ULASAN | Ekoran tularnya watak Walid di media sosial, tiba-tiba saya tergerak hati untuk menghubungi Norhan Mahmod yang berada di Kijal, Terengganu.
Watak Walid dalam drama Bidaah itu membuatkan netizen Indonesia mula menggali latar Faizal Hussein hinggakan muncul beberapa kandungan menjaja dialognya – “Hati kau keras, Roy” – untuk menjadi lebih sohor.
"Sebab Walid aku layan Roy," ditulis netizen bernama Daen Kfidz di Youtube.
Dialog "Roy… Roy hati kau keras, Roy" itu dipetik dari filem Gila-Gila Remaja lakonan Faizal. Filem terbitan 1986 itu terhasil berdasarkan skrip Norhan. Ia diarahkan oleh Hussein Abu Hassan.
Norhan sendiri bertindak selaku penolong pengarah.
Melalui kiriman WhatsApp itu, Norhan membalas: “Aku penulis skrip, aku sendiri yang tulis dialog itu. Dialog itu merujuk hati aku yang keras ketika itu."
Saya bertanya lagi bagaimana boleh datang idea untuk mencipta dialog itu. Malangnya Norhan tidak membalas mesej tersebut. Hairan. Barangkali dia sibuk menulis skrip, kata saya di dalam hati.
Sebelum itu Norhan, 70, ada memberitahu saya yang dia akan ke Melaka pada awal Mei untuk urusan produksi. Kami menyusun rancangan untuk bertemu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun sehari sebelum itu saya sempat bertanya khabar.
"Aku kena asmalah, Dam. Asma sangat teruk. Sebelum ini tak pernah. Bila dia serang rasa macam nak putus urat," kata Norhan.

Kemudian pada pada malam 30 April, adik Norhan, Fendi, memberitahu yang abangnya itu dikejarkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya sekitar jam 2 petang.
Norhan bersendirian ketika itu. Kejadian tersebut hanya disedari adik perempuannya kira-kira 3 jam selepas itu.
Saya memang bercadang untuk menziarahi Norhan pada 3 Mei nanti kerana pada 1 Mei – yang kebetulan cuti umum – ada majlis keluarga di Melaka.
Takdirnya sekitar jam 8 pagi Fendi menelefon untuk memberitahu Norhan sudah meninggal dunia di hospital kira-kira jam 5 pagi.
Penerbitan drama kian sendu
Sebak menikam-nikam dan saya termenung sejenak apabila mendapat khabar hiba itu. Waris memberitahu jenazah akan dikebumikan selepas Zohor. Barangkali keluarganya mahu menunggu anak-anak arwah yang menetap di Kuala Lumpur.
Norhan mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dan tiga lagi apabila melangsungkan perkahwinan dengan aktres Rozie Rashid.
Sejak pandemik, Norhan membawa diri tinggal di kampung untuk menjaga ibunya Tuan Sharifah Rahmad yang sudah berusia 85 tahun.
Norhan pernah memberitahu bahawa penerbitan drama sekarang kian sendu dan peluang mengarah amat terhad, justeru dia lebih selesa untuk menetap di kampung saja.
Dalam perjalanan ke Kijal ingatan menyorot detik-detik awal mengenali Norhan sekitar 1985. Ketika itu dia kerap ke rumah ibu bapa saya di Kampung Klang Gate Baru.
Norhan berulang-alik menaiki bas dan boleh berborak dengan bapa sehingga malam.
Entah apa yang diborakkan mereka. Yang saya tahu dia ialah wartawan akhbar politik, Merdeka, dan pada penghujung 1970-an pernah juga bekerja di akhbar Watan.

Selepas saya sendiri menjadi wartawan dan mulai rapat dengan Norhan, barulah saya tahu dia kerap bertemu bapa ketika itu untuk menimba ilmu asas menjadi pengarah.
Ketika itu Norhan baru menyiapkan skrip filem Senandung Semalam yang kemudian diarahkan abang saya, Zulkifli. Publisiti filem itu sudah disiarkan dalam akhbar dan Norhan bertindak sebagai penolong pengarah.
Sewaktu bapa saya mulai uzur, Norhan masih kerap berborak dengannya di dalam bilik.
Keadaan berlarutan begitu sehinggalah seminggu dua sebelum bapa meninggal dunia pada 20 Ogos 1986. Sewaktu saya memicit-micit badan bapa, tiba-tiba dia berkata, “Kau ikut Norhan nanti."
Bunyi mesin taip tak berhenti-henti
Ketika itu saya sudah berhenti bekerja hotel. Selama menjaga bapa, dia pernah berjanji untuk membawa saya mengikut dia yang akan menyambung siri drama Tragedi Seri Mersing.
Sebelum itu saya pernah bekerja bersamanya ketika bapa mengarahkan filem terakhirnya, Pertentangan.
Selepas bapa meninggal, hala tuju hidup saya sempat menjadi tidak menentu. Di depan ada persimpangan – sama ada mahu meneruskan kerja di hotel atau memilih jalan filem. Hati pula semakin tawar.
Kemudian pada suatu hari Norhan datang ke rumah mengajak saya ke pejabat Amir Enterprise untuk berjumpa dengan ketua pengarang kumpulan syarikat penerbitan itu, A Jalil Ali.
Syarikat itu milik Harun Hassan dan aktif menerbitkan buku, novel, majalah Kisah Cinta, majalah Keluarga, filem, drama TV, akhbar Mingguan Wanita dan akhbar politik terbarunya, Mingguan Kota.
Saya diserapkan ke Mingguan Kota di bawah kendalian Yusof Harun.
Norhan yang melatih saya untuk cekap menulis. Katanya, tulis apa sahaja terlintas di kepala. Dalam tempoh tiga bulan pertama, dia ‘melanyak’ saya menaip sehingga lewat malam.
Pernah terjadi perbalahan juga di antara saya dengan kakak yang baru berkahwin gara-gara bunyi mesin taip yang tak berhenti-henti sampai lewat malam.
Bagi mengatasi isu itu, Norhan mengajar saya satu petua – alas mesin taip dengan tuala!
Norhan juga yang banyak mengatur tugasan saya. Pada waktu sama Norhan menulis bahan hiburan untuk akhbar itu menggunakan nama pena Panji. Nama yang sama juga digunakannya ketika dia menulis di akhbar Harian Kota.
Kerjaya wartawan
Untuk membina keyakinan diri pula, Norhan meminta saya mewawancara tokoh hebat semasa, seperti Jins Shamsudin dan sahabatnya Manan Ngah.
Sehingga kini kenangan melihat betapa seriusnya Manan sewaktu ditemui di syarikat rakaman WEA. Nama dia ‘meletop’ ketika itu selepas muncul sebagai pemenang Juara Lagu pertama terbitan TV3.
Selepas mendapatkan maklumat mengenai latar akademi saya, Manan bertanya tentang siapa yang menyuruh saya menemuinya.
"Norhan Mahmud," kata saya.
Sesudah itu suasana menjadi lebih mesra dan perbualan kami semakin rancak.
Dalam kejadian lain, terjadi detik yang janggal sehingga membuatkan saya ‘mati kutu’ sewaktu menemu bual Mazuin Hamzah. Ketika itu dia tidak mahu bercakap banyak menjelang perkahwinannya.
Mazuin bergiat di bawah label Polygram Records dan dalam proses rakaman album terakhirnya di studio Omry Record di Sentul.
Apabila kembali di pejabat, saya kebingungan untuk memilih berita yang perlu ditulis. Hal itu kerana maklumat yang saya perolehi daripada Mazuin sangat terhad.
Kemudian Norhan datang bertanya tentang apa lagu terakhir dirakam Mazuin.
“Cinta Di Bawah Seribu Warna dengan Pertemuan Seindah Mimpi,” kata saya.
Kemudian Norhan membuat kupasan mengenai dua lagu tersebut. Panjangnya cukup-cukup satu halaman kertas A4. Ia adalah garapan yang cukup indah dan romantik.

Dalam bidang kewartawanan pula, menurut Penyunting Eksekutif Media Prima, Nasir Muhammad, Norhan bermula sebagai pembantu pejabat saja sebelum menjadi jurugambar dan akhirnya wartawan di akhbar Watan.
"Saya sempat sepejabat dengan Norhan. Dia seorang yang gigih dan rajin menimba ilmu. Dia bermula sebagai pembantu pejabat, jurugambar, wartawan dan akhirnya pengarah filem," katanya.
Pada penghujung 1980-an Norhan kian aktif mengarah drama TV sehinggalah diberi peluang mengendalikan filem pertamanya, Sejati, lakonan Raja Ema dan Jamal Abdillah.
Dalam kalangan penggiat filem, Norhan dilebel sebagai pengarah yang garang dan tegas. Ramai pelakon dan kru kecut perut apabila bekerja di bawah kendalian Norhan.
Bagi Norhan, ada segelintir pelakon perlu diasuh dengan cara disiplin pengarah veteran iaitu tegas di lokasi dan dihormati.
Kehilangan yang dirasai
Lebih tiga dekad mengenali Norhan, banyak kenangan dan hal peribadi kami kongsi bersama. Selama itu juga saya dan Norhan tidak pernah ketawa apabila berborak.
Pengarah, Murali Abdullah, berkata dia mengenalinya Norhan pada hujung 1980-an. Ketika itu, kata Murali, dia baru menjadi kru teknikal di syarikat HVD manakala Norhan sudah mengarah.
"Sebagai orang baru saya dengar nama dia memang berasa gerun. Apabila kami mula berkawan, ternyata dia tidak lokek berkongsi ilmu," katanya.
Seniman Sulaiman Yassin (Mat Over) pula ada kenangan yang agak lucu apabila diberitahu mengapa Norhan enggan mengambil dia bekerja di bawah arahannya.
"Saya asal Kuala Berang, dia di Kemaman.
“Norhan pernah cakap, dia tak boleh mengambil saya berlakon kerana kami sama-sama baran," katanya.

Manan Ngah ketika ditemui di Dungun turut terkesan mendengar berita kematian Norhan. Dia pernah membawa anak-anaknya ke kampung Norhan.
"Saya beri Norhan jadi penulis kata-kata aluan dalam buku saya, Muzik Adalah Harta, tanda hormat saya kepadanya," kata komposer itu.
Apa juga dilabel orang filem kepada Norhan, jasanya ada sewaktu menjadi orang kuat Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) serta menonjolkan ramai pelakon baru dalam setiap karyanya.
Bahkan ketika Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik (Akifma) pada 2017, Rosyam Nor berterima kasih kepada Norhan di awal kemunculannya yang diperkenalkan dalam Gila-Gila Remaja.
Memang tidak terbalas jasa Norhan kerana melorongkan saya ke bidang kewartawanan. Dua anugerah dimenangi Akifma dan Wartawan Hiburan Terbaik 2002 menjadi manis kerana Norhan turut menemani saya ke majlis berkenaan.
Terima kasih guruku, Allahyarham Norhan Mahmod. Dipetik di sini coretan Norhan di FB mengisi detik akhirnya.
"Apabila kita bermula satu perjalanan jauh mencari kehidupan hakiki kita, tanpa kita sedar perjalan itu adalah satu pengembaraan yang ada filosofi dan fiksyen yang boleh dijadikan cerita kita."
ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
