Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Seniman Kecil adalah sebuah inisiatif, untuk membawa pengalaman kreatif kepada setiap kanak-kanak” - Adi

Kata-kata yang dimulai dengan "setiap kanak-kanak adalah seniman…" terlalu kerap diulang-ulang hingga loya tekak dan geli telinga seniman dan sesiapa yang berkecimpung dalam dunia seni visual.

Mungkin Picasso sendiri mengolah kata-kata itu daripada guru lukisannya yang mendapat frasa ini daripada guru seninya. Ia kemudian bersambung-sambung sehinggakan rupa-rupanya ia berasal daripada mulut seorang pelukis zaman Paleolitik yang melukis dalam lorek simplistik kubisme di dinding-dinding gua di wilayah Indonesia purba. Mungkinlah.

Di dalam kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, melalui Jalan Walter Granier, mengadap kompleks membeli-belah Lot 10, Fahrenheit88 (dahulu dikenali sebagai KL Plaza) dan Starhill yang setiap hujung minggu sesak, beroperasi sebuah ruang kreatif kecil untuk kanak-kanak meneroka dan berkarya.

Ada bancuhan slime untuk dibentuk, ada kanvas untuk dicatan, ada ruang dinding untuk diconteng, ada kotak-kotak terpakai untuk dibina robot, ada gajet elektronik terpakai untuk dimain-peran (role-playing) mengikut khayalan ‘seniman naif’ seawal usia empat tahun.

Jika kita membayangkan bangunan-bangunan pencakar langit yang macam tidak pernah siap itu seumpama raksasa Jalut, maka ruang kreatif di Jalan Walter Granier itu adalah susuk ‘Nabi Daud’ pada waktu kecil.

Namun, ruang kreatif yang diberi nama Seniman Kecil itu bukanlah dibina untuk ‘berperang’ dengan bangunan konkrit di sekelilingnya.

Seniman Kecil diasaskan oleh Asmadi Abdul Wahab atau dikenali sebagai Adi pada 2007. Dia mendapat inspirasi dan didikan seni daripada beberapa seniman terkenal tanah air seperti Allahyarham Rejabhad, Lat dan Allahyarham Yusof Gajah.

Daripada ketiga-tiga legenda seni itu, Yusof Gajah lebih memberi pengaruh besar kepada Adi kerana tempoh perantisan antara mereka yang lebih lama.

Selain Adi, seniman kontemporari lain yang pernah menerima tunjuk ajar daripada Yusof Gajah secara langsung atau tidak ialah Ringgo, Adeputra, Fathullah Luqman Yusuff, Jojo Yusof, dan Mie Mambo (sekarang dikenali Yeop Mie).

Adi memulakan kerjayanya dalam dunia seni sebagai kartunis sambilan untuk majalah Gila-Gila sebelum terbabit dalam pembikinan siri animasi Jepun seperti Dragon Ball, Slam Dunk, Sailor Moon, Shoot dan Crying Freeman untuk produksi Toei Animation Jepun.

Melalui pengalamannya itu, Adi ditawarkan oleh Raja Azmi Raja Sulaiman untuk menghasilkan komik biografi dan animasi Anak-Anak Sidek yang  popular sekitar 1996.

Awal 2000-an, Adi berjaya menghasilkan konsep siri animasinya sendiri yang berjudul Edy & Cici sebanyak 54 episod. Ia pernah disiarkan di RTM, Astro dan dibeli hak penyiaran untuk stesen TV luar negara.

Pada 2002 - melalui bimbingan Yusof Gajah - Adi memenangi pertandingan The 13th Noma Concours for Picture Book Illustrations.

Bawa pengalaman buat kanak-kanak

Karyanya, The Red Cage mendapat pengiktirafan untuk dipamer di International Library of Children’s Literature di Tokyo, Jepun dan di Bibiana International House of Arts for Children di Bratislava, Slovakia.

Sayangnya, The Red Cage tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbitan kecuali dalam bentuk katalog.

Pada 2004, Adi berhijrah ke United Kingdom untuk meneruskan cita-cita seni khususnya bagi menambah pengetahuan dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak.

Sekembalinya ke Malaysia, Adi banyak melibatkan diri dengan program-program anjuran Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) di bawah naungan Shahaneem Hanoum. Ia adalah usaha memartabatkan buku kanak-kanak tempatan ke peringkat antarabangsa.

Seniman Kecil adalah usaha yang benihnya ditanam dan dipupuk oleh Adi secara mandiri, swadaya — sambil dibantu beberapa artis-sukarelawan lain, sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.

Menurut Adi, Seniman Kecil adalah platform terbuka untuk semua kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang ekonomi. Misi Seniman Kecil ialah untuk membawa pengalaman kreatif kepada setiap kanak-kanak.

Sejak 2007 mereka telah menjalankan pelbagai program kreatif melibatkan ribuan kanak-kanak di Taska, Tadika, sekolah, perpustakaan, hospital dan perkampungan orang asli.

Hampir keseluruhan program dijalankan secara sukarela. Seniman Kecil tidak pernah memohon atau menerima dana secara langsung daripada mana-mana institusi kerajaan maupun swasta.

“Seniman Kecil berusaha untuk kekal bebas dan berdikari,” kata Adi.

Sebelum pandemik Covid-19, Adi menjalankan perniagaan asrama pengembara KLBackpacker.com di tengah ibu kota bagi menjana pendapatan.

Budi pekerti, kemanusiaan

Ia direka untuk membiaya program Seniman Kecil sebagai ruang kreatif, penempatan sukarelawan, rendezvous point para seniman dan pusat rangkaian antarabangsa.

Segalanya bergerak seperti yang dirancang sehinggalah wabak Covid-19 menyerang seluruh dunia dan memusnahkan sumber pendapatan utama mereka.

Pengisytiharan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan ketika itu yang berlanjutan selama lebih setahun meletakkan Seniman Kecil – seperti sektor komersial lain – dalam situasi yang sukar.

Mereka tidak mampu mengekalkan platform kreatif dan menyediakan program seni kanak-kanak secara percuma. Pandemik memberi kesan yang terlalu besar untuk Seniman Kecil hadapi secara sendirian.

Kita semua maklum tentang kepentingan seni kepada kanak-kanak. Seperti kata David Hockney: “Keinginan untuk melukis itu pasti terlalu kuat dalam diri kita, kerana kanak-kanak suka melakukannya.”

Seni melukis, mewarna dan mereka bentuk adalah proses pendidikan asas untuk setiap manusia di samping mengenal huruf, membaca dan mengira.

Pengajaran seni yang khusus (emphasis art) semenjak kecil berfungsi menajamkan minda kanak-kanak secara visual dan menanam falsafah ‘halus’ dalam diri mereka.

Halus yang dimaksudkan boleh diterjemah kepada nilai kehalusan budi pekerti dalam sifat kemanusiaan.

Melalui pendidikan seni, kanak-kanak dapat belajar melihat alam melalui kaca mata seorang ‘seniman’ sebagai pemerhati (noticers) yang tajam mata akalnya.

Mereka belajar melihat dunia dengan pandangan yang unik lagi berbeza.

Kanak-kanak diajar menjadi pemerhati dan pemikir yang mudah terkesan/tersentuh terhadap setiap perkara yang berlaku di persekitaran mereka.

Pendidikan dan pengalaman seni kreatif yang dipupuk semenjak kanak-kanak secara tidak sedar berupaya membentuk hala tuju kerjaya mereka apabila dewasa.

“Apabila kru Seniman Kecil sampai," kata Adi menceritakan pengalaman sewaktu Seniman Kecil menjalankan program di perkampungan Orang Asli di Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor, "sekumpulan kanak-kanak berlari jauh ke hujung jalan."

Kata Adi, mereka mungkin tidak biasa melihat orang luar datang ke petempatan tersebut.

"Kami pun panggil mereka untuk menyertai program.

"Mengikut kata penyelaras program, kebanyakan anak-anak Orang Asli tak suka ke sekolah, namun dalam program kami, sebaliknya berlaku.

"Akhirnya seni dan kreativiti menyatukan kami. Kami dapat lihat kegembiraan di wajah mereka sewaktu asyik melukis di atas kertas,” katanya.

Seniman Kecil masih menjalankan misi pendanaan awam (crowdfunding) untuk mengekalkan premis studio mereka di Jalan Walter Granier, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lawati Senimankecil.com


M FAREZ KARIM ialah usahawan seni (artrepreneur), pengurus rumah penerbitan mandiri Studio Kaukab sejak 2013, penyajak kecil-kecilan merangkap editor tamu majalah Senikini terbitan Balai Seni Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS