Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yasin lepas, bebas kes dadah, tapi diarah ke hospital bahagia
Diterbitkan:  Nov 29, 2023 3:18 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini melepas dan membebaskan penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman daripada tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan Muhammad Yasin, 48, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Faiz berkata setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam ketiga-ketiga pertuduhan.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan dengan alasan semasa kejadian sebagaimana yang didakwa pada 24 Mac 2022, tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras walapun tertuduh sedar akan sifat perbuatannya.

“Namun begitu, gejala-gejala ‘mania’ (emosi tidak stabil) yang dialami tertuduh pada masa tersebut menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan itu adalah salah dan bertentangan dari segi undang-undang.

“Justeru, menurut Seksyen 348 (1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), mahkamah dengan ini memutuskan bahawa tertuduh diletakkan di bawah penjagaan yang selamat di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk tempoh selama mana diperkenankan oleh Sultan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 348(2) KTJ,” katanya.

Muhammad Yasin yang memakai t-shirt berwarna hitam dilihat memeluk ahli keluarganya selepas keputusan itu.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di Petaling Jaya, pada 5.30 petang, pada tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin.

Pada 15 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan yang bermula 28 Ogos lepas manakala seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Muhammad Yasin ketika ditemui selepas prosiding berkata dia bersyukur mahkamah memutuskan dirinya bebas dan dilepaskan daripada tiga pertuduhan dadah.

“Setelah 20 bulan saya turun naik mahkamah, Alhamdulillah hari ini (prosiding) berakhir dengan baik dan saya tidak akan kembali ke sini lagi.

“Sekarang ini saya perlu kembali ke Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak) di bawah perkenan Sultan Selangor untuk sempurnakan rawatan bipolar saya di sana.

“Saya akan kekal di sana selama mana yang tuanku (Sultan Selangor) tetapkan dan kemudian saya akan buat satu lagi permohonan untuk saya pulang ke kampung halaman,” kata penyanyi itu.

Sementara itu, abang kepada Muhammad Yasin, Zain Sulaiman, 51, berkata beliau tetap akan memberi sokongan kepada adiknya itu sepanjang menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Sama ada jauh atau dekat itu tidak menjadi masalah, yang penting dia menerima rawatan dan kita akan rasa senang hati. Kami tidak risau kerana kami tahu beliau disimpan dengan baik serta menerima rawatan pakar di situ,” katanya yang turut hadir ke mahkamah bersama beberapa ahli keluarga terdekat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS