Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Dua dekad sesudah terbit Dari Derita Bangsa

Saya memberitahu Johan Jaafar bahawa di rumah kami ada enam pengundi bagi kawasan Parlimen Bangi. Johan berterima kasih sambil berharap kami memberi sokongan terhadap anaknya, Syahredzan, yang bertanding buat kali pertama di kawasan itu.

Bekas pengerusi Media Prima Bhd itu mengirimkan gambar dan lokasi berkumpul menjelang penamaan calon pada 5 Nov lalu.

Saya tidak hadir pada hari tersebut kerana uzur. Kawan-kawan yang hadir mengirimkan gambar A Kadir Jasin yang turut hadir mengiringi Syahredzan ke pusat penamaan calon.

Kehadiran A Kadir tidak memeranjatkan. Mantan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu mempunyai hubungan unik dan tersendiri dengan Johan.

Ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan Anwar Ibrahim timbalannya pada dekad 1990-an, A Kadir dan Johan adalah insan kepercayaan pemimpin negara.

Bukan rahsia lagi apabila A Kadir dianggap orang kanan Mahathir dan Johan pula rapat dengan Anwar. Johan kehilangan jawatan sebagai Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd apabila Anwar hilang jawatan dan dipenjarakan.

A Kadir pula hilang jawatan apabila sokongan Melayu terhadap Umno dan BN merosot teruk pada akhir dekad 1990-an.

Mereka berdua mempunyai karisma sebagai wartawan dan pemimpin media. Johan dan A Kadir memiliki reputasi sebagai personaliti massa yang disegani.

Pada era mereka jualan media meningkat apabila Utusan Malaysia dan Berita Harian dianggap akhbar paling berpengaruh untuk mencorak pemikiran rakyat.

Gerakan Reformasi 1998 kemudian dicorakkan oleh kehadiran media digital yang secara pantas mengubah konsep dan wadah pemberitaan.

Media dalam talian mengambil tempat dan secara radikal mengubah kepercayaan massa terhadap media tradisional terutama akhbar dan televisyen.

Sekat karya bersimpati

Persaingan di antara Mahathir dan Anwar juga mendorong himpunan orang ramai di Kuala Lumpur hampir setiap hujung minggu. Rakyat memberi reaksi kerana tindakan keras kerajaan terhadap Anwar.

Justeru isu mata lebam lebih dominan daripada buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang dianggap fisyen tidak bermaruah.

Media cetak dilihat keterlaluan menyiarkan berita yang propagandis sifatnya. Isu liwat melatari pemberitaan berbanding isu kemiskinan dan ekonomi negara.

Lebih malang apabila penulis sastera juga terlibat menyiarkan sajak dan cerpen yang mempesendakan hubungan luar tabii, sedangkan tidak dipastikan sama ada isu salah laku moral benar-benar terjadi atau sebaliknya.

Kami - sekumpulan sasterawan - bukan sahaja dihalang mengadakan majlis puisi untuk melontarkan isu Anwar, bahkan karya yang bersimpati kepadanya turut disekat.

Tiada tempat untuk sajak dan cerpen yang membela isu moral daripada perspektif berbeza. Editor sastera di media massa berubah menjadi polis seni bagi memastikan hanya karya-karya 'indah' saja dipaparkan.

Karya berontak, protes dan reformis menjadi tabu. Bukan sebuah dua karya kami dilarang penyiarannya, bahkan sajak-sajak saya tidak siarkan oleh Berita Harian yang menjadi tempat saya bertugas!

Sasterawan Negara Usman Awang memaklumkan kepada kami tentang penerbitan kumpulan sajak yang membela nasib Anwar.

"Dana penerbitan sudah ada, tapi penyumbang enggan mendedahkan diri bimbang tindakan pemerintah," tutur Usman.

Mantan Editor Sastera Berita Harian, Dino SS, diarahkan mengumpul dan menyelenggarakan kumpulan sajak Dari Derita Bangsa yang diterbitkan pada 2001.

Lontar suara yang disekat

Dari Derita Bangsa ialah suara kami yang polos tentang moral yang dipersendakan. Empat sajak saya - yang pernah ditolak oleh editor Berita Harian, Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera kerana temanya - termuat dalam kumpulan tersebut.

Lucunya, sajak-sajak yang ditolak itu akhirnya diterbitkan dalam kumpulan sajak perseorangan saya, Khalayak Sejagat, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2006.

Menulis sajak kepada Anwar yang terkurung di dalam penjara tidaklah semudah yang digambarkan. Dari Derita Bangsa adalah prihatin kami kerana Anwar dizalimi dan tidak diberikan keadilan.

Pada masa sama kami juga bimbang jika akan kehilangan jawatan kerana sajak yang bertentangan dengan pemerintah dan menentang arus merupakan suatu 'dosa besar'.

Apabila bergabung suara, kami bersetuju untuk mendepani risiko. Enam sasterawan negara turut memuatkan sajak dalam kumpulan berkenaan iaitu Usman sendiri, A Samad Said, Baha Zain, Siti Zainon Ismail, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. Penulis lain ialah Dinsman, Rejab FI, Marzuki Ali, Atondra dan Ahmad Razali.

Dari Derita Bangsa menghimpunkan suara kami yang tidak dapat dilontarkan secara terbuka di arus perdana.

Walaupun di Malaysia buku ini tidak diperkatakan secara terbuka, namun ia mendapat sorotan positif daripada penyair terkenal Indonesia, WS Rendra, yang turut bersuara agar kezaliman terhadap Anwar dihentikan.

Rendra dan Usman adalah dua seniman besar yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar yang ketika itu menggerakkan acara bulanan baca sajak di menara sebuah bank terkemuka.

Selepas 24 tahun suara kami bergema, kini Anwar adalah peneraju negara. Dengan kedudukan yang setinggi itu, masih ada harapan untuk dia mengenal bait dan rangkap susuk pertiwinya.

Sibuk mengejar pemimpin

Seniman tidak mengharapkan ganjaran daripada hasil seni masing-masing. Memadai jika Anwar - dengan sepenuh ikhlas dan cekal - membawa sastera ke destinasi yang lebih enak sebagai khazanah pemikiran bangsa.

Kami tidak mengharapkan apa-apa daripada Anwar. Kami hanya berharap dia menjadi perdana menteri yang mengangkat sastera dan jati diri bangsa ke tempat yang wajar.

Apabila berkuasa, jangan mabuk dengan kuasa dan kekuasaan. Akan datang nanti - ataukah sudah datang? - suatu golongan yang dulu gigih mempersenda seorang Anwar dan kini tiba-tiba menjadi insan yang amat ramah.

Sastera Malaysia tidak pernah sunyi dan bisu daripada kemunafikan.

Golongan anarkis akan datang membodek Anwar untuk laba yang mereka sentiasa idamkan. Pada 2019 mereka pernah menghadap Anwar di Bukit Gasing tetapi bergegas pula menghadap menteri lain pada 2021.

Kini mereka sedang merancang untuk menghadap Anwar kerana yakin ghanimah akan diperoleh melalui bicara yang muluk-muluk. Mereka terdiri daripada kalangan sarjana dan cendekiawan yang menjadi cendawan pada musim tengkujuh sekarang.

Mereka pintar berkata-kata kerana memang berlatih untuk berbicara yang baik-baik apabila berdepan seseorang yang berkuasa. Mereka akan pergunakan isu sastera, bahasa dan budaya untuk mendekati penguasa.

Tetapi mereka akan pantas meninggalkan susuk itu sebaik saja dia tidak berkuasa lagi.

Sastera Malaysia sedang jauh tertinggal berbanding Indonesia dan Thailand yang lebih berbobot.

Benar, perdana menteri bukan pengarah sastera. Dia juga bukan penyair atau pembaca mantera. Namun memadai jika Anwar memiliki iltizam untuk merombak DBP yang gagal menjadi birokrat seni seperti sepatutnya.

Sastera bukan sepatutnya lahir daripada derita bangsa. Sastera adalah manusia seperti Johan dan Kadir yang kekal bersama.


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang tiada kluster mahupun kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS