Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Francissca Peter, Siti Fairuz bergelar Datuk
Diterbitkan:  Aug 1, 2022 4:46 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Dua penyanyi era 80an Francissca Peter dan Siti Fairuz menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan kepada dua penyanyi itu yang termasuk dalam senarai 99 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang.

Ini sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shayang berlangsung di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Francissca atau nama sebenarnya Luciana Francissca Lucian G Peter terkenal dengan lagu malar segar seperti Sekadar Di Pinggiran, Aku Hanya Pendatang dan Kerna Terpaksa.

Siti Fairuz Sheikh Mohamed pula anak kelahiran Pahang yang mencipta nama menerusi lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu.

Sementara itu, empat bekas pemain bola sepak dan jurulatih juga menerima DIMP iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang, Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.

KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali dan KSU Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin pula mendahului senarai penerima pingat hari ini.

Mereka antara sembilan penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Lihat Komen
ADS