Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas tamatkan kontrak CEO lebih awal
Diterbitkan:  Jun 1, 2023 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah drastik menamatkan kontrak Md Nasir Ibrahim selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi itu lima bulan sebelum tarikh sepatutnya.

Penamatan perkhidmatan itu berkuat kuasa hari ini.

Finas dalam kenyataannya menyebut, tindakan tersebut diambil sebagai langkah penstrukturan semula organisasi bagi memastikan industri filem tanah air bergerak lancar.

“Perkara ini langkah penjajaran semula (recalibration) ke atas dasar, program dan aktiviti industri kreatif terutamanya industri perfileman.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem negara menghasilkan filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi,” kata kenyataan itu.

Finas juga menyebut, dengan berakhirnya kontrak Md Nasir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan, menjalankan tugas CEO untuk sementara waktu.

Terdahulu, Md Nasir dilantik sebagai CEO baru Finas oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) - sekarang Kementerian Komunikasi dan Digital - bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Nov 2021 hingga 30 Okt ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugasnya selaku CEO berkuat kuasa 15 Okt 2021.

Finas dalam kenyataan sama turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Md Nasir atas perkhidmatannya memegang ‘kerusi panas’ itu pada 1 Nov 2021.

“Terima kasih kepada Md Nasir atas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang perkhidmatan sebagai CEO bermula 1 Nov 2021 hingga 31 Mei lalu.

“Finas mengucapkan selamat maju jaya kepada Md Nasir dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa juga bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS