Perserta program realiti TV, Da’i Syed, menyifatkan hidupnya gelap gelita setiap saat ketika mendekam di dalam penjara selama 21 hari selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Katanya, apa yang dilalui selama tiga minggu itu adalah pengalaman paling pahit dalam kehidupannya.
“Ia satu pengalaman yang begitu pahit. Namun, alhamdulillah kesihatan saya di dalam penjara baik-baik saja.
“Cuma, hari ini saya tidak sihat sangat, demam dan ada ulser. Jadi, tak boleh bercakap banyak sangat,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 5 Nov ini sebagai tarikh pengurusan kes rogol membabitkan personaliti TV terbabit.
Pada 30 Ogos lalu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed - atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful - selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7 di Shah Alam.
Syed didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen Norazlin Othman juga mengarahkan Syed dipenjara serta-merta selepas pihak pembelaan gagal dalam permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Syed dilepaskan sementara dan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga proses rayuannya didengar dan diputuskan.
Diminta berkongsi mengenai aktiviti sepanjang berada di dalam Penjara Kajang sejak 30 Ogos lalu, Syed berkata, dia sempat meraikan sambutan Maulidur Rasul di samping berkongsi ilmu agama dengan banduan lain.
“Layanan semua OK. Saya dapat berdakwah di dalam penjara, ajar orang mengaji, sambut Maulidur Rasul di dalam penjara, mengenalkan kepada banduan mengenai nabi dan rasul.
“Jadi, ada kesempatan di dalam penjara untuk memberi sedikit manfaat dan ilmu,” katanya.
