Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kekangan bajet, Intan Ladyana bukan syok sendiri

Pelakon Intan Ladyana mengakui dirinya bukan syok sendiri duduk di bangku pengarah sebaliknya terpaksa menjadi bidan terjun pada saat-saat akhir bagi mengurangkan bajet produksi.

Kata Intan, dia yang pada awal bertindak selaku penerbit dan pelakon untuk filem Banglo Seksyen 12 dinasihatkan oleh penerbit penyelia naskhah terbabit untuk memikul tiga tugas sekali gus memandangkan produksi sudah menghampiri waktu memulakan penggambaran.

“Saya terpaksa buat (mengarah) juga sebab kami sendiri ada kekangan bajet malah pembiayaan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) yang disediakan untuk program inkubator RM500 ribu saja.

“Pada masa sama, produksi masih tercari-cari pelakon wanita yang mempunyai pengalaman namun ada beberapa nama (pelakon) menolak peluang ditawarkan berikutan ia tak mengikut kesesuaian bajet mereka.

“Ini semua idea Aziz M Osman (gambar atas).

“Ketika itu, kami pun tiada masa panjang untuk cari pengarah lain. Jadi, ini memang bidan terjun dan bukan syok sendiri tau,” katanya.

Cabaran Intan, 41, tidak terhenti setakat di situ, katanya filem seram yang diarahkan bersama Dharma Nasution itu turut berdepan kekangan perintah kawalan pergerakan sewaktu pandemik Covid-19 pada 2020.

Malah katanya, filem diinspirasi daripada novel hits menggunakan judul sama hasil tulisan Hasrudi Jawawi itu juga perlu dirombak beberapa kali berikutan masalah teknikal yang dihadapi.

“Kami baru mulakan penggambaran Covid-19 pula mengganas. Kami terpaksa sambung semula penggambaran pada awal 2021.

“Jadi, cabaran utama saya dalam mengarahkan filem ini tentunya pandemik berikutan kekangan merentas negeri.

“Kami juga terpaksa mengubah banyak plot menjadikan ia berbeza daripada novel terutama mengenai watak utamanya daripada Inspektor ditukar menjadi pengarah rancangan paranormal,” katanya.

Intan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tayangan Banglo Seksyen 12 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Filem dijadual menjengah pawagam esok itu turut dijayakan pelakon seperti Mustaqim Bahadon, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin dan Faris Fitri.

Banglo Seksyen 12 berkisahkan pembunuhan misteri sekumpulan remaja pada 2006 di sebuah banglo yang kemudian menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal untuk membuat penggambaran sebagai kandungan di platform digital mereka.

Pada masa sama, Intan berkata, dia berdebar-debar dengan penerimaan penonton nanti memandangkan skrip sudah dirombak sehingga 80 peratus berbanding karya asal.

Namun, katanya, dia bersyukur apabila Hasrudi tidak meletakkan sebarang syarat sekiranya mahu mengolah filem berkenaan.

“Novel ini mempunyai peminatnya yang ramai.

“Tapi alhamdulillah penulis asal izinkan kami mengikut kreativiti sendiri.

“Sebelum mula penggambaran saya sudah maklumkan lebih awal padanya ada penukaran plot supaya tiada masalah timbul kemudian hari,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS