Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Finas wajar jadi orang tengah selesaikan isu kru dilenjan 20 jam'

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menganggap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) seolah-olah tidak memahami masalah sebenar industri sebelum membuat kenyataan berkaitan isu-isu dibangkitkan membabitkan penerbitan televisyen.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli, berkata Finas sewajarnya memainkan peranan penting sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu pekerja produksi seperti terpaksa bekerja terlalu lama di set penggambaran.

Tambahnya, sebagai agensi yang bertanggungjawab Finas perlu memandang berat isu tersebut agar puncanya boleh dikenal pasti lalu penyelesaian dicari.

"Bukannya hanya mengeluarkan kenyataan umpama melepas batuk di tangga," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Jurey PTVM tahu Finas tidak terbabit dengan akta berkaitan tempoh maksimum bekerja yang berkuat kuasa sekarang namun ada peranan lebih bermakna boleh dilakukan.

“Apa yang penggiat industri filem harapkan ialah Finas membantu menyelesaikan konflik berpanjangan di sebalik tempoh bekerja selama 20 jam, 30 jam atau waima 40 jam sekali pun. Bukannya minta sebut pasal akta.

“Sepatutnya Finas kena tengok apa masalah hingga penerbit terpaksa mengarahkan pelakon dan kru bekerja untuk sesuatu tempoh yang begitu lama.

"Finas perlu melihat isu tersebut secara keseluruhan,” katanya.

Bukan sengaja nak lewat

Terdahulu pelakon Sharnaaz Ahmad, 37, menyelar tindakan sesetengah produksi yang didakwa memaksa pekerjanya bekerja hingga lunyai akibat terlebih masa.

Melalui Instagram Stories (IGs), aktor bersuara lantang itu meluahkan kemarahannya terhadap sebuah syarikat produksi yang menjalankan penggambaran hingga 20 jam sehari.

Dalam kenyataannya itu, pelakon Darah Panas itu turut meminta Finas, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) agar memantau produksi yang ‘melenjan’ pekerja-pekerjanya melebihi 12 jam.

Katanya, disebabkan produser perlu menjimatkan kos dengan melaksanakan penggambaran melebihi masa, artis dan kru tidak mampu memberikan yang terbaik sekali gus menyebabkan ada pihak menarik muka.

Sharnaaz Ahmad

Sebagai maklum balas, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Md Nasir Ibrahim, berkata Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai 1 Jan.

Justeru, menurutnya, perkara itu sekali gus tidak memberi kuasa perundangan kepada badan berkenaan berhubung isu lebih masa yang melibatkan penggiat seni.

“Maka, pandangan bahawa Finas mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataupun menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali malah ia bercanggah dari segi undang-undang,” katanya.

Md Nasir Ibrahim

Jurey menjelaskan, penerbit kadang-kala terpaksa berbuat demikian atas beberapa faktor berbangkit yang biasanya tidak dapat dielakkan.

Namun katanya perkara itu terlebih dahulu telah dipersetujui oleh pelakon sebelum memulakan sesuatu penggambaran.

“Ada sesetengah lokasi mengenakan kos sewaan yang sangat mahal, jadi takkan penerbit nak jalankan penggambaran terlalu lama di situ atau isu lain yang berbangkit seperti artis-artis ada komitmen lain dan mereka tiba ke set lewat atau timbul masalah urusan props.

“Perkara itu semua menyumbang kepada jumlah kerja lebih masa. Dalam kontrak menyebut artis dan kru perlu ikut jadual yang telah ditetapkan dan perlu menghabiskan babak mengikut skrip.

"Namun, pertimbangan (kerja lebih masa) selalunya dibuat selepas mendapat persetujuan semua pihak termasuk artis dan kru," katanya.

Tambah Jurey tidak ada mana-mana produksi yang sengaja mahu melengah-lengahkan projek mereka bahkan menyiapkan ia lebih cepat adalah pilihan yang terbaik.

"Kami nak semua orang selesa. Kami bagi tempat tinggal dan semua kebajikan kami jaga walaupun ia tak wajib dibuat,” katanya.

Lihat Komen
ADS