Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

KOMENTAR | Pada 1973, Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor pada waktu itu merasmikan sebuah panggung wayang yang dinamakan sebagai Pawagam P Ramlee.  

Premis yang  hanya beratapkan zink dan menggunakan kipas siling itu mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 600 orang penonton pada sesuatu masa.

Idea penubuhan panggung wayang itu datang daripada P Ramlee sendiri dan kemudian disambut oleh HM Shah serta pengarah filem, Salleh Ghani.

P Ramlee melihat monopoli syarikat panggung wayang yang ada ketika itu tidak memihak kepada para pelakon dan kumpulan yang terlibat dalam bidang perfileman.

Keuntungan yang diperoleh operator panggung wayang dianggap lebih memihak kepada mereka berbanding apa yang masuk ke kantung pelakon serta kru.

Atas kesedaran itulah P Ramlee dan rakan-rakannya mengumpul dana untuk menyewa sebuah panggung wayang yang agak daif milik seorang ceti.

Allahyarham P Ramlee

Dengan bantuan kewangan daripada HM Shah yang mengeluarkan sekitar RM100,000, panggung tersebut telah mereka sewa sebagai suatu alternatif kepada panggung wayang sedia ada.

Namun begitu, sebelum sempat panggung - yang mulanya dinamakan sebagai Pawagam Rumpun - itu beroperasi, P Ramlee meninggal dunia iaitu pada Mei 1973.

Ia berlaku hanya beberapa bulan sebelum panggung tersebut membuka tirai untuk persembahan pertama mereka.

Tugas untuk membangunkan pawangan tersebut kemudian diteruskan oleh HM Shah, Salleh dan juga Ramli Ismail. Mereka lalu membawa Saloma sebagai penerus rancangan itu.

Usah dirobohkan macam lain-lain

Dikatakan juga, perkataan ‘pawagam’ pertama kali digunakan oleh P Ramlee bagi menggantikan panggung wayang gambar. Ia tercetus semasa dia bersama yang lain-lain berusaha memiliki panggung sendiri.

Selain itu P Ramlee juga diingat sebagai sosok yang mereka perkataan ‘kugiran’ bagi menggantikan perkataan ‘kumpulan gitar rancak’.

Baru-baru ini dunia wayang gambar kembali kecoh dengan cadangan untuk kerajaan mendirikan sebuah panggung wayang sendiri.

Seperti yang disuarakan oleh P Ramlee, cadangan hari ini juga berakar dari isu monopoli syarikat panggung wayang.

Kawalan pihak pemodal itu dianggap menjadi batu halangan besar kepada kemajuan - atau lebih tepat - keuntungan yang bakal diperolehi oleh pengeluar filem tempatan.

Desus-desas yang mengatakan bahawa panggung wayang antara yang tertua di negara ini, Coliseum, hendak dijual adalah pencetus kepada idea supaya ia diambil alih oleh kerajaan.

Panggung yang dibina pada 1920-an itu mempunyai seni bina yang amat unik dan memang sepatutnya dipertahankan.

Malah ia juga seharusnya dikekalkan, bukan tidak dirobohkan sepertimana nasib banyak bangunan ikonik di negara kita.

Kesedaran untuk memulihara bangunan-bangunan yang bergaya di seluruh negara memang sepatutnya diterapkan pada semua pihak. Selain cantik, bangunan-bagunan lama juga mempunyai sejarah yang tersendiri.

Panggung biasanya akan mengurangkan putaran tayangan filem-filem tempat sejurus kutipannya merudum. Namun tidak jarang juga ada panggung lebih mengutamakan filem-filem dari luar negara berbanding dengan apa yang dihasilkan oleh anak tempatan.

Dalam hal ini panggung sebagai sebuah perniagaan tidak boleh dipersalahkan kerana memang menjadi dasar operasinya untuk mencari keuntungan semaksimum yang boleh.

Mungkin faktor sentiasa dianak tiri oleh pawagam yang ada memainkan peranan menyebabkan filem-filem tempatan jarang menguntungkan.

Pun begitu filem-filem yang dikeluarkan oleh orang kita juga harus bertanggungjawab.

Politik dan propaganda memang selalu menggunakan filem sebagai alat. Lihat filem-filem Barat mutakhir ini yang sering menyelitkan saranan kesamaan gender dan juga kehebatan satu bangsa di atas bangsa yang lain sebagai contoh.

Kekuatan kreativiti tentu saja akan menjadikan apa juga propaganda yang cuba diserap menjadi kelihatan bersahaja dan tidak dipaksa.

Tak sibuk main isu kaum

Di tempat kita, filem-filem sebegini selalunya amat literal penyampaiannya. Filem-filem mengenai silat sebagai contoh, terlalu cenderung untuk memasukkan semangat Melayu.

Hasilnya filem-filem seperti Walid, Mahaguru dan juga Syahdan langsung tidak dilayan oleh sebahagian besar peminat seni layar lebar.

Filem Mat Kilau mungkin bernasib baik kerana dikeluarkan pada masa yang tepat. Prekuelnya, Pendekar Awang pula keluar dengan seribu macam kegagalan lalu tidak disambut oleh penggemar filem di negara kita.

Pertama-tama, filem seharusnya menjadi filem, dan ia mestilah sebuah filem yang bagus. Menjual filem dengan menjaja semangat bangsa hanya akan dibeli orang untuk sekian kali.

Setelah itu penonton akan mulai bosan apabila propaganda ketuanan apa saja dipersembahkan dalam keadaan yang membosankan.

Sebagai perbandingan, filem The Raid keluaran Indonesia beberapa tahun lalu adalah sebuah filem silat. Namun kita tidak melihat pengeluarnya sibuk memainkan isu-isu bangsa demi untuk mengangkat seni senaman tersebut.

Mereka persembahkan sebuah filem yang menarik dan hasilnya The Raid meledak di seluruh dunia. Para pelakon filem tersebut pula mendapat banyak tawaran berlakon dari seluruh dunia.

Lalu apakah menjadi penting untuk negara memiliki pawagam sendiri demi untuk kemajuan dan juga keuntungan?

Dengan pengurusan yang betul - selain dijadikan pusat seni setempat yang menggabungkan kesenian yang ada - mungkin pemilikan panggung Coliseum adalah sesuatu yang wajar.

Pengurusannya juga harus terdiri daripada mereka yang benar-benar ahli, bukannya diangkat hasil dari kabel politik.

Namun begitu, setelah melihat segala bidang seni menjadi gagal apabila dikerajaankan, kita semua harus berfikir banyak kali untuk menyetujui hasrat murni warga filem tempatan sekarang.

Pawagam P Ramlee yang dibuka pada 1973 itu memulakan tayangan dengan filem Dan Bunga-Bunga Berguguran arahan Wim Umboh, seorang pengarah popular Indonesia era 1970 hingga 1990.

Setelah diberikan beberapa siri amaran, panggung yang tidak diselenggara dengan betul sehingga boleh membahayakan penonton itu akhirnya dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1982.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS