Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Pada musim sejuk November 2008, kami telah pergi ke Halab. Bandar kedua Syria di sebelah utara ini dikenali juga sebagai Kota Aleppo. Kedudukannya sekitar 30 minit sahaja ke sempadan Turki.

Sejarah Halab ini cukup banyak khususnya sebagai kubu Salahuddin Al Ayyubi ketika peperangan Salib. Halab sangat cantik. Di sini ada Suq Hamidiah (Pasar Hamidi) yang berusia ratusan tahun seumpama Suq Hamidiah di Damsyik.

Di tengah pasar ini ada masjid yang di dalamnya terdapat maqam Nabi Zakaria. Sebenarnya ada empat orang nabi yang dimakamkan di bumi Syria.

Di Masjid Umawi Damsyik ada makam Nabi Yahya AS. Di belakang rumah kami di Jabal Qasiyun adanya makam Nabi Zulkefli dan dalam perjalanan ke sempadan Jordan adanya makam Nabi Ayub.

Dari makam Nabi Ayub ini kita boleh melihat Bukit Golan di sempadan Palestin, satu wilayah yang dijajah Zionis Israel. Bukit Golan merupakan kawasan strategik yang terletak di sempadan Syria, Jordan dan negara haram Israel.

Wilayah ini menjadi pertikaian ketiga-tiga negara dan kini berada dibawah kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kelebihannya berpihak kepada Israel. Di pinggir Kota Damsyik ada makam anak Nabi Adam AS iaitu Habil.

Banyak lagi makam-makam para sahabat Nabi SAW, tabi’in dan tabi’ tabi’in serta tokoh-tokoh Islam. Ini kerana selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, ramai para sahabat berhijrah ke Syam khususnya ke wilayah Syria. Di tengah bandar Damsyik ada satu kawasan perkuburan besar yang dikenali Bab Soghir (Pintu Kecil).

Di sini ada makam sahabat Nabi SAW, Bilal Bin Rabbah, Abdullah Ibnu Maktum (sahabat yang buta), isteri-isteri Nabi dan anak-anak Nabi seperti Roqayah, Zainab dan lain-lain.

Terdapat juga makam Muawiyah Abi Sufian, khalifah khalifah Islam di zaman kerajaan Bani Umaiyyah sepeti Khalifah Malik bin Marwan. Begitu juga adanya makam Ibnu Qayyim dan Ibnu Taimiyah.

Jika kita melalui Suq Hamidiah, kita akan bertemu makam perawi Hadis, Abu Hurairah dan juga sahabat nabi Abu Darda’. Di tengah pasar adanya makam Sultan Nuruddin Zinki. Seorang pemerintah yang lahir di istana beliau ialah Salahuddin Al Ayyubi.

Masuk ke kawasan Masjid Umawi, selain makam Nabi Yahya, kita akan bertemu makam Sultan Solehudin Al Ayubi sendiri dan juga terkini makam Sheikh Said Ramadhan Al Butti.

Jika kita ke Hama dan Home, kita akan bertemu makam sahabat Nabi SAW, pahlawan Islam Khalid Al Walid, sahabat yang juga perawi hadis, Abdullah Ibnu Umar dan juga makam pemerintah Islam yang terkenal dengan keadilan pemerintahannya, Umar Abdul Aziz.

Dalam perjalanan ke Halab, kami singgah di Hama dan Home. Hama terkenal dengan ‘Peristiwa Hama 1982’.

Ketika itu Syria diperintah oleh bapa Bashar iaitu Hafiz Asad. Jika anda lihat Bashar yang kejam, bapanya jauh lebih kejam. Di seluruh bandar di Syria, ada patung-patung beliau seperti patung-patung Saddam Hussein di Iraq.

Ketika itu beberapa penduduk Hama telah ditangkap pemerintah Hafiz Asad atas tuduhan menentang kerajaan. Khabarnya mereka daripada kumpulan Jemaah Ikhwanul Muslimin Syria cawangan Hama. Lalu anak dan isteri mereka bersama penduduk Hama telah keluar ke jalan raya di Hama melakukan bantahan.

Hafiz Asad telah menghantar angkatan tenteranya dan terus membunuh kesemua mereka yang berdemonstrasi tersebut. Selama 27 hari Hama dikepung tentera Hafiz Asad. Lalu mayat mereka digilis dan dihilangkan terus kesan-kesannya.

Ada yang mengatakan jumlahnya 10 ribu orang dan ada pihak antarabangsa yang mengatakan jumlah sebenarnya 40,000u nyawa dibunuh Hafiz Asad dalam masa 27 hari tersebut.

Ribuan lagi kehilangan tempat tinggal. Tentera Hafiz Asad memang cekap membunuh dan menghapuskan bukti-bukti pembunuhan.

Kekejaman di Mesir

Tindakan tentera Hafiz Asad ini mengingatkan saya kepada peristiwa Rubu’ah di Mesir. Ketika itu Dr Muhammad Mursi Presiden Mesir yang sah telah digulingkan oleh tentera Mesir pimpinan Abdul Fattah As-Sisi.

Bermula dengan pakatan tiga pemimpin pembangkang diketuai oleh Muhammad Al Bardaie, Hamdan Sobahi dan beberapa tokoh yang lain. Mereka menggerakkan pergerakan Tamarrud. Mereka mengutip tanda tangan jutaan penduduk bagi menyatakan penentangan terhadap kerajaan Mursi.

Tanggal 30 Jun 2013, satu perhimpunan anti-Mursi oleh pergerakan Tamarrud ini diadakan di Dataran Tahrir. Lokasi himpunan menjatuhkan Hosni Mubarak beberapa tahun sebelumnya.

Penyokong Mursi mengadakan himpunan juga di Dataran Rubu’ah. Perhimpunan semakin besar dan berpecah kepada dua kumpulan. Masuk hari yang ketiga, sebahagian peserta himpunan telah mengepung istana Presiden di kawasan Mesir Jadid. Berakhir dengan tentera mengumumkan rampasan kuasa.

Selepas rampasan kuasa. Penyokong Mursi berkampung di Dataran Rubu’ah menentang rampasan kuasa tersebut.

Penyokong Mursi dikalangan gerakan salafi telah mengadakan perhimpunan di lokasi kedua di Dataran Nahdah berhadapan Universiti Kaherah di Giza.

Sehinggalah masuk bulan Ramadhan mereka kekal berkubu di kedua-dua dataran. Setiap malam diadakan solat terawih di kedua-dua dataran dan mereka berqiamullail bersama-sama setiap hari.

Sehinggalah masuk bulan Syawal, perhimpunan masih diteruskan. Sepanjang Ramadhan itu berlaku beberapa insiden di antara penyokong Mursi dengan pihak tentera dan polis.

Antaranya ialah himpunan mereka di hadapan bangunan Pengawal Republik telah ditembak dengan peluru hidup menyebabkan beberapa orang terbunuh.

Kemudian pada penghujung Ramadhan, polis menembak rambang peserta himpunan di hadapan Kuliah Dakwah Universiti Al Azhar ketika peserta himpunan bergerak untuk pulang ke rumah selepas selesai solat tahajud.

Di hari pertama syawal, himpunan ini menjadi sangat besar. Solat hari raya dilakukan di atas jalan raya dalam jarak yang sangat jauh.

Kebetulan kedudukan rumah kami sekitar lima kilometer sahaja dari Dataran Rubu’ah ini, kami mengambil kesempatan untuk meninjau dari dekat walaupun tidak masuk ke dalam perkumpulan mereka.

[Bersambung dalam bahagian akan datang]


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Lihat Komen
ADS