Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Peshawar, November 2014

“Slurp... slurp...”

Dengan perlahan-lahan saya menghirup kahwa panas di sebuah gerai kecil dan usang di Peshawar, Pakistan. Sesekali bibir terasa pedih kerana terkena kesan karat di mangkuk kecil bewarna kuning cair berisi kahwa atau teh hijau yang merupakan minuman kegemaran dan wajib bagi penduduk tempatan di Peshawar.

Tidak kira pagi, tengahari, petang atau pun malam, hanya itu yang menjadi penghilang dahaga mereka.

Rasanya tawar tetapi berbau wangi dan segar. Tidak seperti teh susu ataupun lebih dikenali sebagai “chai” di kebanyakan tempat di Pakistan. Chai di daerah lain kebiasaannya amat manis ataupun masin.

Pembuat kahwa yang memakai kurta lusuh berwarna biru cair kelihatan amat sibuk menyediakan kahwa di satu sudut, sambil rancak berborak dan bergurau senda dengan pelanggan yang datang ke gerainya. Melihat kemesraan mereka, saya pasti mereka adalah pelanggan tetap di situ.

Walaupun jasad saya pada waktu itu sedang duduk tenang bersila memakai jubah labuh bersama selendang hitam bersama rakan baik saya Raji, namun fikiran saya sering sahaja melayang jauh.

Apa yang saya fikirkan sepanjang masa sewaktu berada di Peshawar hanyalah Khyber Pass yang terletak kira-kira 50 kilometer daripada Peshawar.

Khyber Pass adalah pintu masuk melalui jalan darat bagi kedua buah negara berjiran Pakistan dan Afghanistan yang terletak di kawasan pergunungan Spin Ghar. Spin Ghar adalah daripada perkataan Pashto yang bermaksud gunung putih.

Suatu masa dahulu, Khyber Pass pernah menjadi kawasan yang amat penting terutamanya bagi pedagang-pedagang di laluan sutera. Pedagang yang datang jauh dari benua Eropah akan melalui Khyber Pass bersama bahan dagangan mereka menuju ke benua Asia.

Tempat persembunyian Taliban

Namun, kawasan ini terkenal dengan keadaannya yang bebas tanpa undang-undang hingga sekarang. Sewaktu era peperangan di Afghanistan, Khyber Pass menjadi laluan penting untuk penyaluran bantuan dan alat ketenteraan untuk tentera NATO.

Keadaan semakin parah apabila Taliban mula mengawal kawasan tersebut sekitar akhir tahun 2007. Ramai pejuang Taliban yang bersembunyi di kawasan itu.

Seringkali juga saya mendengar tentang gambaran penduduk tempatan di kawasan itu yang membawa senjata walapun hanya ke pasar. Senjata api adalah suatu perkara biasa di sana

Hari kedua saya di Kabul, saya berjalan-jalan di sekitar Chicken Street yang tidak berapa jauh daripada hotel. Sesekali saya keluarkan kamera kompak untuk menangkap gambar secara rawak.

Gambar penjual roti di tepi jalan, gambar penjual karpet, gambar wanita yang memakai burqa sedang duduk meminta sedekah dan macam-macam lagi. Sememangnya, setiap babak dan sudut di bandar Kabul ini sungguh menarik perhatian saya.

Tiba-tiba, beberapa orang askar Afghanistan yang beruniform dan bersenjata datang kepada saya dan terus merampas kamera. Saya terkejut.

Mereka menuduh saya pengintip daripada Pakistan dan semakin kuat tuduhan mereka setelah melihat pasport saya yang menunjukkan baru sahaja keluar daripada negara tersebut setelah berada hampir 50 hari di sana.

Saya terus dipaksa mengikut mereka berjalan sehingga ke hujung Chicken Street dan disuruh masuk ke dalam sebuah bilik kecil berukuran lebih kurang 4 kaki persegi.

Gelap gelita

Bilik itu gelap dan berwarna hitam. Terdapat sebuah kerusi kecil dan rendah di tengah-tengah, saya disuruh duduk di situ.

Kemudian langsir hitam diturunkan, gelap segelap-gelapnya. Saya masih keliru dan terpinga-pinga, apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Apa kesalahan yang telah saya lakukan sehingga ditahan di tempat yang kecil dan gelap sebegitu?

Selepas 15 minit, saya disuruh keluar. Ada seorang pegawai tinggi bermuka bengis datang berjumpa saya. Dia meminta pasport dan dibeleknya berkali-kali.

Kemudian dia meminta kamera daripada salah seorang askar yang merampas kamera saya tadi. Semua gambar di dalam kamera dilihat satu persatu. Saya hanya tetap diam dan menunggu penuh sabar.

Kemudian saya dibawa ke ibu pejabat tentera Afghanistan dengan kenderaan pacuan empat roda bersama beberapa orang askar yang tinggi, tegap dan bermuka serius.

Saya rasa kerdil di tengah-tengah mereka. Waktu itu saya mula berasa seperti seorang pesalah.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Siri tulisan Siti Noridah Abd Rahaman ini dirakam dalam buku ‘Travelog ET - Kembara Afghanistan’ yang dikarang dan diterbitkannya sendiri.

Ia merakam pengalamannya menelusuri pedalaman India, Pakistan, Afghanistan, Emiriah Arab, Iran dan Turki selama enam bulan.

Anak kelahiran Johor berusia 32 tahun ini berharap pengembaraannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berkelana dan menimba pengalaman di luar negara.

Cara membuat pesanan:

Laman Facebook: ‘Travelog ET’

Lihat Komen
ADS