TRAVELOG Bagan Lalang, Selangor, hujan subuh.
Pagi itu langit lapang. Kiyai Mohd Anwar Yusuf bimbang jerebu tebal satu-dua hari sebelum Rabu. Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 190. Sudah berlarutan lebih dua minggu. Terutama di daerah-daerah tepi sisir Selat Melaka. Udara sangat tak sihat. Kiyai minta saya tangguh kayuhan.
Kayuhan ini adalah untuk pungut derma kepada dua sekolah. Satu, kepada Sekolah Rendah Islam Al-Anwar, milik kiyai Mohd Anwar; dan satu lagi yang dipayungi Amy Search, Sekolah Quran dan Hadith Al-Bayan.
Di Denai Alam. Kiyai Mohd Anwar yang sehari sebelumnya meninjau jalan dari Sungai Pelek ke Putra Height. Waktu dia pusing-pusing dengan kereta, jerebu sangat-sangat buruk sepanjang Sungai Pelek sampailah ke Putra Heights.
Bimbang juga saya. Apakan daya, saya tak punya cuti kerja yang panjang. Selain saya perlu juga kayuh pada 16 September. Saya mahu kayuh di Hari Malaysia. Tak kira jerebu. Tak kira hujan.
"Pendidikan tak boleh tangguh-tangguh." Kepada Kiyai Anwar, begitulah jawapan saya ketika dia minta saya pertimbang untuk tangguh misi kayuhan ini.
Saya beli topeng muka. Saya beli di kedai motosikal, Bangsar Utama. Topeng yang selalu digunakan mat-mat motor. Harganya, RM35. Apapun yang terjadi, setebal mana jerebu, bolehlah saya kayuh dengan bertopeng tutup hidung. Harap-harap, tidaklah nanti jatuh sakit.
Tak pernah dan belum pernah saya kayuh jauh-jauh. Sebelum ini, cuma kayuh sekitar KL,PJ, Shah Alam, Ampang, Brickfields, atau Bangsar. Belum pernah di luar kota. Tentulah saya risau. Tentu berdebar-debar hati.
Lagi-lagi, tak ada rancangan yang terlalu rapi. Tak ada persiapan yang terlalu terperinci. Lagi-lagi saya diminta oleh Khalid Jaafar, pegawai strategik menteri besar Selangor supaya saya membantu kumpul dana untuk Sekolah Al-Anwar, seminggu sebelum itu.
Maksudnya, persiapan saya kurang seminggu. Laluan dari Sungai Pelek dipilih kerana beberapa kali sudah saya ke sana. Di sana seorang adik saya tinggal dengan suami dan anak-anak mereka.
Sekolah Al-Anwar perlu dana RM50,000 untuk masuk ke bangunan baru. Bangunan sedia ada terlalu kecil untuk menempatkan anak-anak murid yang bertambah ramai. Bangunan baru adalah bangunan sebuah kolej yang sudah dikosongkan.
Kolej itu berpindah ke bangunan baru mereka. Baru siap. Tak jauh dari lot kedai tiga tingkat yang bertentang pula dengan sekeping padang bola. Begitu sayangnya kalau terlepas bangunan kedai itu kerana padang bola itu boleh pula digunakan anak-anak murid di sekolah itu nanti.
Saya tahu semua ini kerana pada Jumaat sebelumnya, saya ke sana untuk melihat bangunan kolej yang sudah kosong. Kata kiyai Mohd Anwar, bangunan itu sudah siap berbilik darjah. Maka, kalau mereka dapat masuk, tak banyak ubah suai yang perlu dilakukan. Kalau diambil bangunan lain, banyak kerja yang kena buat. Ubah suai untuk dibuat bilik darjah sahaja akan memakan puluhan atau ratus-ratus ribu lagi.
Saya mula tak faham. Mengapa begini susah untuk kiyai Mohd Anwar dan kawan-kawannya mendirikan sebuah sekolah agama. Tidak seperti waktu saya di kampung dahulu di Johor. Sekolah-sekolah agama semuanya seperti juga sekolah kebangsaan. Semuanya dengan bangunan yang sempurna. Berbilik darjah. Meja-meja kerusi, papan hitam, rak buku dan papan jadual waktu sama sahaja sepertimana lazimnya keadaan sekolah kebangsaan.
Tak ada kefahaman saya tentang pengertian sekolah swasta. Mahupun sekolah pondok. Bahkan, istilah "pondok" itu pun membingungkan. Di kampung saya, pondok hanyalah rumah kecil. Tak ada bilik. Tak punya tandas. Tak ada apa-apa.
Jadi, apakah "sekolah pondok" yang selalu dikaitkan dengan pendidikan agama di negeri-negeri lain sama seperti pondok di kampung saya. Tak ada bilik. Tak ada tandas. Tidak ada apa-apa. Mengapa sampai begitu daifnya?
Lagi pula, "pondok" juga bermaksud "main-main". Sesuatu yang tak serius. Macam kami anak-anak kecil di kampung "main pondok-pondok". Ringkasnya, istilah "pondok" memang merujuk sesuatu yang lekeh dan bukan sewajarnya untuk sebuah institusi pendidikan. Apatah lagi institusi pendidikan itu adalah pendidikan agama.
Sampailah saya sampai di KL. Saya lihat sistem sekolah agama di luar negeri Johor berbeza dengan sekolah agama milik kerajaan negeri Johor. Kitab kami sama, antaranya kitab 'Muta'a al-Badrin'. Di KL, atau Selangor, kitabnya dipiluh olehguru sesebuah sekolah itu. Tidak pula punya nazir yang akan membuat lawatan mengejut ke sekolah.
Itu pun tak mengapa. Asalkan belajar agama. Hanya, sekolah swasta dan sekolah agama rakyat juga bersepah. Melacak-lacak di mana-mana. Terutama di ceruk rantau kampung atau di kawasan-kawasan perumahan baru.
Masing-masing bersaing untuk mencari murid-murid. Tiada ertinya menjadi seorang kiyai kalau dia tak punya murid. Susah bagi murid kalau mereka tak punya bilik darjah. Begitulah kaitan antara guru, murid dan sekolah.
Termasuklah untuk Sekolah Al-Anwar yang sedang berkembang. Mereka merancang untuk mulai mewujudkan sekolah peringkat menengah juga. Kalau boleh, mulai tahun hadapan dan anak Kiyai Mohd Anwar sendiri, bersekolah di sekolahnya.
Berlainan pula dengan Sekolah Al-Bayan, yang tertumpu pula kepada melahirkan tahfiz.
Al-Bayan, saya lawati pada hari Selasa. Sehari sebelum saya mulakan kayuhan. Tak banyak yang dapat dijanjikan, kerana kali ini saya perlu lunaskan dahulu keutamaan kepada Sekolah Al-Anwar. Kalau ada lebihan daripada jumlah RM50 ribu, kepada Amy saya bilang akan salurkan wang bantuan kepada Al-Bayan.
Al-Bayan sudah membayar deposit untuk bangunan baru. Sewanya RM1,300 sebulan. Disewa dua lot tingkat satu. Satu lot untuk kelas. Satu lot lagi, untuk dijadikan tempat tinggal anak-anak madrasah.
Kepada dua sekolah inilah saya mula berkayuh. Tak pasti berapa jauh yang akan saya tempoh di hadapan. Laluan basikal tak sama dengan laluan kereta yang boleh disemak dahulu dalam aplikasi "Waze" atau "Google Map". Basikal ada laluannya sendiri. Tak semua jalan kereta sesuai untuk dilalui basikal. Kereta lain. Basikal lain.
Kalamana saya tinggalkan KL menuju Bagan Lalang, titik di mana saya akan mulakan kayuhan, orang rata-rata di media sosial yang saya baca tak bercakap pasal pendidikan dan sekolah agama.
Umat lebih berminat bercakap tentang "Himpunan Baju Merah" yang dikatakan mahu menyatukan manusia Melayu di Ibu Negara. Berarak ke Padang Merbok. Juga satu lagi acara gah iaitu pelancaran Parti Amanah Negara (PAN) di Shah Alam.
Pendidikan mungkin bualan yang tidaklah popular kala ini, termasuk dalam riuh-riuh politik tanahair. Di saat begini, politik mungkin sahaja seperti “jerebu” yang boleh menyesakkan dada. Kayuhan saya tak boleh ditangguh. Soal pendidikan anak-anak kita memang tidak bisa ditunda-tunda. Biar setebal mana pun jerebu itu.
Pagi Rabu, Hari Malaysia. Dari Bagan Lalang, saya mulakan dengan bismillah.
HASMI HASHIM seorang pegawai di pejabat menteri besar Selangor. Aktivis seni ini juga dikenali sebagai BUDDHI HEKAYAT, penulis lirik lagu popular 'Awan Nano'.
Ikuti bahagian kedua coretan Buddhi esok. Sumbangan untuk sekolah ini boleh disalurkan melalui akaun bernombor 22100003950 ( Hong Leong Bank) atas nama Sekolah Rendah Islam Al-Anwar.
