Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem seram Talbis Iblis diharamkan daripada menemui penonton di Brunei pada 20 Okt ini selepas gagal melepasi syarat penapisan filem bagi tayangan di negara itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Penerbit Eksekutif Infinitus Productions Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, mengesahkan perkara tersebut.

“Ada beberapa punca. Antaranya kerana mengandungi ritual menghidupkan kembali bayi yang sudah mati sekali gus dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Gayatri berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan berlapang dada.

Menurutnya, setiap negara memang mempunyai syarat tapisan filem yang berbeza-beza sebelum meluluskan karya yang hendak memasuki pasaran mereka.

“Kita perlu terima seadanya kerana setiap negara mempunyai undang-undang berbeza berhubung tapisan filem,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Instagram Times Cineplex Brunei memaklumkan Talbis Iblis diharamkan daripada tayangan di pawagam negara itu kerana tidak lulus syarat tapisan filem.

“Maaf, Talbis Iblis tak akan ditayangkan di sini berikutan tidak lulus tapisan filem,” menurut kenyataan pada ruang kapsyen.

Pengumuman tersebut ternyata mengundang perasaan kecewa peminat terutama yang sudah lama ternanti-nanti untuk menonton kemunculan semula Nasha Aziz.

“Aduh, sudah lama menantikan filem ini. Lama tidak lihat filem terbaru lakonan Nasha Aziz. Apa boleh buat,” komen salah seorang netizen.

Bagaimanapun, menurut Gayatri, Talbis Iblis bukanlah satu-satunya filem terbitan syarikatnya yang diharamkan di Brunei.

Sebelum ini, katanya, sebuah lagi filem dihasilkan bersama Astro Shaw turut menerima nasib yang sama.

“Hoorey Hoorey juga terkena nasib sama. Tapi saya OK saja. Bagi saya, tidak lulus tayangan bukan isu,” tuturnya.

Selain Nasha Aziz, filem arahan Kabir Bhatia itu turut dijayakan oleh pelakon Azira Shafinaz dan Zul Ariffin. Ia dijadual menjengah pawagam tanah air pada tarikh sama seperti di Brunei.

Untuk rekod, selain Talbis Iblis, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei pada 23 Ogos 2016 dalam satu kenyataan mengumumkan, filem Pekak juga tidak diluluskan tayangan.

Filem arahan Khairul Azri Mohd Noor atau Kroll Azry itu tidak diluluskan kerana tiada unsur pendidikan serta membawa pengaruh buruk kerana memaparkan adegan menghisap dadah, penjualan dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.

Filem Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin juga tidak diluluskan kerana pihak penapisan filem negara itu memberikan alasan karya tersebut mengandungi unsur tidak bermoral.

Lihat Komen
ADS