Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Taman negara Band-e Amir adalah kawasan pertama yang diwartakan sebagai taman negara di Afghanistan dan kini tersenarai sebagai kawasan Warisan Dunia Unesco.

Kawasan yang terletak kira-kira 80 kilometer daripada Bamiyan diwartakan sebagai taman pada tahun 2009 walaupun keindahan landskapnya telahpun diketahui sejak lama dahulu.

Ia terdiri daripada enam buah tasik dalam dengan air yang berwarna biru pekat. Warna yang unit itu terbentuk kerana kandungan mineralnya yang tinggi.

Tasik-tasik ini terbentuk oleh empangan semula jadi yang terdiri daripada batu kapur berwarna coklat kemerahan.

Kedudukannya di tahap 3,000 meter dari aras laut, menjadikan kawasan taman ini sesuai dikunjungi semasa musim panas.

Semasa musim sejuk, suhu ekstrem di kawasan ini mencecah sehingga -20 darjah Celcius.

Para pekerja chaikhanna – rumah rumah persinggahan untuk musafir – menyarankan saya menyewa sebuah kereta bersama seorang pemandu untuk ke Band-e Amir.

Saya tiada pilihan selain menurutinya kerana tiada kenderaan awam yang menyediakan khidmat perjalanan ke kawasan itu.

Pada awalnya, perjalanan ke dari Bamiyan ke Band-E-Amir menempuh jalan agak baik dan berturap.

Pemandangan landskapnya begitu memukau. Warna langit yang amat biru terasa begitu luas. Tidak pernah rasanya saya lihat langit sebegitu indah.

Saya terus terpegun memandang keluar tingkap kereta seolah pertama kali melihat langit.

Pemandu kereta itu memasang kaset lagu-lagu fahaman Syiah. Dengan jelas saya mendengar bunyi alat musik dilatari oleh suara lelaki yang menyanyi sambil menangis dan meratap.

Bila diamati alunan lagunya, saya berasa sedikit seram sejuk. Entah kenapa, saya terasa seperti seolah-olah ada semangat yang bergabung dengan muzik tersebut.

Semakin dekat ke Band-e Amir, saya memerhatikan bahawa kawasan gunung batu berwarna coklat kemerahan itu semakin banyak dilitupi salji.

Kemudian, tiada apa yang dapat dilihat selain daripada salji putih. Saya amat terpesona dengan suasana tersebut. Saya berasa begitu tenang.

Tiada kelibat manusia lain kerana kedudukannya yang tinggi dan cuaca yang terlampau sejuk.

Setelah hampir satu jam melalui jalan bertar, kereta itu memasuki satu simpang kecil. Jalan itu tidak berturap dan amat licin kerana dilitupi ais.

Pemandu saya itu memandu dengan amat berhati-hati kerana khuatir kereta jenis Toyota kereta memandu dengan amat perlahan, tidak seperti sebelumnya.

Beliau khuatir kereta Toyota Corolla itu tergelincir dari permukaan jalan.

Dari situ, saya melihat pemandangannya semakin mengagumkan. Saya tidak henti-henti mengucapkan syukur di dalam hati kerana berpeluang mengembara di kawasan yang amat jarang diterokai ini.

Keadaannya amat terpelihara. Segala yang dapat saya lihat di situ begitu asli dan memukau pandangan. Sesekali ternampak sekumpulan kambing biri-biri sedang bertebaran bebas meragut rumput kering di tengah lapangan yang kering dan sejuk.

Saya masih terpukau dengan pemandangan sekeliling yang memutih. Tak lama kemudian, dari jauh, saya terlihat sebuah tasik.

Dari jauh, tasik ini kelihatan seperti bentuk mata kucing. Pemandu kereta menuding jarinya ke arah tasik dengan penuh semangat sambil tersenyum lebar. Sebelah lagi tangannya mengawal stereng kereta.

Melihat pada riak wajahnya, saya tahu bahawa tasik itu adalah kebanggaan warga Bamiyan. Dari jauh pun sudah kelihatan sangat cantik, saya tak dapat bayangkan kalau berada dekat dengan tasik itu nanti.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Siri tulisan Siti Noridah Abd Rahaman ini dimuatkan dalam buku ‘Travelog ET - Kembara Afghanistan’ yang dikarang dan diterbitkannya sendiri.

Ia merakam pengalamannya menelusuri pedalaman India, Pakistan, Afghanistan, Emiriah Arab, Iran dan Turki selama enam bulan.

Anak kelahiran Johor berusia 32 tahun ini berharap pengembaraannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berkelana dan menimba pengalaman di luar negara.

Cara membuat pesanan:

Laman Facebook: ‘Travelog ET’

Lihat Komen
ADS