Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak ada banyak kenderaan pun yang melalui jalan darat daripada Kabul ke Bamiyan.

Walaupun perjalanan sudah melewati beberapa jam, jumlah lori atau kereta yang dilihat di sepanjang perjalanan ini boleh dihitung dengan jari.

Penduduk tempatan tahu jalan ini sering diserang oleh tentera Taliban. Setelah hampir 30 minit, akhirnya van menyambung perjalanan semula. Saya masih terpegun dengan pemandangan sekeliling.

Walaupun warga Afghanistan secara keseluruhannya sengsara kerana peperangan dan konflik dalaman yang tidak pernah ada penghujungnya, namun saya sedar bahawa negara ini sebenarnya sarat dengan kecantikannya yang tersendiri.

Malangnya, tidak ramai yang boleh menikmati kecantikan negara bekas takluk Soviet Union dan puak Taliban ini.

Sedang saya leka melihat keindahan bumi Afghanistan, tiba-tiba van dihentikan di tepi jalan. Seorang pegawai tentera lengkap dengan pakaian seragam masuk ke dalam van. Dia bercakap-cakap dengan pemandu van, kemudian menuju ke arah saya.

Dia bercakap-cakap seperti menyoal saya, tapi malangnya saya tidak faham sepatah pun perkataannya. Saya dengan penuh yakin, cuma berkata dalam bahasa Inggeris, “tourist, from Malaysia”.

Dia meminta pasport. Saya serahkan terus pasport kepada beliau. Setelah dibelek-belek beberapa kali, dia melihat pula beg galas yang saya letakkan di atas kerusi di sebelah tempat duduk saya.

Dia memberi isyarat supaya membuka beg.

Saya pun buka beg dan keluarkan semua isinya. Dia melihat satu persatu dengan tekun. Setelah dia berpuas hati, dia panggil saya turun daripada van.

Cepat-cepat saya masukkan segala barang ke dalam beg galas semula dan mengikutinya turun daripada van.

Sebaik sahaja turun daripada van, cuaca sejuk terus mencengkam. Saya balut tubuh dengan selimut besar merah. Separuh muka juga saya balutkan dengan selimut itu.

Bila saya bercakap, wap berkepul-kepul keluar daripada mulut menandakan betapa sejuknya cuaca pada waktu itu.

Rupa-rupanya, ada satu pondok kecil tentera tidak jauh daripada tempat van itu berhenti. Saya diminta masuk ke dalam pondok tersebut dan menulis butiran diri di dalam sebuah buku besar seperti buku log.

Saya hanya menurut dan menulis seperti yang diarahkan. Setelah selesai semuanya, pegawai tentera tadi menyerahkan semula pasport saya. Dia masih bertanya:

“Malaysia?”

“Yes, Malaysia”

“Muslim country?”

“Yes I am muslim,” jawab saya penuh bersemangat.

“MashaaAllah!”

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Ikuti bahagian pertama: Kamera dirampas, ditahan di Kabul

Siri tulisan Siti Noridah Abd Rahaman ini dimuatkan dalam buku ‘Travelog ET - Kembara Afghanistan’ yang dikarang dan diterbitkannya sendiri.

Ia merakam pengalamannya menelusuri pedalaman India, Pakistan, Afghanistan, Emiriah Arab, Iran dan Turki selama enam bulan.

Anak kelahiran Johor berusia 32 tahun ini berharap pengembaraannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berkelana dan menimba pengalaman di luar negara.

Cara membuat pesanan:

Laman Facebook: ‘Travelog ET’

Lihat Komen
ADS