Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fixi Lingo bawa karya tempatan ke dalam bahasa Melayu

Bagi mengisi kelompongan dalam dunia terjemahan sastera tempatan, Buku Fixi bakal hadir dengan Fixi Lingo yang akan menterjemahkan karya penulis tempatan dalam pelbagai bahasa ke bahasa Melayu.

Inisiatif ini dimulakan oleh Amir Muhammad, pengasas Buku Fixi.

Amir berkata sementara banyak karya terjemahan daripada bahasa Inggeris, Jepun, Arab, Sepanyol, Perancis, Jerman dan bahasa-bahasa lain, namun seakan tiada terjemahan karya penulis Malaysia yang menulis bukan dalam bahasa Melayu.

Justeru, Amir berhasrat untuk mengisi kekosongan itu.

Baru-baru ini, kutipan dana telah dibuat (berakhir pada 22 Oktober lalu) dan Fixi Lingo akan bermula dengan terjemahan tiga novel.

Novel pertama yang akan diterbitkan berjudul Sigandi karya bahasa Tamil oleh Navin Manogaran. Ia akan diterjemah ke bahasa Melayu oleh Saravanan Satianandan.

Sigandi dijangka dilancarkan di George Town Literary Festival yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 November ini.

Dua lagi karya yang akan diterjemah adalah daripada penulis Iban dan Cina.

"Sudah agak lama saya sedar amat sedikit terjemahan antara bahasa di Malaysia. Jadi, pada tahun lalu, saya mula bertanya dan mencari penulis-penulis yang menulis dalam bahasa selain Melayu dan Inggeris.

"Ada begitu banyak buku yang ditulis penulis tempatan yang bukan dalam Bahasa Malaysia," kata Amir kepada Malaysiakini.

Pada masa ini, tumpuan Fixi Lingo adalah kepada novel kontemporari yang dapat menarik minat pembaca dewasa dan muda.

Ditanya jika Fixi Lingo bertujuan mengembangkan dunia sastera Malaysia, Amir berkata: "Jika ia dapat meluaskan pandangan alam seorang pembaca, ia sudah memadai."

Sigandi berkenaan kisah kehidupan di kota yang serba mencabar. Ia menceritakan Theeban, seorang remaja yang lari dari rumah dan mencari makan di sebuah kawasan pelacuran di Kuala Lumpur.

Kawasan itu dikawal oleh seorang wanita misteri dan berpengaruh yang dikenali sebagai Ibu.

Theeban bermula sebagai penjual barang tiruan dan kemudiannya bekerja untuk pelacur dan pengedar dadah. Dia kemudian mula dikuasai rasa tamak.

Ditanya berkenaan karyanya yang akan diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Navin berkata dia terharu dengan maklum balas pembaca, terutama dalam kalangan orang Melayu yang teruja untuk membaca novelnya.

Navin Manogaran

Menurut Navin, sebelum ini ada penulis bahasa Tamil yang menterjemahkan karya menggunakan wang sendiri, namun dengan sambutan yang sederhana sahaja.

Dia berharap semua ini akan berubah dengan Fixi Lingo.

Navin merupakan editor untuk majalah Vallinam. Pada 2018, dia berpeluang mewawancara seorang wanita transgender yang tinggal di Chow Kit.

"Dia menjadi pembela kepada semua transgender yang tinggal di sekitar Chow Kit.

"Dia juga berkongsi tentang amalan dan budaya mereka serta cara mereka sembahyang," kata Navin, sambil menambah wanita transgender itu menganggapnya seperti anak sendiri.

"Sehingga kini, perbualan itu kekal meninggalkan kesan mendalam terhadap saya.

"Selain itu, kesukaran dan cabaran yang sering dihadapi golongan transgender daripada pelbagai negara juga menjadi titik mula kepada kelahiran karya bertajuk Sigandi."

Sebelum ini, Navin telah dibantu Saravanan untuk menterjemahkan beberapa karya cerpennya ke Bahasa Melayu, namun tidak semuanya dapat diterbitkan.

Ketika novel pertamanya, Peichi diharamkan pada 2020 kerana didakwa mengandungi unsur tidak bermoral dan pornografi, semakin ramai yang membaca terjemahan karyanya yang disiarkan di laman Eksentrika dan majalah Dewan Sastera.

Tonjol isu kemanusiaan

Navin berkata dia terus menonjolkan isu-isu kemanusiaan ketika berkarya.

Menurutnya, semua orang mengalami cabaran dan keperihan emosi dan maka Sigandi bukan hanya menyasarkan golongan transgender, tetapi untuk semua yang tidak dapat bersuara kerana dilihat sebagai masyarakat kelas bawah.

Navin berkata dia akan berasa bangga jika pembaca dapat memahami apa yang cuba disampaikan melalui karyanya.

Sementara itu, Saravanan berkata dia mengambil masa 13 minggu untuk menyiapkan terjemahan Sigandi ke Bahasa Melayu.

"Sukar untuk terjemah sesetengah istilah. Namun, terjemahan ini dibuat dengan sangat cermat untuk tidak menjejaskan kandungan asal penulis.

"Saya harap buku ini dapat menjadi permulaan kepada pembaca Bahasa Malaysia kita untuk memahami tema dan kandungan yang sebelum ini tidak dapat dibaca mereka," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS