boleh diberikan hingga RM400,000.

“Bagaimanapun sebagai syarat utama, pengerusi perlu menghadiri kursus selama tiga hari yang dikendalikan Institut Koperasi Malaysia (IKM),” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS